PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Kita di Malaysia bila sebut sahaja MPV Premium, tiadalah model lain yang akan terungkap dari mulut selain kembar Toyota Alphard dan Vellfire. Namun akhir-akhir ini, ada satu MPV Premium yang dilihat semakin ‘bersepah’ di atas jalan raya, dan apa yang menarik ia bukan jenama Jepun, tetapi adalah Kia Carnival dari Korea Selatan!

Seperti yang kita tahu, jenama Korea bukanlah sesuatu yang popular di Malaysia. Berbagai alasan diberikan oleh pengguna tempatan untuk tidak memilih Kia dan Hyundai di sini, antaranya ada yang masih risau tentang isu alat ganti dan juga nilai jualan balik yang rendah.

Jadi apa yang menyebabkan Kia Carnival generasi terkini ini boleh menongkah arus walaupun pelbagai persepsi negatif berkenaan model-model dari Korea? Kalau nak tahu, baca pengalaman penulis yang berpeluang menguji MPV ini.

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Model generasi keempat ini membuat kemunculan sulung globalnya pada Ogos 2020, dihasilkan dari platform serba baharu. Ia menampilkan dimensi 5,155 mm, lebar 1,995 mm dan jarak roda sejauh 3,090 mm. Jadi berbanding model terdahulu, ia kini 40 mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar serta jarak antara roda 30 mm lebih jauh.

Jika dibandingkan dengan Toyota Alphard, Carnival ini adalah 210 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar, bersama jarak roda 90 mm lebih jauh. Varian yang penulis terima ini adalah dari versi lapan-tempat duduk High, menampilkan konfigurasi kerusi 2-3-3.

Walaupun dengan jumlah kerusi yang banyak dalam kabin, badan MPV ini yang cukup lebar dan cukup panjang membolehkan empat orang dewasa dan dua orang kanak-kanak atau remaja duduk dengan selesa pada kabin belakang. Setiap baris tempat duduk juga diberikan liang penghembus udara penghawa dingin (kawalan berasingan untuk kabin belakang), pelindung matahari manual, pemegang botol dan cawan serta port pengecas USB masing-masing.

Kia Carnival 8-tempat duduk ini juga diberikan upholsteri kulit Saddle Brown yang diadun dengan kemasan-kemasan hitam pada panel-panel lain termasuk papan pemuka. Khas untuk varian High ini, ia turut menerima bumbung suria bukan sahaja di hadapan, malah untuk kabin belakang.

Akses utama untuk masuk ke kabin belakang ini adalah menerusi pintu gelangsar kawalan elektrik pada kedua-dua sisi badan. Butang untuk membuka pintu-pintu berkenaan bukan hanya diletak pada pembuka pintu dan bahagian dalam kabin belakng, ia turut diletak pada sebelah kanan papan pemuka untuk kawalan pemandu serta pada alat kawalan jauh.

Susunan kerusi pada kabin belakang ini juga boleh dilipat dan digelangsarkan untuk pelbagai kegunaan. Tempat duduk baris belakang boleh dilipat dan ia disorok rata sama dengan lantai bagi memberikan ruang kargo dengan kapasiti mencecah 2,905 liter.

Malah tempat duduk baris kedua juga boleh ditanggalkan terus dengan mudah – anda boleh pasang kembali dengan cara menghadap ke belakang untuk berhadapan dengan penumpang baris ketiga, atau tinggalkan di rumah untuk menjadikan kabin belakang lebih besar seperti sebuah bilik stor.

Kebiasaannya sebuah MPV dengan tiga baris tempat duduk akan mempunyai masalah pada ruang kargo belakang sekiranya semua tempat duduk digunakan, menyebabkan pemilik terpaksa menambah roof box di atas bumbung bukan? Dengan Kia Carnival, ini bukan masalah.

Ia kerana overhang belakang model generasi baharu ini adalah 30 mm lebih panjang dari model sebelumnya, tambahan pula ruang untuk ‘menyorokkan’ tempat duduk baris ketiga turut akan menjadi ruang storan sekiranya kerusi berkenaan diangkat untuk digunakan.

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Hasil semua ini memberikan ruang kargo belakang berkapasiti 627 liter dengan semua tempat duduk dinaikkan – ruang yang lebih besar dari but sebuah sedan segmen-D! Nak turunkan atau naikkan barang pada ruang but belakang ini juga lebih mudah kerana bukaan pintunya kini 26 mm lebih rendah dari model sebelumnya.

Beralih kepada ruang hadapan, pemandu menerima paparan instrumen digital 12.3-inci yang sangat jelas dengan kualiti seperti model-model Eropah, bersama roda stereng balutan kulit. Untuk menukar gear, tiada tombol konvensional diberikan tetapi digantikan dengan suis putar. Mod manual untuk menukar gear juga disediakan menerusi pedal penukar gear di belakang stereng.

Kedua-dua tempat duduk hadapan Carnival ini diberikan fungsi liang udara dan pemanas, serta boleh dilaras menggunakan kuasa elektrik dalam lapan hala, tetapi hanya belah pemandu yang diberikan fungsi memori larasan. Ia turut diberikan ruang storan pada bahagian bawah konsol tengah dengan pad pengecas tanpa wayar serta perehat tangan tengah yang menempatkan ruang storan besar di bawahnya.

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Kawalan untuk sistem pendingin hawa automatik dua zon pada MPV ini pula dibuat menerusi suis-suis analog yang mudah digunakan pada konsol tengah. Manakala untuk sistem infotainmen, Carnival menerima skrin sesentuh 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dihubungkan kepada sistem audio premium dari Bose dengan 12-pembesar suara yang menghidangkan kualiti bunyi yang cukup padu.

Pendek kata, segala perincian dalam kabin Kia Carnival ini bukan sahaja cukup premium, malah ia menawarkan ruang yang cukup selesa tak kira anda sebagai pemandu atau penumpang yang duduk pada mana-mana baris kerusi. Macam mana pula pemanduan untuk Kia Carnival ini?

Model pasaran Malaysia ini datang dengan hanya satu pilihan enjin iaitu unit Smartstream 2.2 liter empat silinder turbodiesel berkuasa 202 ps pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin ini digunakan secara meluas dan menjadi enjin diesel utama bukan sahaja pada model-model Kia, malah untuk model-model Hyundai, digunakan pada MPV dan juga SUV.

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Jadi tentang penjagaannya, anda tidak perlu risau kerana ia sudah terbukti cukup tahan lasak tanpa masalah pelik-pelik, dan alat gantinya juga tidak sukar untuk diperolehi. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dan memacu sepenuhnya roda hadapan.

Jika anda berdiri pada sebelah hadapan MPV ini dengan enjin dihidupkan, ya, anda akan mendengar sedikit bunyi ‘diesel knocking’ menandakan ia dijana oleh enjin diesel. Tetapi jika anda duduk di kerusi pemandu atau mana-mana tempat duduk dalam kabin Carnival ini, anda tidak tahu bahawa ini adalah model diesel kerana ia senyap seperti model petrol.

Pemanduan Kia Carnival ini juga langsung tidak membayangkan bahawa ia digerakkan oleh enjin diesel. Ia masih lagi sebuah enjin diesel dengan takat maksimum putaran pada 4,500 rpm dan kuasa serta tork puncaknya tiba pada takat rpm rendah. Namun nisbah gear yang diberikan, termasuk pada gear 1-2-3 membuatkan ia seolah-olah rasa seperti sebuah enjin petrol NA berkapasiti besar.

Malah sepanjang pemanduan, penulis langsung tidak terasa mahu menggunakan mod Sport mahupun menggunakan pedal penukar gear kerana talaan normal yang diberikan adalah sudah cukup berkuasa, cukup mudah digunakan dan sentiasa cukup pada apa jua situasi. Kia memang benar-benar memperhalusi unit rangkaian kuasa pada Carnival ini.

Penggunaan bahan api pada enjin ini juga cukup baik. Kia mendakwa Carnival ini mampu mencatatkan kadar penggunaan bahan api serendah 6.5 l/100 km dalam kitaran NEDC. Namun ketika memandu uji MPV ini dalam laluan campuran bandaraya, lebuhraya dan jalan-jalan kampung, bacaan purata yang penulis dapat adalah 8.6 l/100 km. Dengan satu tangki penuh diesel berkapasiti 72 liter membolehkan MPV ini bergerak lebih dari 700 km.

Sebagai sebuah MPV, sudah tentu suspensi untuk Carnival ini ditala tertumpu untuk keselesaan. Tetapi ini bukan bermakna ia perlu menjadikan pengedaliannya seperti ‘sampan’. Ya, memang masih ada rasa olengan badan ketika mengambil selekoh, namun ia pada tahap yang boleh diterima dan tidak terasa seperti nak terbalik. Malah dalam kelajuan tinggi di lebuhraya juga Kia Carnival ini terasa sangat solid.

Sebagai kesimpulan dan pendapat peribadi penulis sendiri, pemanduan, pengendalian, ruang dan juga keselesaan Kia Carnival ini adalah lebih baik dari Toyota Alphard dan Vellfire. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa dari segi pemanduan, Carnival ini adalah lebih ‘sedap’ berbanding saudara Alphard versi paling mahal iaitu Lexus LM350.

Ini adalah kerana Alphard, Vellfire dan LM350 masih menggunakan asas model generasi ketiga yang diperkenalkan sejak 2015, dan banyak perincian kerangka, mekanikal dan elektronik agak ketinggalan berbanding Carnival generasi keempat ini yang muncul lima tahun selepas itu.

Malah Kia Carnival ini turut menampilkan harga yang cukup kompetitif – model yang penulis uji ini iaitu 8-seater High yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dijual pada harga atas jalan RM247,228. Anda turut boleh memilih varian 8-seater Mid pada harga lebih rendah iaitu RM231,228.

PANDU UJI: Kia Carnival 2023 8-seater High – akhirnya, Alphard & Vellfire dah jumpa lawan sebenar!

Kia Carnival ini turut ditawarkan dalam varian 7-seater High di mana ia menerima sepasang tempat duduk kapten yang lebih selesa di baris kedua, dijual pada harga RM261,229. Model CBU dengan 11-tempat duduk juga masih ditawarkan oleh Bermaz, di mana model yang diklasifikasi sebagai kenderaan komersil ini dijual pada harga lebih rendah iaitu RM196,341.

Sebagai perbandingan, jika anda mahukan Toyota Alphard, ia masih lagi dijual pada harga lebih RM170k untuk model 2015 sehingga lebih RM350k untuk model recond dari Jepun, bergantung pada pelbagai spesfikasi, tahun dan kondisi. Alphard dan Vellfire pernah dijual baharu oleh UMW Toyota di Malaysia, dengan harga bermula RM382,300 untuk model dengan enjin 2.5 liter sehingga RM446,609.00 untuk model 3.5 liter.

Untuk lebih perincian berkenaan spesifikasi penuh setiap varian Kia Carnival CKD generasi keempat pasaran Malaysia ini, anda boleh membacanya dalam laporan pelancarannya yang kami sediakan pada PAUTAN INI, atau menerusi laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Jason Bond on Apr 16, 2023 at 11:25 pm

    Tulis boleh… Tapi adakah anda sendiri sanggup membelanjakan dan mempertaruhkan wang anda ke atas jenama kenderaan ini?

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 1
    • kamal on Apr 19, 2023 at 9:25 pm

      saya pengguna jenama Korea, Hyundai dan Kia…. stigma masyarakat terhadap jenama Korea ni yg menyebabkan anda berkata demikian… sedangkan prestasi gergaji automatif Korea ni di peringkat antarabangsa lebih baik dari Honda dan Toyota…

      Like or Dislike: Thumb up 8 Thumb down 0
  • kamal on Apr 19, 2023 at 9:25 pm

    saya pengguna jenama Korea, Hyundai dan Kia…. stigma masyarakat terhadap jenama Korea ni yg menyebabkan anda berkata demikian… sedangkan prestasi gergaji automatif Korea ni di peringkat antarabangsa lebih baik dari Honda dan Toyota…

    Like or Dislike: Thumb up 5 Thumb down 0
  • Benni on Jun 13, 2023 at 2:34 pm

    Masih ade lagi katak bawah tempurung, sampai sekarang masih pakai Toyota

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Norza on Aug 18, 2023 at 1:05 pm

    Walau dikatakan lebih baik drpd Alphard dan Velfire, supply and demand masih memihak kpd Toyota, value 2nd KIA masih rendah… Your money your choice…..

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 2
    • Wah, beli emas kalau begitu. konfirm tak rugi. boleh simpan dalam bilik. tak perlu bayar road tax dan insuran. begitu.

      Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required