GALERI: Kia Carnival CKD 2022 di Malaysia – foto varian Mid dan High 8-tempat duduk; dari RM231k

GALERI: Kia Carnival CKD 2022 di Malaysia – foto varian Mid dan High 8-tempat duduk; dari RM231k

Versi pemasangan tempatan (CKD) bagi Kia Carnival generasi ke-empat telah pun dilancarkan pada akhir bulan lalu, dan kini kami membawakan anda galeri foto penuh untuk MPV besar dengan varian lapan-tempat duduk ini, iaitu 2.2D Mid 8-tempat duduk dan 2.2D High 8-tempat duduk.

Carnival CKD yang dipasang di kilang pemasangan di Kulim ini juga ditawarkan dengan varian tertinggi 2.2D H 7-tempat duduk serta versi CBU untuk 2.2D 11-tempat duduk yang dilancarkan pada Januari lalu dan masih dijual di pasaran kita.

Enjin yang digunakan tetap sama untuk semua varian dan konfigurasi tempat duduk, iaitu unit 2.2 liter Smartstream 2.2D empat-silinder turbodiesel, yang menjana sebanyak 202 PS (199 hp) pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Pacuan ke roda depan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, memberikan kadar penggunaan minyak 6.5 l/100 km dalam kitaran NEDC.

Varian lapan-tempat duduk ini didatangkan dengan tiga barisan bentangan 2-3-3, dan pemiliknya mempunyai pilihan untuk konfigurasi 40:20:40 bagi barisan kedua untuk memberikan lebih banyak ruang atau pun mengubahsuainya termasuk saling menghadap secara face to face.

Sementara itu, barisan paling akhir pula boleh dibaringkan dengan nisbah 60:40 dan terus rata ke lantai. Untuk yang mempunyai anak kecil, MPV ini diberikan lima cagak ISOFIX untuk diletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak, iaitu tiga di barisan kedua dan dua lagi di barisan ketiga. Berbanding versi tujuh-tempat duduk (bentangan 2-2-3) yang memiliki empat cagak, dan tambahan tiga lagi untuk versi 11-tempat duduk (bentangan 2-3-3-3).

Satu ciri menarik bagi versi lapan-tempat duduk ialah barisan kedua boleh ditanggalkan dan boleh dipasang semula menghadap ke belakang jika perlu. Untuk keluarga, ini mewujudkan “ruang tamu” seperti memiliki kawasan kabin belakang di mana semua penumpang di enam tempat duduk boleh bercakap antara satu sama lain dengan mudah kerana mereka semua secara bersemuka. Atau anda boleh mengalihkan sementara tempat duduk barisan kedua dan lipat ke bawah barisan ketiga untuk mendapatkan ruang seperti van untuk mengangkut barangan yang besar.

Bagi kelengkapannya, semua varian bagi Carnival CKD, termasuk versi lapan-tempat duduk ini, didatangkan dengan roda aloi 18-inci (dengan tayar profil 235/60), lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus hadapan LED, lampu kabus belakang jenis mentol, bilah pengelap cermin penderia-hujan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, dua pintu sisi gelangsar bukaan-kuasa, tailgate bukaan-kuasa, lapan penderia parkir (empat di hadapan dan empat di belakang) serta cermin sisi dengan indikator membelok dan fungsi pemanas.

Ciri lain yang turut diberikan termasuklah pedal penukar gear, kawalan suhu hadapan dwi-zon, kawalan suhu belakang zon-tunggal (dengan corong di bahagian siling), tempat duduk hadapan dengan lapan-hala larasan kuasa, upholstery kulit Saddle Brown, sistem infotainmen skrin sesentuh 12.3-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem bunyi Bose 12-pembesar suara, tujuh port USB dan pengecas tanpa wayar Qi.

Khas untuk varian Mid 8-tempat duduk ialah paparan pelbagai-inco TFT-LCD 4.2-inci, pencahayaan dalaman jenis mentol dan kamera undur. Manakala varian High 8-tempat duduk ditambahkan dengan ciri termasuk dua bumbung suria larasan kuasa, kluster instrumen digital 12.3-inci, pencahayaan dalaman LED serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan pemanasan serta tambahan ketetapan memori untuk tempat duduk pemandu.

Bagi aspek keselamatan, ia menerima tujuh beg udara (hadapan, tirai sisi dan bahagian lutut pemandu) secara standard untuk Carnival CKD, bersama sistem pasif seperto ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, Kawalan Brek Pelbagai-Pelanggaran, bantuan mula mendaki,dan Kepekaan Penumpang Belakang. Selain itu, ia juga diberikan brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek auto secara standard.

Risalah spesifikasi Kia Carnival 2022 (CBU dan CKD); Klik untuk besarkan

Manakala varian High 8-tempat duduk ditambah dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan aktif yang merangkumi Bantuan Lampu Tinggi, Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Mengelak-Pelanggaran Hadapan (AEB) dengan sokongan belok di persimpangan, Bantuan Ikut Lorong dan Kawalan Kelajuan Pintar (ACC).

Varian Mid tempat duduk diberikan kemasan Meteor Gray dan untuk High 8-tempat duduk pula dengan warna Snowflake White Pearl. Ia adalah dua warna daripada lima pilihan secara keseluruhan yang ditawarkan untuk Carnival CKD, selain rona Astra Blue, Sonic Silver dan Jet Black.

Untuk harganya, Mid 8-tempat duduk ditawarkan pada RM231,228 dan High 8-tempat duduk pula berharga RM247,228. Varian High 7-tempat duduk pula paling murah dalam barisan Carnival CKD iaitu RM261, 228.80, sementara versi CBU 11-tempat duduk pula yang diklasifikasikan sebagai kenderaan komersil pula berharga RM196,340.80 kerana diberikan cukai yang lebih rendah.

GALERI: Kia Carnival (CKD) 2.2D High 2022 8-tempat duduk

GALERI: Kia Carnival (CKD) 2.2D Mid 2022 8-tempat duduk

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required