PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

Sebelum ini, kehadiran Kia Carnival di Malaysia tidaklah begitu diperhatikan. Malah kelibatnya agak jarang-jarang kelihatan di jalan raya. Bagaikan ia MPV yang kurang popular. Mungkin ramai yang kurang yakin dengan prestasinya, atau barangkali rekaannya kurang menambat hati. Atau lebih ramai memilih untuk membeli SUV berbanding MPV.

Walau bagaimana pun, sudah tiba masanya persepsi tersebut diperam atau dilupakan terus dengan kehadiran Carnival 2022 di pasaran tempatan. Carnival serba baharu yang dibawa masuk terus dari negara kelahirannya, Korea Selatan, bagai mengubah 360 darjah pandangan skeptikal mengenainya. Tengok di hadapan mata, mampu menggetarkan jiwa. Tetapi adakah rekaan yang lebih versatil dan prestasinya berbaloi dengan harganya yang agak tinggi iaitu hampir RM200k?

Baru-baru ini kami diundang menyertai sesi pandu uji Carnival 2022 oleh Dinamikjaya Motors (anak syarikat Bermaz Auto), dari ibu pejabatnya di Shah Alam menuju ke Ipoh, Perak. Walau pun jarak pemanduan yang agak pendek secara bergilir, namun ia masih memberi sedikit kesempatan untuk berkongsi pengalaman mengendalikan model baharu dari Kia ini yang lebih mahu digelar sebagai Grand Utility Vehicle (GUV), bukannya MPV.

PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

Hanya satu varian enjin sahaja yang ditawarkan iaitu 2.2L diesel turbo empat-silinder untuk memacu GUV ini. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Jika anda tertanya-tanya, adakah enjin berkapasiti itu boleh ‘membawa’ GUV 11-tempat duduk ini dengan cemerlang? Bagi saya, ia berskala sederhana. Tidak mengecewakan, tetapi tidak juga begitu menguja.

Pada mulanya, terlintas di benak fikiran, mungkin mengendalikan GUV sebesar ini tidaklah begitu selesa dan menyenangkan. “Mungkin macam bawak van…”. Tapi selepas 15 minit pertama mengendalikan sterengnya, pesepsi itu ghaib begitu saja.

Dengan hamburan kuasa hingga 202 PS (199 hp) pada 3,800 rpm dan tork 441 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm, memacunya dari titik pegun ke 100 km/j, enjin ini mampu dikerahkan tanpa begitu dipaksa. Malahan padanan transmisinya juga tidak lembap untuk menginjakkan pertukaran gear. Pacuannya tidaklah rasa ‘macam berat’ untuk mengendalikan GUV ini. Tapi mungkin beban kapasiti yang dibawa cuma empat orang dan tiada barangan berat, jadi sedikit sebanyak ia tidak mengganggu prestasi enjin untuk memuntahkan kuasanya.

PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

Carnival 2022 ini juga diberikan mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Eco dan Smart. Jadi, anda boleh memilih mana-mana mod pemanduan yang diingini mengikut corak pengendalian dan keadaan jalan. Seperti biasa, setiap satu mod memiliki ‘rasa’ pemanduan yang berbeza. Bukan itu sahaja, sistem stereng kuasa bagi GUV ini juga telah dilaras semula bagi membantu pengendalian yang lebih optimum.

Bagi penggunaan bahan apinya, di dalam kertas risalah tertulis 7.9 liter bagi setiap 100 km. Dengan tangki penuh berkapasiti 72 liter, perjalanan kami pada hari itu Shah Alam-Ipoh-Shah Alam, ada lebih kurang setengah tangki lagi berbaki sebaik saja kami tiba di HQ Kia, dengan rekod pada meter tercatat 8.6 liter bagi setiap 100 km. Walau bagaimana pun, bab penggunaan bahan api, bukan setakat tertakluk pada jarak perbatuan, namun cara pemanduan, bebanan yang dibawa juga memainkan peranan penting. Jadi, perkara ini bersifat subjektif.

Ia juga menggunakan sistem suspensinya serba baharu yang lebih mantap iaitu gandingan topang MacPherson di hadapan dan Multi-Link di belakang, agak membantu pengendalian yang selesa. Jika sebagai penumpang, biar pun duduk di tempat duduk barisan terakhir, walau pun sedikit sempit, namun olengan badannya tidaklah begitu ketara.

PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

Dengan dimensi 5,155 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,740 mm tinggi dan jarak roda 3,090 mm, pengendaliannya di jalan raya biasa mahu pun lebuhraya, tidak sesukar mana. Tetapi agak mencabar bila mana melalui laluan sempit atau pun mahu membuat pusingan-U. Maklumlah saiznya yang ‘agak bagak’, jadi tidak boleh sebarangan membuat keputusan tanpa memikirkan sudut-sudut yang harus dielakkan. Bab ini, kena sedikit bersabar, begitu juga kalau nak masuk parkir yang kiri-kanan ada kenderaan lain. Tapi inilah yang menguji kemahiran pemanduan anda…terutamanya pemandu perempuan!

Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, dimensi keseluruhan bagi model 2022 adalah lebih besar. Di mana ia ada tambahan bagi panjang (+40 mm), lebar (+10 mm) dan jarak roda (+30 mm).

Unit CBU yang dibawa masuk ke Malaysia ini turut menerima rekaan luaran yang diubah sepenuhnya.Kini imej luarannya lebih moden dan menarik perhatian. Tiada lagi imej pakcik-makcik seperti model-model sebelum ini. Kini ia diberikan gril “Tiger Nose” yang lebih besar dan disambungkan dengan lampu hadapan yang menggunakan unit projektor LED bersama lampu nyalaan siang LED.

Ia juga ditampilkan kemasan plastik hitam pada bawah bampar, skirt sisi, skid plate dan rel bumbung. Selain itu,lampu belakang kombinasi dengan posisi melintang, lampu kabus hadapan LED dan unit mentol biasa untuk belakang serta rim 18-inci jejari-Y dibaluti tayar Continental CrossContact RX diberikan untuk Carnival generasi baharu ini. Malahan ia juga menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

Memasuki ruang kabinnya, serlahan elegan jelas kelihatan pada papan pemuka terutamanya jaluran dengan kemasan perak yang melintang pada bahagian tersebut. Begitu juga dengan pemilihan balutan kulit tiruan Saddle Brown untuk tempat duduk. Malahan rona yang sama juga digunakan untuk kemasan bahagian papan pemuka dan panel pintu. Tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala turut diberikan. Manakala tempat duduk untuk barisan kedua turut diberikan perehat tangan.

Antara kelengkapan yang diberikan termasuk konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol bulat serta skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay dan enam pembesar suara. Panel meter menggunakan gabungan analog serta paparan digital 4.2-inci.

PANDU UJI: Kia Carnival 2022 lebih bergaya dan prestasi sederhana tapi menang bab praktikaliti

Kelengkapan lain yang diberikan terus adalah termasuk sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon (yang boleh dikawal dari konsol tengah dan zon belakang pula, kawalannya pada barisan kedua, corong udara diberikan untuk barisan ketiga), pengecas Qi tanpa wayar, tujuh USB port (tiga unit di hadapan, dua unit untuk barisan kedua yang ditempatkan pada sisi tempat duduk hadapan, dan dua unit untuk barisan ketiga yang diposisikan pada panel tepi) dan sistem kamera 360 darjah.

Kalau anda mencari memang mencari sebuah MPV, Carnival 2022 ini memang sesuai dijadikan pilihan. Walau pun ternyata prestasinya biasa-biasa sahaja, tetapi ia sangat praktikal terutamanya mampu membawa penumpang seramai 11 orang dalam satu masa. Kalau tidak membawa penumpang seramai itu, mungkin anda perlukan ruang yang luas untuk membawa barangan. Ya, GUV ini bersesuaian. Ia juga memiliki susunan tempat duduk dengan tiga barisan belakang yang fleksibel. Untuk pemahaman yang lebih jelas, ia memiliki konfigurasi tempat duduk dengan empat barisan iaitu 2-3-3-3.

Di mana tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh dilipat dan ditolak ke tepi bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi barisan. Manakala tempat duduk barisan akhir adalah jenis bench yang boleh dilbaringkan sepenuhnya bagi memberikan lebih kapasiti bagi ruang kargo.Kalau ada sesiapa yang perlu duduk di barisan terakhir, kena yang berbadan kecil atau pun kanak-kanak kerana ruang tersebut agak sempit.

Kia yang semakin memantapkan teknologi dalam pengeluaran model kenderaannya telah memberikan ciri Smart Power Doors dan Smart Power Tailgate buat Carnival 2022 ini. Kedua-dua ciri berkenaan menggunakan sistem operasi bebas tangan (tetapi kena ada sesiapa yang memegang kunci GUV tersebut berdekatan dengan mana-mana pintu). Pintu gelangsar pada kedua-dua sisi dan juga pintu belakang boleh dibuka/ditutup menerusi butang lock/unlock pada kunci atau pun menekan butang kecil pada pemegang pintu.

Bagi aspek keselamatan, ia diberikan enam beg udara, dua unit cagak Isofix pada barisan kedua, kawalan stabiliti, pemantau titik buta dan amaran trafik melintas dari belakang. Walau bagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan sendiri atau kawalan kelajuan adaptif. Namun, Kia memberikan ciri keselamatan Safe Exit Assist iaitu sistem ini boleh mengesan pergerakan kenderaan lain di luar dengan kelajuan sekurang-kurangnya 5 km/j, dan ia akan berbunyi sebagai tanda berwaspada dan pintu gelangsar tidak akan boleh dibuka selagi keadaan di luar masih belum selamat.

Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red.

Sementara menantikan kehadiran unit pemasangan tempatan yang akan bermula pada Mei ini, Kia memasarkan unit CBU ini dengan harga RM196,341 (harga atas jalan dan 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun ini). Ia turut hadir dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km.

Pencabar terdekat Carnival 2022 ini sudah pastinya Hyundai Grand Starex yang diperkenalkan pada tahun 2022, dengan dua pilihan varian berharga RM163,888 dan RM173,888. Walau bagaimana pun, MPV ini diletakkan di bawah kategori kenderaan komersil – sama seperti trak pikap – jadi ia tidak mendapat manfaat pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sedang berlangsung.

Mengikut perbandingan, MPV keluaran Hyundai itu digandingkan dengan enjin 2.5 liter empat-silinder turbodiesel dengan hamburan kuasa 170 PS dan tork 441 Nm – pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lima-kelajuan.

Anda boleh membandingkan spesifikasi kedua-dua model ini menerusi Carbase.my. Apa pun, pilihan muktamad masih terletak di tangan anda.

GALERI: Foto rasmi Kia Carnival 2022

GALERI: Kia Carnival 2022 sewaktu dipandu uji

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required