Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

Anda mungkin sudah nampak banyak laporan tentang Kia Carnival baru untuk pasaran Malaysia, tetapi inilah dia pengumuman rasmi dari Bermaz. MPV tersebut sudah pun dijual secara rasmi, dengan harga RM196,341 seperti yang diumumkan sebelum ini (atas jalan tanpa insuran, dan termasuk 50% pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2022). Jaminan yang diberi pula adalah selama lima tahun atau 100,000 km bersama servis penyelenggaraan percuma lima-tahun/100,000 km.

Buat permulaan, model yang dibawa ke Malaysia adalah model CBU yang diimport dari Korea Selatan, sebelum ditawarkan sebagai model CKD apabila produksi model pemasangan tempatan berkenaan bermula bulan Mei nanti. Pasaran Malaysia juga hanya ditawarkan dengan satu varian tunggal iaitu 2.2D dengan 11-tempat duduk.

Varian ini digerakkan oleh enjin 2.2 liter turbodiesel Smartstream yang mampu menghasilkan kuasa 199 hp (202 PS) pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 441 Nm bermula 1,750 hingga 2,750 rpm. Kuasa dihantar kepada kotak gear automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

Kia Carnival 2022 dilancar secara rasmi untuk Malaysia – satu varian 2.2D 11 tempat duduk, harga RM196,341

Antara kelengkapan standard yang diberikan pada Kia Carnival pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan projektor LED berkembar bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, bersama lampu kombinasi belakang dan lampu kabus belakang yng masih mneggunakan mentol biasa.

Ia juga diberikan perincian lain seperti lampu dan pengelap cermin automatik dan rim 18-inci jejari-Y bersama tayar 235/60R18. Carnival generasi baharu untuk pasaran Malaysia ini juga sudahpun menerima logo baharu Kia yang diletakkan pada bonet, pintu tailgate, penutup tengah rim dan juga pada beg udara roda stereng.

Dalam kabin, ia menerima papan pemuka yang direka bersama konsol tengah tinggi, pemilih gear jenis tombol putar serta skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Untuk panel instrumen, ia menggandingkan meter analog bersama paparan pelbagai info dengan skrin TFT-LCD 4.2 inci.

Untuk konfigurasi tempat duduk, 11-kerusi berkenaan disusun dalam empat barisan iaitu 2-3-3-3. Baris kedua dan baris ketiga boleh dilipat dengan nisbah 40:20:20, dengan tempat duduk tengah untuk kedua-dua baris tersebut direka sebagai tempat duduk sementara yang boleh disimpan bagi memberikan ruang laluan untuk berjalan merentasi baris. Kerusi baris akhir adalah kerusi jenis bench yang boleh dilipat bagi memberikan lebih ruang kargo.

Bagi aspek keselamatan, Kia Carnival 2022 pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan enam beg udara, kawalan stabiliti, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix pada baris kedua, penderia parkir hadapan dan belakang, kamera pemantau 360-darjah, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Walaubagaimanapun, model ini tidak diberikan sebarang sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik (AEB) atau Adaptive Cruise Control.

Kelengkapan lain yang turut diberi adalah sistem kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa, balutan kulit tiruan Saddle Brown, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah serta pintu gelangsar dan pintu but bukaan kuasa tanpa sentuhan. Enam warna badan ditawarkan untuk Kia Carnival ini iaitu Snow White Pearl, Silky Silver, Aurora Black Pearl, Panthera Metal, Astra Blue dan Flare Red.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required