Dua tahun lalu penulis berpeluang untuk memandu uji Toyota GR Corolla, iaitu versi awalan hot-hatch berkenaan selepas ia membuat kemuculan sulung global pada April 2022. Walaupun sudah dilancarkan, GR Corolla dan adiknya iaitu GR Yaris sebenarnya masih dibangunkan bukan sahaja oleh jurutera-jurutera di unit R&D, malah menerusi perlumbaan-perlumbaan seperti Nürburgring 24 Jam dan siri Super Taikyu Endurance di Jepun, di mana ia turut melibatkan pengerusi Toyota sendiri iaitu Akio Toyoda atau lebih dikenali dengan nama alter ego ‘Morizo’ di litar lumba.
Dan ini membolehkan GR Corolla diperkenalkan dalam versi kemaskini hampir setiap tahun, berevolusi dengan pelbagai komponen dan talaan yang dipertingkat menerusi apa yang ditemui dalam ujian berterusan dan ketika berlumba – sesuai dengan tagline Gazoo Racing ‘Pushing The Limit For Better’.
Unit yang diterima oleh penulis kali ini adalah versi terkini GR Corolla yang diperkenalkan dalam versi terbaharu di Jepun pada September 2025, dan dilancarkan di Malaysia pada Januari tahun ini. Pada mulanya penulis hanya mahu menguji kotak gear automatik Gazoo Racing Direct Automatic Transmission lapan-kelajuan (GR DAT-8AT) pada GR Corolla ini di mana sebelum ini ia hanya ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan, namun sebaik sahaja keluar dari petak parkir di Ibu Pejabat UMW Toyota di Seksyen 15 Shah Alam, perbezaan versi kemaskini ini terasa begitu signifikant dan ia sememangnya sebuah kereta yang berbeza dari model yang penulis uji dua tahun lalu, dan bukan sekadar perbezaan kotak gear!
Pada sebelah luar, versi kemaskini 2026 ini masih menampilkan rupa GR Corolla facelift yang diperkenalkan pada 2024. Versi facelift ini boleh dikenali menerusi bampar hadapan yang berlainan dari versi sebelumnya, di mana tiada lagi lampu kabus diletak pada bampar berkenaan bagi memberikan ruang liang udara yang lebih besar.
Rombakan rekaan ini buka hanya untuk estetika semata-mata kerana matlamat sebenarnya adalah bagi memberikan aliran udara untuk penyejukan yang lebih baik, terutamanya untuk penyejuk minyak transmisi pada model automatik. Bampar ini juga direka dengan liang yang mangalirkan udara terus untuk menyejukkan sistem brek dan juga tirai udara bagi mengurangkan pergolakan udara dalam ruang roda hadapan, seterusnya meningkatkan kestabilan pengendalian.
Selain dari itu, ia masih lagi nampak sama seperti versi sebelumnya di mana GR Corolla ini menerima perincian-perincian standard antaranya dilengkapi dengan lampu utama LED, bumbung forged carbon, panel-panel badan seperti penutup bonet hadapan aluminium, brek dengan cakera berliang dan ditebuk untuk semua roda bersama angkup enam-omboh monoblok di hadapan, angkup dua-omboh monoblok di belakang serta rim aloi Enkei 18-inci hitam dibalut dengan tayar Yokohama Advan Apex 235/40R18.
Beralih ke kabin pula, secara keseluruhannya ia masih nampak sama dengan versi sebelumnya. Apa yang berbeza GR Corolla pasaran Malaysia 2026 tidak kira dalam varian automatik atau manual menerima skrin sistem infotaimen Display Audio baharu yang lebih besar bersaiz 10-inci bagi menggantikan skrin 9-inci sebelum ini, dan ia masih datang dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Tempat duduk semi-bucket GR dengan balutan Brin Naub dan roda stereng GR dengan serlahan jahitan benang merah masih lagi kekal seperti sebelum ini.
Perincian lain juga masih sama di mana GR Corolla pasaran Malaysia ini datang dengan sistem tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan pendingin dua zon, paparan instrumen digital 12.3-inci, paparan head-up, pengecas tanpa wayar, enam-pembesar suara, dash cam depan dan belakang, kamera undur dan filem penapis haba. Khas untuk versi automatik, ia hadir dengan pedal penukar gear pada stereng.
Model facelift ini masih digerakkan dengan enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo yang menjana 300 PS pada 6,500 rpm, namun dengan sedikit kemaskini talaan ia kini dibekalkan dengan tork 400 Nm dicapai antara 3,250 hingga 4,600 rpm, atau 30 Nm lebih besar berbanding model yang pre-facelift yang penulis uji sebelum ini.
Untuk versi dengan kotak gear automatik, ia turut diberikan beberapa fungsi dan komponen tambahan yang tidak ada pada versi manual iaitu sistem launch control yang membolehkan anda berlepas seperti roket, penyejuk bendalir transmisi automatik (ATF) serta pemanas dan penyejuk ATF yang menggunakan cecair penyejuk bagi memastikan ia beroperasi pada suhu bekerja yang optimum.
Jelas dengan beberapa perbezaan antara GR Corolla facelift ini dengan versi sebelumnya? Sekarang tiba masa untuk memandu. Penulis merasakan satu perbezaan yang jelas sebaik sahaja memandu kereta ini melalui bonggol jalan pada kelajuan rendah, di mana bukan hanya suspensi kereta ini rasa lebih keras dari versi sebelumnya, malah perasaan solid itu turut terasa pada badan kereta ini sendiri.
Ini kerana selain dari talaan suspensi yang berubah setiap tahun yang turut melibatkan penukaran beberapa bush yang lebih keras dan juga perubahan pada geometri suspensi itu sendiri, Toyota turut telah menambah bahan perekat badan ketika memasang badan GR Corolla ini, menjadikan badannya lebih keras, memberikan input yang lebih terus kepada pemandu.
Ada tiga mod pemanduan diberikan GR Corolla automatik ini iaitu Eco, Normal dan Sport. Seperti biasa, mod Eco akan memberikan respon pendikit yang ‘malas’ serta tukaran gear dibuat pada takat rpm lebih rendah bagi memberikan ekonomi bahan api lebih baik. Manakala untuk mod Sport, tujahan pendikit adalah lebih tajam dan tukaran gear akan dibuat pada takat rpm lebih tinggi. Namun tidak seperti beberapa model prestasi lain yang menetapkan respon pendikit terlalu agresif sehingga sukar untuk memandu dengan mod tersebut dalam aliran trafik bandar biasa, mod Sport pada GR Corolla ini terasa lebih mesra untuk anda pandu dalam apa jua keadaan trafik. Cuma penggunaan bahan api akan menjadi sedikit tinggi.
Bercakap tentang penggunaan bahan api, GR Corolla dengan kotak gear automatik ini mencatatkan penggunaan petrol sekitar 10.5 liter untuk 100 km/l jika dipandu dalam kawasan bandar yang kerap kali perlu berhenti dan berjalan semula. Manakala untuk pemanduan jarak jauh menggunakan lebuhraya dengan kelajuan purata 110-120 km/j, hot-hatch ini mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 8.6 liter untuk 100 km/l.
Selain dari dibina dengan ketahanan yang tinggi, kotak gear GR DAT 8AT ini juga ditala bagi disesuaikan dengan corak pemanduan yang sporty. Sekiranya anda tidak pandai menggunakan pedal penukar gear sekalipun, kotak gear ini akan memberikan penurunan gear yang agresif siap dengan throttle blip sekiranya mengesan kelajuan kereta diperlahankan secara mendadak. Malah bunyi blow-off dari enjin juga masih lagi kedengaran jelas setiap kali pedal pendikit diangkat.
Dan sekiranya anda menggunakan mod manual pada kotak gear bersama mod pemanduan Sport, gear perlu dinaikkan dan diturunkan secara manual sepenuhnya, dan putaran enjin akan ‘dipotong’ sekiranya rpm melebihi redline tetapi gear tidak ditukar. Tukaran gear yang dibuat juga cukup pantas, tiada sebarang isu lag, atau delay dan sebagainya – memang sebuah kotak gear sangat sesuai untuk digunakan di litar.
Mana lagi laju, manual atau automatik? Toyota menyatakan kedua-dua versi ini mencatatkan pecutan 0-100 km/j yang sama iaitu 5.3 saat. Dari segi tukaran gear mungkin automatik lebih pantas dari manual, namun ia di’off-set’ dengan perbezaan 25 kg lebih berat.
Seperti yang disebut tadi, suspensi GR Corolla facelift ini memang lebih keras dari sebelumnya. Jadi ia kurang selesa terutamanya pada permukaan jalan yang tidak rata. Namun sekiranya bertemu dengan selekoh, ia mendatangkan ketagihan untuk ‘meratah’ selekoh berkenaan dengan kelajuan tinggi.
Mana tidaknya, daya olengan dirasakan sangat minimal, input dari jalan raya dapat dirasai oleh pemandu dengan lebih baik hasil dari badan yang lebih keras, bersama stereng yang begitu responsif, ditambah dengan sistem pacuan semua roda GR-Four membuatkan kereta ini melekat di atas permukaan tar.
Toyota GR Corolla facelift 2026 ini dalam versi kotak gear automatik ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM378,950. Oleh itu berbanding versi dengan kotak manual enam-kelajuan yang dijual pada harga RM368,950, versi automatik ini adalah RM10,000 lebih mahal.
Mana lebih best? Manual atau Automatik? Bagi penulis sendiri, tiada apa yang boleh menandingi nikmati memandu sebuah kereta dengan kotak gear manual. Namun untuk mereka yang yang tinggal di kawasan urban dan teringin nak beli GR Corolla, versi dengan kotak gear automatik ini adalah jawapannya – masih sangat pantas, mengujakan, dalam masa yang sama ia sangat selesa digunakan dalam keadaan trafik sesak.






Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800
Toyota Hiace
dari RM169,000