Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Yang dinanti-nanti sudah tiba, ini dia Toyota GR Corolla secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia! Hot-hatch ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM355,000, menjadi sejarah sebagai Corolla paling mahal dan paling laju pernah dijual oleh UMW Toyota di sini.

GR Corolla membuat kemunculan sulung globalnya di Amerika Syarikat pada April tahun lalu, jadi bermaksud ia tiba di Malaysia tidak sampai setahun. Namun sebelum Malaysia, GR Corolla sudah pun mendarat di Thailand terlebih dahulu, dilancarkan pada November 2022 dan dijual pada harga 3.949 juta baht (RM500,352).

Malah walaupun ia diasaskan dari Corolla Hatchback, GR Corolla perlu dipasang di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi di Jepun, bersama GR Yaris. Ini kerana kerangka asas GR Corolla tersebut perlu disediakan seakan kereta lumba sebenar bagi memberikan badan lebih tegar dari Corolla Hatchback biasa yang mempengaruhi prestasi dan pengendaliannya. Antara perkara yang dibuat termasuk memberikan bahan perekat panel yang lebih banyak berbanding model biasa.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Model ini masih menggunakan asas enjin yang sama seperti adiknya, GR Yaris iaitu enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo. Namun berbanding GR Yaris yang menghasilkan ‘hanya’ 261 PS, enjin sama pada GR Corolla yang ditala semula ini berupaya untuk menjana 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm bagi disesuaikan dengan badannya yang lebih besar. Walau bagaimanapun kadar tork yang dibekalkan adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

Antara perkara yang dibuat untuk mengekstrak kuasa lebih besar tersebut adalah dengan pemadanan sistem ekzos baharu dan juga menaikkan kadar boost turbo. Secara mata kasar, sistem ekzos GR Corolla ini menampilkan tiga tip pada bampar belakang. Ia bukan sekadar gimik kerana sistem ekzos yang turut diberikan injap berkenaan dapat mengurang tekanan, sekaligus “memberikan pecutan yang luar biasa serta tambahan RPM yang lebih menyeronokkan”, dakwa Toyota.

Enjin berkenaan dipadankan hanya dengan kotak gear manual pintar (i-MT) enam-kelajuan, tanpa pilihan sebarang transmisi automatik. Jadi untuk anda yang mahukan GR Corolla automatik sekadar untuk ‘melaram’, boleh lupakan niat itu. Kotak gear tersebut turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Padanan ini membolehkan GR Corolla memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

Sama seperti GR Yaris, GR Corolla ini turut diberikan sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan menerusi Kejohanan Rali Dunia (WRC). Sistem tersebut menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Kalau anda perasan, badan GR Corolla ini juga lebih lebar dari Corolla Altis mahupun Corolla Hatchback biasa. Ini kerana ia sememangnya diberikan fender hadapan 20 mm lebih lebar dan belakang 30 mm lebih lebar dari model standard. Ia bukan sekadar untuk rupa yang garang semata-mata, tetapi ia adalah untuk suspensi serta set roda yang memberikan jarak trek hadapan 60 mm lebih lebar dan trek belakang 85 mm lebih lebar, sekali lagi untuk prestasi dan pengendalian.

Konfigurasi asal sistem suspensi GR Corolla ini kekal dengan topang McPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Ia menampilkan set bushing jenis pillow ball, serta talaan terhadap penyerap hentak, spring serta jajaran roda yang dioptimakan bagi membolehkan tork dari sistem GR-Four diagih lebih baik terhadap permukaan jalan. Toyota juga telah menala sistem kawalan kestabilan ketika pemanduan sporty agar ia memberikan keyakinan dan keseronokan walaupun kereta ini dipandu sehingga ke hadnya.

Tidak cukup dengan itu, GR Corolla ini juga menerima pendakap-pendakap tambahan pada badan, antaranya di bahagian tengah antara ruang roda kiri dan kanan sebelah belakang, terowong bawah badan dan juga di bawah lantai pada bahagian hadapan tangki minyak – kesemua ini bagi memberikan kestabilan pengendalian yang lebih baik.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Untuk memberhentikan kereta ini, GR Corolla dilengkapi dengan sistem brek menampilkan cakera bersaiz 18-inci bersama angkup empat omboh di hadapan, dan juga cakera 16-inci bersama angkup dua omboh di belakang. Kuasa dari sistem pacuan semua roda dialirkan ke permukaan tar menerusi tayar Yokohama Advan Apex bersaiz 235/40R18 yang membaluti set rim aloi 18-inci 15-jejari dari Enkei dalam kemasan hitam berkilat.

Untuk rupa luaran, seperti diberitahu tadi GR Corolla tampil dengan badan yang lebih lebar dari Corolla Hatchback biasa. Bampar hadapan pula diberi rekaan tipikal GR dengan liang udara utama yang lebih besar bagi memberikan aliran udara lebih baik tidak kira sama ada di litar, jalan raya dengan permukaan lasak, mahupun di atas permukaan salji.

Liang udara yang besar turut diberikan pada fender, manakala fender belakang yang dilebarkan turut melibatkan panel tambahan pada pintu. Bampar belakang pula diolah semula bagi memberikan reflektor yang direka lebih tegak, bersama diffuser lebih agersif serta perumah untuk tiga tip ekzos yang bersaiz besar.

Sama seperti GR Yaris, panel bumbung GR Corolla ini diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dengan proses kompaun acuan lembaran (SMC) yang membolehkan ia dihasilkan dengan rupa lebih bebas, serta menampilkan komponen yang lebih ringan dan lebih kuat.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Tidak seperti GR Yaris yang nampak ‘kosong’ dan dihasilkan semata-mata untuk dipandu, kabin GR Corolla ini nampak lebih mewah. Ia masih menampilkan papan pemuka yang sama seperti Corolla Hatchback biasa, tetapi diberikan paparan instrumen digital TFT penuh bersaiz 12.3-inci yang dihasilkan khas untuk model GR, diinsprasikan dari kereta lumba serta mendapat input dari pelumba profesional.

Paparan instrumen tersebut akan ‘meraikan’ pemandu dengan animasi selamat datang GR setiap kali enjin dihidupkan, dan turut memberikan maklumat berkenaan mod AWD GR Four, tekanan boost turbo, kedudukan gear dan pelbagai lagi. Tak cukup? Ada juga paparan Head-up yang dipancarkan pada cermin hadapan bagi lebih memudahkan pemandu melihat maklumat pemanduan yang diperlukan.

Selain itu, model ini juga diberikan tema hitam dengan serlahan-serlahan merah bersama kelengkapan GR lain seperti tempat duduk GR yang ‘memeluk’ badan anda dengan lebih erat, roda stereng GR balutan kulit, set pedal aloi, tombol gear balutan kulit dan juga logo-logo GR di tempat sepatutnya.

Berbanding Corolla biasa yang diberikan brek parkir elektronik, GR Corolla ini hanya diberikan brek parkir manual yang menggunakan tuil tradisional. Mungkin ada yang fikir ini kerana cut cost bukan? Tidak, ini kerana GR Corolla masih lagi mengutamakan prestasi berbanding perincian mewah – brek parkir manual ini sangat diperlukan dalam pemanduan prestasi khususnya ketika beraksi dalam litar gymkhana dan rali, serta untuk memulakan aksi drift.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Untuk sistem hiburan pula, bahagian tengah papan pemuka GR Corolla ini diberikan skrin sesentuh sembilan-inci yang memberikan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Ia juga datang dengan sistem penghawa dingin dua zon serta pengecas tanpa wayar.

Manakala untuk keselamatan, GR Corolla ini hadir standard dengan tujuh beg-udara bersama sistem Toyota Safety Sense (TSS). Sistem bantuan pemanduan TSS berkenaan beroperasi menggunakan kamera manokular dan radar, memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dan sebagainya.

Model pasaran Malaysia ini turut disertakan dengan kamera perakan digital (DVR) pada bahagian hadapan serta filem penapis haba Toyota Premium Security and Solar Film secara standard. Pembeli juga ditawarkan untuk memadankan Vehicle Telematics System secara opsyenal yang mampu mengesan lokasi kenderaan tersebut sekiranya dicuri.

Toyota GR Corolla tiba di Malaysia – RM355,000, 1.6L 3-silinder turbo, 304 PS/370 Nm, 6MT, AWD GR-Four

Tidak seperti GR Yaris yang dibina terhad 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia (Malaysia hanya menerima 127-unit) kerana dihasilkan sebagai model homologasi istimewa FIA untuk WRC, Toyota tidak menetapkan GR Corolla ini sebagai model edisi terhad. Namun jumlah pengeluarannya setiap tahun tidak akan dibuat dengan banyak untuk menjaga nilai eksklusifnya.

Toyota GR Corolla ini datang dengan perlindungan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan sama seperti model-model biasa Toyota yang lain. Namun untuk membeli GR Corolla ini atau mana-mana model dengan logo GR lain, anda perlu datang ke pengedar yang mempunyai outlet GR Garage. Setakat ini hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

GR Garage diperkenalkan buat pertama kali di sini pada 2019 serentak dengan pelancaran GR Supra ke pasaran tempatan, dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menyediakan GR Garage di luar Jepun. Anda bukan sahaja boleh membeli model-model GR, peralatan prestasi GR dan juga cenderamata GR, malah GR Garage turut menyediakan perkhidmatan bagi mereka yang berminat untuk membeli kereta untuk tujuan perlumbaan dan akan diberikan sekali sokongan dan bantuan servis selepas jualan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • malaysia good market on Feb 22, 2023 at 1:51 pm

    RM355K Subaru impreza WRX or honda civic type R or bmw i220 gran coupe or mitsubishi lancer evo X polis

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required