Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

Ketika Toyota GR Yaris diperkenalkan pada 2020 dahulu, Toyota awal-awal sudah menyatakan bahawa model homologasi istimewa untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) berkenaan hanya akan dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk pasaran seluruh dunia. Namun ketika ‘abangnya’ iaitu GR Corolla didedahkan minggu lalu, tiada sebarang kenyataan dari Toyota yang menyatakan sama ada ia juga akan dihasilkan secara terhad atau lebih banyak.

Portal Road&Track mendedahkan bahawa nampaknya GR Corolla tidak terhad hanya 25,000 unit walaupun ia dihasilkan di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi sama seperti GR Yaris. Namun jumlah pengeluarannya tidak akan benar-benar banyak kerana nilai eksklusif model berkenaan turut akan dijaga.

“Saya tidak kata bahawa model ini akan dihasilkan tidak banyak kerana kemampuan kami untuk memproduksinya. Ia perlu berhati-hati kerana kami mahu kekalkan kredibiliti status nic model ini,” kata naib presiden Toyota untuk pemasaran, Mike Tripp kepada R&T.

Menurut laporan R&T lagi, strategi yang digunakan oleh Toyota ini adalah sama seperti langkah yang diambil oleh pengeluar lebih premium. Porsche misalnya, kapasiti produksi untuk model-model yang paling mengujakan biasanya akan ditetapkan agar tidak melebihi permintaan.

Toyota GR Corolla – bukan model edisi terhad, tapi akan dihasilkan tidak banyak untuk kekal eksklusif

Dalam laporan tersebut, Tripp turut menyatakan bahawa bagi memastikan produk tersebut sentiasa segar dalam pasaran, GR Corolla akan ditawarkan dalam pelbagai model edisi terhad; model yang pertama adalah GR Corolla Circuit Edition yang diperkenalkan serentak dengan kemunculan sulung minggu lalu.

Tripp menganggarkan sejumlah 6,000 hingga 8,000 unit GR Corolla akan terjual di Amerika Syarikat setiap tahun, dimana sekitar 1,250 daripadanya adalah model edisi terhad. Beliau turut menjelaskan setiap pengedar Toyota di negara berkenaan berpeluang untuk menjual model edisi terhad berkenaan.

Berita ini sebenarnya mencerahkan lagi peluang untuk Malaysia menerima GR Corolla untuk di bawa ke sini. Bagi yang belum mengetahui, walaupun GR Yaris merupakan model dengan jumlah pengeluaran yang terhad, UMWT masih mampu memasarkan model berkenaan disini.

UMW Toyota Motors menerima 127-unit GR Yaris untuk dijual di sini (kesemuanya habis ditempah dalam masa yang singkat) – antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Mungkin dengan status GR Corolla yang bukan model edisi terhad, Malaysia bakal menerima lebih banyak unit untuk dijual pada pasaran tempatan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required