Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

Anda mungkin rasa tak masuk akal nak beli sebuah Toyota Yaris dengan enjin tiga-silinder 1.6 liter pada harga hampir RM300k. Tapi bagi mereka yang tahu apa di sebalik jentera hot-hatch berkenaan, mereka tak tunggu lama untuk menempah kereta ini sebaik sahaja ia rasmi masuk ke pasaran tempatan. Dan ia telah terbukti di mana UMW Toyota mengumumkan mereka telah menerima tempahan yang diluar jangkaan selepas model tersebut dilancarkan bulan lalu.

Ketika diperkenalkan, UMWT mengumumkan Malaysia akan menerima tidak sampai 200 unit GR Yaris, dari hanya 25,000 unit yang dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia. Namun kami difahamkan, stok awal yang disediakan untuk Malaysia adalah berjumlah 127-unit – mungkin stok tambahan akan diperuntukkan sekiranya permintaan yang diterima cukup tinggi.

Walaupun ada laporan yang menyatakan bahawa kesemua unit awalan tersebut sudah habis ditempah (tetapi tiada pengumuman rasmi dari UMWT sendiri), hari ini pengedar rasmi Toyota berkenaan menggesa pelanggan yang berminat tetapi masih belum menempah GR Yaris mereka agar terus mendaftarkan minat di pengedar-pengedar GR Garage seluruh negara, serta mengingatkan bahawa unit-unit yang telah sah diperuntukkan di Malaysia kini dijual “dengan cukup laju”.

“Ketika kami diberitahu berkenaan GR Yaris baharu oleh Toyota Motor Corporation, kami tahu ia mempunyai potensi yang besar untuk pasaran Malaysia, terutamanya dengan peningkatan sukan permotoran dan aktivit berkaitan sukan permotoran yang dijalankan sendiri oleh UMW Toyota Motor,” kata Presiden UMWT Ravindran K.

Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

“Peminat yang penuh semangat benar-benar menunggu pelancaran model ini dan tidak membuang masa dengan terus menempahnya sebaik sahaja ia dilancarkan pada 17 Disember 2020. Dan sekarang, hanya selepas sebulan ia dilancarkan, kami menerima respon yang luar jangkaan. Kami berterima kasih kepada pelanggan untuk sokongan mereka yang sungguh bersemangat.

“Walaupun GR Yaris dijual dengan begitu cepat, kami galakkan mereka yang berminat untuk terus mendaftarkan minat mereka di pengedar GR Garage kami di seluruh negara,” tambahnya lagi.

“Jenama GR dihasilkan dari pengalaman melampaui had dalam sukan permotoran dan menggunakan kereta berprestasi tinggi generasi baharu dari Toyota,” kata naib pengerusi UMWT dan ketua pengarah sukan permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

“Hasilnya adalah model seperti GR Yaris yang sempurna untuk membuktikan bagaimana kami menghasilkan kereta lebih baik yang dihargai serta seronok untuk dipandu. Oleh itu, kami juga lebih gembira kerana kami akan memperkenalkan lebih banyak lagi model GR pada masa akan datang,” tambahnya.

Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

Ketika UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan hot-hatch Toyota GR Yaris ini bulan lalu, harga atas jalan yang diumumkan adalah termasuk dengan cukai jualan penuh, iaitu RM299,000, memandangkan ketika itu insentif PENJANA dengan potongan SST akan berakhir pada 31 Disember 2020.

Walau bagaimanapun, pada 29 Disember lalu kerajaan telahpun meluluskan permohonan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk melanjutkan insentif PENJANA berkenaan sehingga 30 Jun 2021. Ini bermakna, Toyota GR Yaris yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 50%, membolehkan ia dijual pada harga RM286,869 atau lebih RM12k lebih murah dari harga asal.

Apa yang hebat sangat sebenarnya Toyota GR Yaris ini? Bagi mereka yang belum tahu, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

Toyota GR Yaris: tempahan di M’sia lebih dari dijangka

Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

GALERI: Gambar rasmi Toyota GR Yaris pasaran Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required