Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

Ketika Toyota GR Yaris didedahkan buat kali pertama untuk peringkat global di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, pastinya ramai yang sinis “alah, bukan masuk Malaysia pun nanti”. Tapi ini kenyataannya, belum sampai setahun, UMW Toyota sudahpun mengumumkan bahawa hot-hatch yang lahir dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) ini kini sudahpun boleh ditempah!

Apa yang menarik, Toyota GR Yaris ini akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,000 – lebih rendah dari yang ramai jangkakan, dan ia lebih ‘murah’ berbanding Honda Civic Type R FK8. Malah GR Yaris pasaran Malaysia ini bukannya ‘spec kosong’, sebaliknya hadir standard dengan Performance Pack menampilkan spesifikasi High Performance di Jepun atau Rallye Edition di Australia.

Seperti yang diketahui, Toyota menghasilkan GR Yaris ini bukan hanya mahu menjualnya sebagai satu lagi model prestasi di bilik pameran bersama GR Supra dan Toyota 86. Kereta ini sebenarnya dihasilkan bagi membolehkan mereka membina jentera WRC yang lebih kompetitif pada masa hadapan, manakala sistem mekanikalnya pula adalah hasil apa yang Toyota belajar setelah terlibat semula dalam kejohanan berkenaan pada 2017, dengan bimbingan lagenda WRC, Tommi Makinen.

Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

Walaupun diasaskan dari Yaris biasa pasaran Eropah (lain dengan Yaris ‘Janna Nick’ di Malaysia) dengan platform TNGA-B, model ini menampilkan pelbagai ciri bespoke yang diminta oleh Tommi Makinen. Ia hadir dengan badan tiga-pintu (berbanding lima-pintu pada model standard), bumbung belakang yang lebih rendah bagi tujuan aerodinamik, panel-panel badan lebih kuat dan ringan diperbuat dari aluminium serta bumbung karbon – ini memerlukan GR Yaris dipasang di kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City.

Malah pada bahagian belakang, sistem torsion beam seperti Yaris standard tidak lagi digunakan, digantikan dengan suspensi belakang jenis double wishbone bagi membolehkan gandar sistem pacuan semua roda disesuaikan pada jentera rali jalan raya ini.

Toyota GR Yaris dijana oleh enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo produksi paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, namun model pasaran Malaysia ini menampilkan talaan sama seperti versi pasaran Eropah yang menghasilkan 261 PS dan tork maksima 360 Nm, berbeza dengan GR Yaris JDM yang menghasilkan 272 PS/370 Nm.

Ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dengan fungsi i-MT (memberikan fungsi heel & toe automatik), bagi memastikan ia dimiliki oleh mereka yang benar-benar suka memandu. Ia digandingkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, dan dengan Performance Pack ia hadir dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.

Ini membolehkan ‘pocket rocket’ ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j. Ia turut dibekalkan dengan set klac pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork depan dan belakang bermula 60:40 untuk mod Normal, 30:70 untuk mod Sport dan 50:50 untuk mod Track.

Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

Tiada brek parkir elektronik seperti Honda Civic Type R sebaliknya ia diberikan brek tangan manual yang membolehkan anda membuat aksi hand brake turn yang diperlukan oleh sebuah jentara rali. Malah ketika anda menarik brek tangan ini, agihan tork pada gandar belakang juga sebenarnya diputuskan bagi memudahkan anda memulakan aksi drift, dan ia disambung kembali apabila brek berkenaan diturunkan.

Selain dari LSD Torsen, Performance Pack tersebut turut hadir dengan sistem suspensi lebih keras yang fokus untuk pemanduan litar dan juga rim aloi BBS lebih ringan berdiameter 18-inci standard dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18.

Manakala untuk brek, GR Yaris dibekalkan standard dengan cakera brek hadapan yang dilarik two-piece bersama angkup monoblok empat omboh, dan di belakang pula diberikan cakera yang juga dilarik bersama angkup dua-omboh.

Untuk kelengkapan standard lain, GR Yaris pasaran Malaysia ini menerima lampu hadapan, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang kesemuanya dengan teknologi LED. Ia juga diberikan pengelap cermin automatik dan juga muffler dengan tip berkembar untuk sistem ekzos.

Toyota GR Yaris kini di M’sia, RM299k untuk jentera rali jalan raya sentuhan Tommi Makinen, hanya 200 unit!

Pada bahagian dalaman pula model ini diberikan tempat duduk ‘semi-bucket’ balutan kulit dengan sulaman logo GR dan jahitan benang merah, roda stereng GR pelbagai fungsi balutan kulit, tombol gear balutan kulit, set pedal aloi, paparan meter analog dengan skrin pelbagai-info berwarna 4.2-inci dan cermin pandang belakang elektrokrmomik.

Hot-hatch ini juga diberikan sistem pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh kapasitif tujuh-inci disokong Apple Carplay dan Android Auto serta dihubungkan kepada enam-pembesar suara.

Untuk keselamatan, jentera rali jalan raya ini di hadir dengan enam-beg udara, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, sistem pemantau tekanan tayar, penderia parkir belakang, serta sistem kestabilan elektronik (VSC) dan Traction Control (TRC) bersama brek ABS, EBD dan BA.

Malah kereta ini juga hadir dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem seperti Pre- Crash System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Lane Tracing Assist (LTA) dan Auto High Beam (AHB). UMW Toyota turut menawarkan sistem telematik VTS secara opsyen.

Jika anda betul-betul berminat dengan jentera ini, jangan terlalu berlengah untuk menempahnya. Ini kerana ia hanya dihasilkan sebanyak 25,000 unit untuk seluruh dunia, dan pasaran Malaysia hanya menerima 200-unit di mana setiap satunya akan didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif.

Malah sebagai meraikan ketibaan model ini ke pasaran tempatan, UMW Toyota Motor Sdn Bhd turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal yang akan menyaksikan pembeli GR Yaris menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021, dengan keseluruhan pakej berkenaan bernilai RM5,000.

Toyota GR Yaris pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam pilihan tiga warna badan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black. Walaupun ia sebuah model berprestasi tinggi, GR Yaris masih dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Sama juga seperti GR Supra, GR Yaris hanya dijual di pengedar-pengedar terpilih yang mempunyai fasiliti GR-Garage.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required