Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

Seperti yang diumumkan Oktober lalu, bermula 1 Januari 2021, Tommi Makinen tidak lagi akan bertugas sebagai prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), kerana dinaikkan pangkat sebagai penasihat untuk sukan permotoran Toyota secara keseluruhan.

Sebagai menghargai apa yang dilakukan oleh Makinen sebagai bos pasukan rali dunia berkenaan selama empat tahun, presiden Toyota, Akio Toyoda mengucap setinggi-tinggi terima kasih kepada juara dunia WRC empat kali berkenaan.

Menurut Toyoda, Tommi Makinen bukan sahaja membantunya mewujudkan kembali pasukan rali dunia Toyota ini pada 2017 selepas menarik diri pada tahun 1999, malah dengan bimbingan beliau TGR WRT telah menghasilkan jentera Yaris WRC yang telah pun melahirkan dua orang juara dunia Toyota; Ott Tanak pada 2019 dan Sebastien Ogier untuk musim 2020.

“Ini rali terakhir untuk Tommi sebagai prinsipal pasukan. Saya sangat bersyukur dapat bekerja dengannya. Ketika kami mengambil keputusan untuk kembali ke WRC, saya minta beliau untuk bantu bangunkan kereta dan tubuhkan pasukan. Secara jujurnya, saya rasa permintaan saya agak berlebih-lebih.

“Tetapi beliau lakukan dengan persediaan hanya setahun dan pasukan sudahpun mencapai tempat kedua pada pusingan permulaan, kemudian menang tempat pertama pada pusingan seterusnya di Sweden. Kami berhadapan dengan banyak ujian selepas itu, tetapi setiap pengalaman mempunyai maksud dan menjadikan kereta kami lebih kuat,” kata Toyoda selepas berakhirnya pusingan terakhir WRC 2020 yang berlangsung di Monza, Itali minggu lalu.

Selain dari menghasilkan jentera WRC sedia ada, Akio Toyoda juga berterima kasih kepada Tommi Makinen kerana menghasilkan model produksi jalan raya yang lahir dari teknologi WRC iaitu Toyota GR Yaris yang diperkenalkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon awal tahun ini.

Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

Kereta tersebut walaupun diasaskan dari model biasa Yaris, ia menerima pelbagai ciri bespoke khas seperti badan tiga-pintu yang lebih kuat, panel-panel badan lebih kuat dan ringan dari material aluminium dan karbon, bentuk bumbung lebih aerodinamik.

Ciri-ciri bespoke yang ada pada GR Yaris ini adalah permintaan dari Tommi Makinen sendiri kerana model ini pada awalnya dirancang untuk dijadikan asas kepada jentera Yaris WRC 2021 yang lebih kompetitif, namun terpaksa dibatalkan kerana perubahan regulasi FIA untuk WRC 2022 yang melibatkan penggunaan kerangka tubular space frame dan juga janakuasa hibrid.

Model jalan raya GR Yaris berkenaan turut dijana oleh enjin produksi petrol 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia buat masa sekarang, menghasilkan 272 PS/370 Nm dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bersama sistem pacuan semua roda GR-Four, yang juga dibangunkan dan diuji oleh pasukan Tommi Makinen menjadikan ia sebagai model rali jalanan dan kelahiran semula Toyota Celica GT-Four.

Akio Toyoda ucap terima kasih pada Tommi Makinen; 2 juara dunia dengan Yaris WRC, bangunkan GR Yaris

Walaupun kereta ini tidak kesampaian untuk dijadikan jentera WRC pada musim 2021, ia telah diterima baik dalam pasaran dan mendapat pujian dari media seluruh dunia serta disifatkan sebagai kereta sport Toyota yang sebenar kerana dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan tanpa kerjasama jenama lain seperti Toyota 86 dan Toyota GR Supra.

Malah untuk pasukan-pasukan rali persendirian, kerja-kerja mentransformasi model produksi ini kepada jentera rali juga agak mudah kerana kerangka dan unit janakuasa asasnya sememangnya dibangunkan untuk sukan berkenaan. Antara hasil awal transformasi tersebut adalah jentera GR Yaris AP4 dari pasukan Toyota Gazoo Racing Australia yang layak untuk bertanding dalam kategori tertinggi Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

Untuk tugas baharu Tommi Makinen dalam jawatan seterusnya nanti, beliau akan bertindak sebagai penasihat bukan sahaja dalam menghasilkan jentera-jentera lumba dan juga pembangunan pelumba-pelumba Toyota, malah beliau akan terlibat dalam pembangunan kereta-kereta prestasi produksi jalan raya dari Toyota. Jadi boleh dijangka, banyak lagi kereta sport Toyota selepas ini yang akan mendapat sentuhan dari Tommi Makinen!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required