Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

Kita baru sahaja menerima Toyota Yaris generasi ketiga April lalu, tapi kini pengeluar dari Jepun itu telah mendedahkan pula Yaris generasi baru. Namun anda perlu tahu, Yaris baharu ini adalah kesinambungan dari model Yaris pasaran Eropah dan Vitz di Jepun, tidak sama dengan Yaris yang kita dan pasaran ASEAN lain terima, iaitu model hatchback yang dihasilkan dari sedan Vios.

Toyota Yaris ini akan mula dijual di Jepun pada bulan Februari 2020 dan juga akan dibawa ke Tokyo Motor Show minggu depan. Sebagai sebuah model generasi baru, Yaris ini juga menggunakan platform yang baru, iaitu TNGA (GA-B) untuk kenderaan kompak dan menjadikannya model pertama Toyota yang menggunakan platform itu. Dengannya, 50 kg berat dapat dikurangkan, kekuatan bertambah 30 peratus dan titik graviti tengah direndahkan 15 mm – menyumbang kepada pengendalian lebih lincah dan tegap.

Keseluruhannya terdapat tiga penggerak yang disediakan untuk Yaris baru ini iaitu enjin 1.0 liter 1KR (dipertingkat), 1.5 liter tiga silinder Dynamic Force Engine M15A (unit baru) dan 1.5 liter yang dipadankan bersama sistem hibrid THS II.

Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

Bagi unit 1.0L, ia cuma boleh didapati dengan transmisi Super CVT-i (FWD) manakala 1.5L boleh didapati dengan transmisi Direct Shift CVT (FWD/4WD) atau manual enam kelajuan (FWD). Versi hibrid 1.5L pula datang dengan sistem reduction gear serta pilihan pacuan dua roda hadapan (FWD) atau pacuan empat roda E-Four. Ini semua adalah transmisi baru yang dibangunkan untuk enjin tersebut sementara untuk sistem E-Four, Yaris adalah kenderaan kompak Toyota pertama yang menggunakannya.

Semua versi Yaris baru ini menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan sementara di belakang pula terdapat perbezaan di mana model pacuan roda hadapan menggunakan torsion beam manakala model pacuan empat roda dan E-Four pula menggunakan tetapan two-link double wishbone.

Jika dibandingkan dengan model sebelumya, Yaris generasi baru ini nampak lebih kompak secara keseluruhan dengan lampu yang juga lebih kecil, bukaan ‘mulut’ yang lebih besar serta lekuk-lekuk yang agresif. Bahagian belakang juga berubah sepenuhnya dengan menjadi lebih bulat serta lampu dan spoiler yang lebih kecil. Kesemuanya ada 12 warna ditawarkan untuk Yaris baru, termasuk warna baru Ice Pink Metallic dan Coral Crystal Shine. Ia juga boleh didapati dengan bumbung berwarna hitam atau putih.

Pada bahagian dalam, Toyota menggunakan rekaan papan pemuka melengkung bertingkat yang menggunakan padanan warna coklat, hitam dan putih. Dua paparan bulat pada panel instrumen di hadapan pemandu sebenarnya adalah unit digital TFT, manakala di tengah pula terdapat skrin lebih besar untuk sistem infotainmen. Penyampaian informasi kepada pemandu juga boleh dibantu dengan sistem head-up display.

Walaupun Yaris ini adalah sebuah kenderaan kompak segmen B, Toyota telah menawarkannya dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision Warning (boleh mengesan pejalan kaki waktu siang dan malam, dan penunggang basikal pada waktu malam sahaja, termasuk di persimpangan), Low Speed Acceleration Control (membrek sendiri pada kelajuan rendah sekiranya terdapat objek di hadapan), Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist (LTA), Automatic High Beam (AHB) dan Road Sign Assist (RSA).

Selain daripada itu, Yaris baru ini juga dilengkapi dengan Secondary Collision Brake (membrek selepas perlanggaran pertama dan beg udara mengembung) serta sistem bantuan letak kereta Advanced Park yang bukan sahaja boleh mengawal stereng, tetapi juga brek dan minyak (kereta Toyota pertama yang menggunakannya).

Toyota Yaris 2020 – platform TNGA kompak, enjin 1.0L, 1.5L dan hibrid, Safety Sense, sambungan canggih

Beberapa ciri menarik lain pada Yaris baru adalah seperti Easy Return Seat yang boleh mengingati kedudukan tempat duduk pemandu secara manual serta Turn Tilt Seat yang membolehkan tempat duduk dipusing ke tepi untuk memudahkan pemandu dan penumpang hadapan keluar. Bagi kedua-dua ciri ini, Yaris adalah model Toyota pertama yang menggunakannya.

Sistem sambungan yang disediakan pada model ini juga adalah daripada versi terkini Toyota, yang termasuk Display Audio yang boleh disambung kepada telefon pintar untuk pelbagai kegunaan, SmartDeviceLink untuk navigasi, Apple CarPlay, Android Auto serta servis T-Connect yang boleh dipilih dalam pelbagai pakej bersama bayaran bulanan atau tahunan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required