Toyota Yaris 2019 rasmi dilancarkan di M’sia – 3 varian ditawarkan dengan harga bermula RM71k-RM84k

Toyota Yaris 2019 rasmi dilancarkan di M’sia – 3 varian ditawarkan dengan harga bermula RM71k-RM84k

Setelah diprebiu pada bilik-bilik pameran terpilih minggu lalu, hari ini secara rasmi hatchback segmen-B Toyota Yaris dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Seperti kembar sedannya iaitu Toyota Vios, Yaris turut hadir dalam tiga varian iaitu Yaris 1.5J, Yaris 1.5E dan Yaris 1.5G.

Model asas Yaris J akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM70,888, dan versi pertengahan Yaris E dijual dengan harga RM76,888. Manakala versi tertinggi Yaris G pula akan menjadi milik anda dengan bayaran RMRM83,888. Lima warna disediakan untuk semua varian Yaris iaitu Super White II, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan warna hero Citrus Mica Metallic.

Ketiga-tiga varian ini turut menerima unit janakuasa yang sama dengan Vios iaitu enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin tersebut hanya ditawarkan dengan transmisi CVT automatik, dan istimewa untuk varian E dan G ia turut menerima mod Sport dan tujuh-kelajuan maya Sequential Shiftmatic.

Toyota Yaris 2019 rasmi dilancarkan di M’sia – 3 varian ditawarkan dengan harga bermula RM71k-RM84k

Kesemua varian Yaris akan hadir standard dengan fungsi Follow Me Home pada lampu utama dan lampu nyalaan siang LED. Bagi membezakan varian, model asas 1.5J menerima lampu utama Multi Reflector Halogen, lampu belakang jenis mentol, pemegang pintu luar dan gril hadapan dengan warna badan, lampu kabus belakang, penderia parkir belakang serta rim aloi bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar 185/60R15.

Model pertengahan Yaris 1.5E turut menerima ciri-ciri yang sama, tetapi diberikan tambahan lampu belakang LED, cermin hadapan akustik serta rim aloi 16-inci dengan tayar 195/50R16. Manakala versi tertinggi Yaris 1.5G pula, ia dipadankan dengan lampu utama projektor halogen, lampu kombinasi belakang LED, cermin sisi boleh-lipat automatik, penderia parkir hadapan dan lampu kabus belakang.

Pada bahagian dalaman, kesemua varian Yaris akan menerima tempat duduk fabrik dengan jahitan benang biru sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemanduan dengan pilihan Eco dan Sport dan empat pembesar suara. Model asas Yaris J hanya diberikan sistem audio dengan pemain utama CD/radio bersama capaian Bluetooth.

Toyota Yaris 2019 rasmi dilancarkan di M’sia – 3 varian ditawarkan dengan harga bermula RM71k-RM84k

Model pertengahan Yaris E pula ditambah dengan stereng pelbagai fungsi, sistem infotainmen DVD-AVX dengan skrin sesentuh 6.8-inci bersama USB Miroring dan kamera pandangan panaromik 360-darjah serta Dashcam.

Manakala versi tertinggi Yaris G ditambah dengan sistem penghawa dingin automatik, tombol gear dan roda stereng balutan kulit, paparan instrumen Optitron bersama paparan pelbagai info 4.3-inci, port USB kabin belakang dan juga enam pembesar suara.

Untuk keselamatan, semua varian Yaris menerima tujuh-beg udara, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Elektronik dan juga Traction Control. Model E dan G ditambah dengan pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang. Hanya versi tertinggi Yaris G diberikan brek cakera pada roda belakang.

Jika masih rasa Yaris ini tidak cukup sporty, anda boleh memilih kit badan opsyen berharga RM2,880 yang terdiri dari spoiler dagu pada bampar hadapan, skirt sisi, spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang serta lips tambahan pada bampar belakang.

Pembeli juga boleh untuk tidak memilih spoiler bumbung pada kit ini bagi mendapatkan harga lebih rendah iaitu hanya RM2,450. Manakala mereka yang membeli model asas J masih boleh memilih untuk memasang dashcam dan kamera 360-darjah sebagai opsyen.

UMW Toyota nampaknya kini mula menerapkan strategi lebih agresif untuk memasarkan Yaris generasi terkini ini dengan menghasilkannya secara pemasangan tempatan di kilang baharu mereka terletak di Bukit Raja, Klang. Ini membolehkan model ini dijual dengan harga lebih kompetitif, dan berbanding Vios, Yaris dijual RM1,400 sehingga RM4,300 (bergantung pada varian) lebih murah dari versi sedannya itu.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required