TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, pagi ini kami bersiaran terus dari Makuhari Messe, hari pertama Tokyo Auto Salon 2020 berlangsung, dan berita pembukaan untuk anda adalah ini – cicit kepada jentera rali jalanraya dihasilkan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) Toyota Celica GT-4 iaitu Toyota GR Yaris telah membuat kemunculan global pertamanya hari ini!

Kenapa Celica? Bukan Yaris ini generasi baharu untuk Starlet ke? Tuan-tuan dan puan-puan, kewujudan GR Yaris ini bukan semata-mata Toyota mahu menjual sebuah hot-hatch, ia sebenarnya dihasilkan dari permintaan prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing dan juga juara WRC empat kali, Tommi Makinnen bagi mendapatkan sebuah model asas homologasi yang jauh lebih kuat dari pengeluar lain, untuk memastikan sebuah jentera WRC sebenar yang jauh lebih hebat untuk musim 2021 nanti.

GR Yaris ini juga menerima sistem pacuan semua roda sepenuh masa yang digelar sebagai ‘GR-Four’ sempena nama ‘GT-Four’ pada Celica, malah hari ini Toyota turut membawa Celica GT-Four sebenar dari generasi ST165 – model versi produksi dan versi WRC 1988 Group A dengan livery merah-putih Marlboro – dipamerkan bersama GR Yaris ini.

Untuk pasaran Jepun, hari ini Yaris diperkenalkan dalam edisi khas 1st Edition dijual dalam dua varian di sini iaitu versi asas RZ dan model penuh High Performance. Ia dijual pada harga bermula 3.96 juta yen (RM148k) hingga 4.56 juta yen (RM170k)

TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

Yaris yang jauh lebih liar ini masih dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama seperti Yaris generasi baharu (tidak sama dengan Yaris ‘Vios Hatchback’ pada pasaran kita) yang baharu sahaja diperkenalkan tahun lepas. Malah jarak rodanya juga masih lagi sama, tetapi apa yang berbeza adalah ia hadir dalam bentuk badan tiga-pintu berbanding lima-pintu pada versi standard.

Bukan sahaja pintunya yang kurang, Tommi Makinnen juga mahukan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa. Ini bakal membolehkan jentera WRC baharu Toyota untuk musim 2021 nanti menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih ekstrem – berita buruk untuk pengeluar lain seperti Hyundai i20, kerana kerangka asas mereka adalah dari sebuah hatchback segmen-B biasa, sementera Yaris pula berasal dari sebuah model hot-hatch sebenar dengan bentuk badan dan asas aerodinamik yang jauh lebih baik, dihasilkan secara bespoke.

Menurut Toyota lagi, walaupun kerangka kosong GR Yaris ini lebih teguh, ia sebenarnya 38 kg lebih ringan dari Yaris standard kerana pelbagai panel logam telah diganti dengan material lebih ringan seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD!

TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin sistem transmisi dan penghantaran produksi perlu digunakan untuk jentera WRC sebenar seperti pada era Group A, Toyota tidak memandang mudah perkara ini. Yaris GR-4 dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm, yang bukan sahaja akan ‘menyusahkan’ hot-hatch segmen-C lebih besar seperti Renault Megane RS, malah ia juga adalah enjin 1.6 liter produksi paling berkuasa dan paling ringan pernah dihasilkan di dunia!

Toyota turut memposisikan enjin berkenaan 21 mm lebih kebelakang berbanding Yaris standard bagi mendapatkan nisbah berat depan-belakang yang lebih baik dan seimbang. Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual. Nak auto? Anda bukan pemilik yang GR Yaris cari.

Dengan kuasa, sistem transmisi dan juga sistem GR-Four berkenaan, GR Yaris mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang dari 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi High Performance, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

Model High Performance ini juga hadir dengan rim BBS 18-inci yang lebih ringan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18. Model RZ pula diberikan roda dengan saiz sama, tetapi rim dari Enkei bersama tayar Dunlop SP Sport Maxx.

Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

Dari segi rupa, GR Yaris ini masih menggunakan lampu hadapan yang hampir sama dengan Yaris normal. Tetapi ia diberikan bampar lebih garang dengan rekaan signatur Gazoo Racing, menampilkan apron lebih agresif dan juga liang udara sisi yang lebih besar dan bersegi.

Lampu belakang juga masih kelihatan sama, tetapi disebabkan sistem suspensi yang lebih kompleks bersama gandar belakang sistem AWD serta set roda yang lebih besar, trek belakang kereta ini menjadi lebih jauh, secara tidak langsung ia menerima punggung yang labih lebar. Bampar juga diberikan diffuser agresif, yang turut menempatkan sepasang tip ekzos bulat.

Dengan kelengkapan yang diberikan, GR Yaris ini bukan sahaja boleh dijelmakan jentera WRC atau R5, malah ia juga berpotensi dihasilkan sebagai sebuah jentera rali seakan Group N untuk kejohanan-kejohanan rali peringkat nasional dengan kos lebih murah – pasangkan rollcage dan tukar suspensi, ia terus boleh berlumba dalam SS rali – dan ia telah dibuktikan dengan sebuah GR Yaris yang telah dihasilkan dalam bentuk sedemikian ketika pendedahan ini.

Tidak seperti Toyota Yaris GRMN sebelum ini yang dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya untuk pasaran Eropah dan Jepun (Vitz GRMN), GR Yaris ini tidak akan dihadkan pengeluarannya untuk pasaran seluruh dunia.

Ini bermakna ada harapan untuk GR Yaris ini dibawa masuk secara rasmi oleh UMW Toyota (UMWT). Sebelum ini, UMWT telah melantik lima pengedar di Malaysia sebagai pengendali GR-Garage yang berperanan untuk menjual segala produk di bawah jenama Gazoo Racing (GR), termasuk barisan kereta berprestasi Toyota GR, dengan produk pertama mereka Toyota GR Supra yang dilancarkan tahun lalu. Takkan GR-Garage ni nak jual Supra je kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required