Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

Toyota GR Yaris telah membuat kemunculannya di Jepun awal tahun ini ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2020, dijual pada harga 4.56 juta yen (RM180k), atau lebih mahal dari Honda Civic Type R FK8 (lebih berkuasa dan lebih besar) pada pasaran sama iaitu 4.5 juta yen (RM177k). Walau bagaimanapun, model homologasi untuk Kejuaraan Rali Dunia ini dijual pada harga yang agak mengejutkan di Eropah.

Di UK, hot-hatch dengan saiz segmen-B berkenaan dijual pada harga £29,995 (RM163K) untuk varian asas dan £33,495 (RM182k) untuk versi tertinggi Circuit Pack. Pada pasaran ini, VW Golf GTI Mk7.5 dijual pada harga sekitar £33k manakala Honda Civic Type R pula dijual pada harga bermula £32k.

Hot-hatch segmen-C dari Korea, Hyundai i30N boleh di beli di UK pada harga £29k, manakala pencabar dengan saiz yang sama (tetapi masih pacuan roda hadapan dan kurang berkuasa) Ford Fiesta ST dijual pada harga £10,000 lebih murah. Di Jerman pula, GR Yaris akan dijual pada harga 33,200 euro (RM156k) atau 2,000 euro (RM9,399) lebih murah dari seteru utama Type R iaitu Renault Megane RS.

Dari segi logik, GR Yaris sememangnya tidak boleh dijual pada harga yang murah. Walaupun diasaskan dari asas sama dengan Yaris biasa, transformasi yang dilakukan untuk model berprestasi tinggi ini tidak semudah seperti Honda mengubah Civic Hatchback biasa kepada Civic Type-R.

Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

Yaris standard hanya dihasilkan dalam bentuk lima-pintu, manakala untuk GR Yaris ini Toyota perlu menghasilkan kerangka badan baharu khas hanya untuknya yang bukan sahaja kurang dua-pintu, malah bumbung belakang kereta ini adalah 21 mm lebih rendah dari versi biasa.

Ini adalah kerana permintaan dari pinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen yang mahukan asas kereta produksi dengan kerangka yang lebih aerodinamik, bagi memastikan kereta lumba WRC sebenar yang akan dihasilkan untuk musim hadapan adalah lebih berpotensi dari jentera lawan yang hanya diasaskan dari hatchback segmen-B biasa. Ini menjadikan asas kewujudan GR Yaris seolah-olah Toyota Celica GT-Four, yang dihasilkan Toyota pada era 80’an dan 90’an dahulu semata-mata mahu menghasilkan jentera untuk mendominasi kancah WRC.

Selain itu, kerangka GR Yaris turut dihasilkan lebih tegar dan lebih ringan dari Yaris standard dengan pelbagai ubahsuai dilakukan seperti penggunaan bumbung dari material plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD.

GR Yaris pasaran Eropah dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan kuasa yang hampir masuk ke liga hot-hatch segmen-C seperti Renault Megane RS dan Hyundai i30N, iaitu dengan jumlah 261 PS dan tork maksima 360 Nm – kurang berkuasa dari model JDM yang mampu menghasilkan 272 PS/370 Nm. Ini mungkin dilakukan bagi memastikan kereta ini lulus ujian emisi untuk benua Eropah.

Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual dan sistem pacuan semua roda yang digelar sebagai GR-Four (dinamakan sempena sistem 4WD GT-Four terdahulu), membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi tertinggi, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

Toyota GR Yaris – RM163k di UK, kini boleh di tempah

Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin produksi dan sistem pacuan yang sama perlu digunakan pada jentera WRC sebenar, pakej yang diberikan pada GR Yaris ini membolehkan pasukan-pasukan rali persendirian melakukan transformasi jentera rali produksi dengan kos rendah seperti di era rali Group N sebelum ini, untuk digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan rali peringkat nasional.

GR Yaris dipasarkan dalam dua varian pada pasaran Eropah iaitu Circuit Pack yang dihasilkan untuk pemanduan lebih “fokus, kelajuan tinggi”, dan juga Convenience yang ditala untuk “prestasi di atas jalan raya lebih berorientasikan keselesaan”.

GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Mat pan on Mar 07, 2020 at 5:07 pm

    Adakah malaysia bakal menerima model ini? Atau model standard?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Immortalbandit25 on Mar 08, 2020 at 12:26 am

    Saya rasa kurang tepat apabila wartawan tersebut mengatakan sebab utama gr yaris ini terhasil adalah disebabkan faktor aerodinamik. Sebab utama adalah platform iaitu rekabentuk casis berserta enjin yang dipadankan adalah mesti ditahap ideal bagi kenderaan asas kepada sukan rally yang akan disertai. Ini juga termasuk penggunaan 2 lsd berbanding 3 unit yang bukan sahaja dapat mengurangkan berat, malah penghasilan torque yang tinggi pada enjin 3 silinder berbanding 4 silinder dapat dioptimakan sepenuhnya kepada shaft.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required