Setelah Fiesta generasi terkini diperkenalkan pada peringkat global pada November tahun lalu, kini varian berprestasi tinggi hatchback berkenaan – Fiesta ST – pula mula didedahkan. Berbanding model generasi sebelum ini yang diberikan enjin EcoBoost 1.6 liter turbo empat silinder (182 PS/240 Nm), model baharu ini hanya diberikan enjin EcoBoost 1.5 liter turbo tiga-silinder.

Walau bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan oleh enjin baharu berkenaan jauh lebih besar iaitu 200 PS dan tork maksima 290 Nm, sama dengan model istimewa generasi sebelum ini – ST200. Ini membolehan Fiesta ST baharu ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat, disamping penghasilan emisi C02 lebih rendah iaitu pada kadar 114 g/km.

Enjin yang dibina keselurhannya dari aluminium ini menampilkan manifold ekzos yang bersepadu dengan kepala silinder, membolehkan enjin mencapai suhu berkerja dengan cepat, sekaligus menambahkan kecekapannya. Manifold berkenaan juga membantu meningkatkan penghantaran tork dengan memendekkan jarak pergerakan gas ekzos ke pengecas turbo. Bagi merendahkan lagi tahap emisi, teknologi penapis gas ekzos turut dipadankan.

Enjin EcoBoost baharu ini turut diberikan teknologi nyah-aktif silinder sama seperti enjin EcoBoost 1.0 liter bagi meningkatkan kecekapannya. Sistem berkenaan mampu ‘mematikan’ salah satu silinder dari berfungsi dengan tidak menghantar bahan api dan menghentikan operasi injap ketika enjin beroperasi dengan beban rendah seperti sedang cruising pada kadar pendikit rendah. Menurut Ford, nyah-aktif/aktif semula berkenaan boleh berlaku dalam masa hanya 14 milisaat.

Kuasa dari enjin disampaikan ke kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear manual enam kelajuan. Ford juga telah memadankan Fiesta ST dengan torque vectoring kawalan brek bagi mengurangkan torque steer yang berlaku ketika hatchback ini memecut, juga mengurangkan understeer ketika meredah selekoh dengan kelajuan tinggi.

Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Normal, Sport dan Track. Untuk mod Normal, ia akan “memberikan kadar responsif semulajadi dan perasaan dihubungkan” dengan talaan yang diberikan pada traction control, ESC, electronic sound enhancement (ESE), bunyi ekzos dan juga stereng berkuasa, menurut Ford.

Talaan pada enjin dan pendikit akan ditajamkan sekiranya pemandu memilih mod Sport. Menurut Ford, Mod ini juga akan memberikan tindak balas stereng yang lebih bagus serta kawalan yang lebih baik, manakala ESE juga memberikan bunyi yang lebih agresif dengan bukaan injap bunyi aktif.

Bagi mod Track pula, dinamik pemanduan Fiesta ST “ditala bagi memberikan rekod lap sepantas yang mungkin,” dengan traction control yang dimatikan serta ESC yang dilaras kepada ‘wide-slip’ untuk pemanduan yang agresif. ESC pada Fiesta ST ini juga dapat dilaras pada tiga tahap iaitu aktif sepenuhnya, mod ‘wide-slip’ dengan sedikit campur tangan komputer pada ESC, dan dimatikan sepenuhnya.

Fiesta generasi terbaharu ini ditawarkan dengan versi tiga-pintu dan lima-pintu. “Model ST kami direka bagi memberikan pengalaman pemanduan Ford Performance dapat dinikmati semua pelanggan tanpa mengira gaya hidup,” kata Matthias Tonn, ketua jurutera program untuk Fiesta ST.

Fieta ST turut diberikan sistem infotaimen Ford SYNC 3, yang boleh menyokong Apple CarPlay dan juga Android Auto. Sistem berkenaan turut menampilkan pemain utama dengan skrin sesentuh lapan-inci yang menyokong gestur picit dan sapu, dan dihubungkan pada sistem audio B&O Play.