Honda Civic generasi ke-10 hatchback versi facelift kini telah didedahkan di Amerika Syarikat. Model versi 2020 ini akan menyertai model sedan dan coupe yang turut telah dikemaskini pada pasaran berkenaan yang telah didedah lebih awal tahun lalu. Empat varian ditawarkan iaitu LX, Sport, EX, EX-L dan Sport Touring, dijual pada harga bermula US$21,650 (RM90,713) hingga US$28,850 (RM120,881).

Kesemua model hatchback ini hanya hadir dengan enjin 1.5L empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 174 hp/220 Nm, tanpa pilihan enjin NA 1.8 liter. Model Sport dan Sport Touring ditawarkan dengan pilihan kotak gear manual enam-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya boleh didapati dalam versi CVT sahaja.

Civic Hatchback facelift ini menampilkan rupa sedikit lebih garang dari versi sebelumnya, menerusi pemadanan kemasan bar tambahan dengan warna badan pada perumah lampu kabus pada bampar hadapan. Perumah tersebut juga kini tidak lagi diberikan elemen sarang lebah, tetapi ia direka dengan permukaan rata dan menempatkan satu liang udara kecil.

Jika anda perhatikan, lampu hadapan Civic ini kini telah tampil sedikit lebih gelap bagi menaikkan imej garangnya, bersama ‘jendul’ pada gril “solid wing” yang telah diolah semula. Model paling tinggi Sport Touring akan diberikan lampu hadapan LED secara standard.

Kemasan liang udara palsu pada bampar belakang juga telah diubah sama seperti yang dibuat pada bampar hadapan, dan turut diberikan kemasan bar tambahan dengan warna badan. Kesemua varian kini hadir dengan rim rekaan baharu kemasan kelabu gelap atau hitam.

Pada bahagian dalaman, setiap varian dapat dibezakan dengan kemasan pada papan pemuka – varian Sport diberikan elemen geometrikal, LX dan EX diberikan elemen berwarna, manakala EX-L dan Sport Touring hadir dengan elemen brushed black. Kesemua varian kini diberikan penebat bunyi tambahan pada lantai, but belakang serta ruang roda hadapan dan belakang.

Ciri lain yang turut diperkemas untuk versi facelift ini termasuk tempat duduk larasan elektrik lapan-hala untuk model EX (sebelum ini manual), dan juga balutan kulit pada roda stereng dan tombol gear. Model Sport dan Sport Touring akan menerima sistem infotainmen Display Audio dengan skrin tujuh-inci dan hubungan Apple Carplay serta Android Auto, dan kini diberikan lapan-pembesar suara (sebelum ini empat).

Varian yang sama turut diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, dan juga upholsteri baharu pada tempat duduk. Istimewa untuk Sport Touring, ia kini dilengkapi fungsi Homelink yang membolehkan anda menghubungkan peranti seperti alat kawalan jauh untuk membuka pintu garaj atau pagar rumah.

Kesemua varian hadir standard dengan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing, manakala model-model dengan sistem pendingin hawa dua-zon akan hadir dengan butang kawalan kelajuan motor penghembus fizikal. Konsol tengah pula diberikan pemegang cawan baharu, bersama brek parkir elektronik yang dikemaskini dengan lampu penunjuk.