Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

Akhirnya, model generasi baharu hot-hatch Renault Megane RS 280 secara rasmi sudahpun dilancarkan untuk pasaran Malaysia – ia hadir dalam versi Cup iaitu varian dengan tahap hardcore dua tangga di bawah versi Trophy-R yang kini dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring. TC Euro Cars juga bukan hanya membawa model manual, anda turut boleh memilih Renault Megane RS 280 Cup ini dalam versi automatik.

Seperti yang diumumkan minggu lalu, model automatik yang dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan Efficient Dual Clutch (EDC) akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM299,888. Manakala untuk anda yang lebih mementingkan keseronokan memandu, model manual enam kelajuan dijual pada harga RM20,000 lebih murah iaitu 279,888.

Perbezaan antara model manual dan automatik bukan hanya pada jumlah pedal dan juga bentuk tuil penukar gear. Model manual akan hadir dengan brek tangan manual yang membolehkan membuat hand brake turn yang lebih pantas dan bergaya pada pusingan-U. Manakala versi auto pula hadir dengan brek parkir elektronik, membolehkan ia hadir dengan ruang storan lebih besar di sebelahnya.

Renault Megane RS 280 Cup rasmi dilancarkan di M’sia – EDC auto dan manual, harga bermula RM280,888

Model Cup ini akan hadir standard dengan tempat duduk sport Renault RS. Tetapi istimewa untuk model manual, anda turut boleh memilih untuk memadankan tempat duduk ‘bucket’ Recaro dengan tambahan wang. Bagi anda yang belum mengetahui, Renault Megane RS generasi baharu ini hanya tampil dengan bentuk badan hatchback lima-pintu, berbanding tiga-pintu pada model-model sebelumnya.

Hot-hatch ini dijana oleh enjin 1.8 liter empat silinder turbo. Walaupun berkapasiti lebih kecil dari model generasi sebelum ini yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo, enjin baharu untuk versi Cup ini menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 280 PS/390 Nm berbanding versi paling berkuasa RS 275 Trophy-R sebelumnya yang menjana 275 PS/360 Nm.

Ini membolehkan Renault Megane RS 280 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat, manakala kelajuan maksimanya pula dicatatkan pada 255 km/j untuk versi manual dan 250 km/j untuk versi auto EDC.

Renault Megane RS 280 Cup automatik (kiri) dan manual (kanan)

Berbanding versi standard, model Cup ini menerima kelekngkapan yang lebih fokus kepada pemanduan litar seperti LSD jenis Torsen, dan juga suspensi yang diberikan bump stop mampatan hidraulik gaya rali bagi memberikan pengendalian lebih baik. Suspensi hadapan kereta ini juga telah direka semula dengan pemadanan sistem stereng dengan paksi bebas bagi memberikan pengendalian yang lebih jitu. Ia juga hadir standard dengan sistem stereng empat-roda 4Control bagi memberikan pergerakan lebih lincah di selekoh.

Bagi memberhentikan kereta ini, ia dilengkapi dengan angkup brek Brembo berwarna merah, bersama cakera yang dibuat dari gabungan dua material – aluminium dan besi tuang – bersaiz 355 mm di hadapan, atau 15 mm lebih besar dari model generasi sebelum ini.

Ia turut hadir dengan sistem Multi-Sense Renault yang memberikan lima mod pemanduan kepada pemandu iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan satu lagi yang boleh diolah digelar Perso. Model automatik akan hadir dengan fungsi launch control untuk membolehkan anda berlepas seperti lastik, dan Multi-Change Down bagi menurunkan berberapa gear dengan menekan dan menahan pedal penukar gear kiri.

Perincian lain yang turut hadir pada kereta ini termasuk rim aloi “Interlagos” 19-inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza S001 bersaiz 245/35R19, lampu hadapan LED-penuh RS Vision bersama lampu nyalaan siang berbentuk-C, paparan instrumen digital TFT tujuh-inci, skrin sesentuh infotaimen R-Link 8.7-inci, sistem telemetri on-board RS Monitor, pedal sport aluminium dan juga kemasan kelabu karbon bersama serlahan merah pada kabin.

Renault Megane RS 280 Cup generasi baharu boleh dipilih dalam empat pilihan warna iaitu Diamond Black, Pearl White (perlu tambahan RM1,000) dan warna hero Liquid Yellow atau Orange Tonic – kedua-duanya perlu tambahan RM8,000.

GALERI: Renault Megane RS 280 Cup 2019 manual

GALERI: Renault Megane RS 280 Cup 2019 EDC automatik

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required