Pengeluar tayar dari China, Wanli Tire, merancang untuk membina sebuah kilang pembuatan tayar di Hulu Selangor dengan nilai pelaburan dianggarkan sekitar RM1.37 bilion. Perkara itu diumumkan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Kilang yang dirancang itu akan menjadi fasiliti pembuatan kedua Wanli Tire di luar China selepas kilang pertamanya di Kemboja. Apabila siap kelak, kilang di Hulu Selangor ini dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 6.2 juta unit tayar.
Menurut Ng, pelaburan tersebut dijangka membuka kira-kira 1,350 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Selain jawatan di barisan pengeluaran, ia turut melibatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi seperti jurutera, pakar kawalan kualiti dan pengurusan.
Pelaburan Wanli Tire ini menyusul selepas satu lagi pengeluar tayar dari China, Prinx Chengshan Tire, mengumumkan rancangan untuk melabur RM2.6 bilion dalam tempoh 15 tahun bagi membangunkan sebuah kilang pembuatan tayar di Kedah Rubber City (KRC), Kedah pada November tahun lalu.
Ketika pengumuman itu dibuat, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah memaklumkan bahawa kilang Prinx Chengshan yang dibina di atas tapak seluas 102.63 ekar dijangka memulakan eksport kumpulan pertama produknya dalam tempoh setahun selepas fasa pertama beroperasi.
Projek berkenaan juga dianggarkan mewujudkan 1,056 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pentadbiran.

