PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) memaklumkan, laluan Smart Lane dari Bandar Saujana Putra – Putra Heights (arah utara) di KM15.9 hingga KM13.9, ditutup sementara kira-kira lima bulan mulai hari ini, 6 Julai sehingga 3 Disember 2026.
Ia adalah bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan di KM14.4 di Lebuhraya berkenaan. “Sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan, tiga lorong sedia ada di laluan terlibat dibuka seperti biasa bagi mengekalkan aliran trafik sedia ada dan meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuh raya.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini. Pengguna juga diingatkan supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan oleh petugas PLUS ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut,” kata PLUS.
Untuk mendapatkan maklumat trafik, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya – PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.

