Seorang pemandu Singapura didenda RM20,000 kerana isi petrol RON95 bersubsidi secara tidak sah

Seorang pemandu warga asing telah dihukum oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Julai lalu kerana mengisi petrol bersubsidi RON95 secara tidak sah ke dalam kenderaan berdaftar di Singapura, lapor Berita Harian.

Hukuman berupa denda sebanyak RM20,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan dijatuhkan oleh Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, selepas tertuduh yang berusia lingkungan 50-an yang juga pemandu dan pemilik kenderaan tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan. Tertuduh menjelaskan denda berkenaan pada hari sama.

Laporan berkenaan turut menyebut bahawa kesalahan itu dilakukan pada 9 April lalu apabila pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menjalankan Op Tiris 4.0 mengesan warga Singapura itu mengisi petrol BUDI95 di sebuah stesen minyak di Johor Bahru.

Siasatan mendapati pemandu terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membeli petrol bersubsidi RON95 menggunakan kenderaan berdaftar asing.

KPDN menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan bahan api melalui saluran rasminya termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, pusat panggilan atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.