Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant ditutup sementara mulai 6 Julai 2026 hingga 31 Januari 2027 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja pembinaan pipe jacking.
Ia melibatkan penutupan penuh laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak (berhampiran Regal House). Selain itu, penutupan penuh laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf (berhampiran Kedutaan Iraq) turut dilaksanakan.
Bagi kelancaran trafik, DBKL berkata, Jalan Langgak Golf akan dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak. Malah DBKL turut menyarankan pengguna menggunakan laluan trafik termasuk bagi yang datang dari arah Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf hendaklah menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.
“Pengguna jalan raya dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak hendaklah menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar.
“DBKL menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan, menggunakan laluan yang telah ditetapkan mengikut Pelan Pengurusan Trafik, dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan. Kerjasama dan kesabaran semua pengguna jalan raya amat dihargai bagi memastikan pelaksanaan projek ini dapat disempurnakan dengan lancar, selamat dan mengikut jadual,” kata DBKL menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.
