Teksi Madani akan guna JPJePlate seperti EV — huruf GET dengan latar putih, tulisan merah dan tag kelabu

Teksi Madani yang bakal menggunakan Proton S70 Premium yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut menampilkan rekaan nombor plat baru khusus untuk kegunaan teksi dan e-hailing selepas ini. Ia serupa dengan JPJePlate yang diperkenalkan untuk EV pada September 2024, walaupun dengan beberapa butiran yang membezakan antara keduanya.

Plat Teksi Madani kekal menggunakan panel aluminium timbul, dengan reka bentuk yang mengambil ilham dari plat di Eropah dengan rekaan aksara FE-Schrift Jerman. Selain itu, latar putih reflektif yang ditepinya dipamerkan pelekat bendera Malaysia serta tulisan “MAL” di bawahnya. Menariknya, Jalur Gemilang akhirnya telah dibetulkan dengan 14 jalur, bukannya 13 (tiada jalur putih paling bawah) pada versi EV sebelum ini.

Bagaimanapun, huruf hitam telah digantikan dengan warna merah, dan ia juga kehilangan “watermark” dengan tulisan “authentic” di permukaan hadapan plat. Tag yang disebutkan di atas kini juga berwarna kelabu dan bukannya hijau, walaupun jalur hologram menjadi sempadan masih dikekalkan.

Teksi Madani akan guna JPJePlate seperti EV — huruf GET dengan latar putih, tulisan merah dan tag kelabu

Ciri-ciri keselamatan lain yang telah dikekalkan termasuk kod QR “tanda digital” yang unik, nombor siri cetakan laser dan ukiran “depan” dan “belakang” untuk menunjukkan kedudukan plat yang betul. Terdapat juga tag RFID (yang belum digunakan) di bahagian hadapan dan lubang di hujung kedua-dua sisi untuk memasang skru keselamatan, walaupun ini ditutup dengan pelekat seperti biasa untuk aplikasi sebenar.

Plat baru ini disertai dengan siri nombor baru yang khusus untuk Teksi Madani, dengan GET sebagai singkatan kepada Gabungan E-hailing dan Teksi. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan perkhidmatan teksi serta untuk memodenkan industri dengan merapatkan jurang antara teksi dan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Ketika ini, teksi Malaysia menggunakan plat nombor hitam dan latar putih yang tidak jauh bezanya dengan plat EV, walaupun masih diperbuat daripada akrilik. Plat yang sama digunakan untuk kereta sewa, walaupun teksi dibezakan oleh siri nombor H.

Teksi Madani akan guna JPJePlate seperti EV — huruf GET dengan latar putih, tulisan merah dan tag kelabu

Kerajaan masih belum mengesahkan sama ada pemandu teksi perlu membayar RM98 seperti yang dilakukan oleh pemandu EV. Juga, masih belum dapat dilihat sama ada ia telah menyelesaikan isu bekalan yang telah menghalang pengeluaran plat baru ini, sehingga ramai pemilik EV ketika itu terpaksa kembali menggunakan plat akrilik hitam tradisional – walaupun JPJePlate sepatutnya diwajibkan untuknya.

Nombor plat Teksi Madani