F1 sah kembali ke Sepang tahun ini – Malaysia anjur Grand Prix Bahrain 2026 pada 4 Oktober nanti

Selepas beberapa khabar angin bertiup, akhirnya hari ini penganjur perlumbaan Formula 1 mengesahkan bahawa Sepang akan menjadi salah satu litar untuk kesemua 22 pelumba kejohanan tersebut untuk berentap musim 2026. Perlumbaan berkenaan akan berlangsung pada 4 Oktober ini, dan dikenali sebagai “Bahrain Grand Prix in Malaysia”.

Ini kerana perlumbaan yang diumumkan pada saat-saat akhir tersebut adalah untuk menggantikan perlumbaan di Bahrain yang dibatalkan kerana konflik yang berlaku di Timur Tengah, di mana perlumbaan ini masih dikendalikan oleh Bahrain tetapi menggunakan Litar Antarabangsa Petronas Sepang sebagai venue.

Walau bagaimanapun ia masih tertakluk kepada perjanjian muktamad dan persetujuan rasmi – termasuk kelulusan daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia (WMSC) – yang telah diwujudkan melalui perjanjian antara F1, FIA serta kerajaan Bahrain dan Malaysia. Menerusi laman sesawang rasmi F1, maklumat tentang penjualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kami dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Malaysia akan menganjurkan Grand Prix Bahrain pada tahun 2026,” kata presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicalli. “Sekali lagi, sukan ini telah menunjukkan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian, dan menyampaikannya, sekali gus mewujudkan detik yang mengujakan bagi semua yang mengikuti Formula 1.

F1 sah kembali ke Sepang tahun ini – Malaysia anjur Grand Prix Bahrain 2026 pada 4 Oktober nanti

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas kepada Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong, Malaysia, serta kerajaan masing-masing kerana menjadikan hasil yang luar biasa ini mungkin melalui visi, komitmen, dan tindakan tegas mereka.”

Peperangan yang berlaku di Iran memaksa Formula 1 untuk mengumumkan pada Mac lalu bahawa perlumbaan di Bahrain dan juga Arab Saudi yang sepatutnya dilangsungkan pada 19 April lalu dibatalkan, menyebabkan musim 2026 kurang dua perlumbaan iaitu dari 24 kepada hanya 22 pusingan.

Perlumbaan di Arab Saudi sah tidak akan dijadualkan kembali, namun untuk Bahrain ia masih berharap untuk menganjurkan grand prix berkenaan tahun ini dengan dijadualkan semula untuk berlangsung pada 4 Oktober 2026, iaitu antara GP Azerbaijan pada 27 Spetember dan GP Singapura pada 11 Oktober. Walau bagaimanapun, dengan ketegangan yang belum reda, perlumbaan di Bahrain tidak akan dilangsungkan dan sebaliknya Malaysia dipilih menjadi tuan rumah kepada Grand Prix Bahrain.

Secara ringkas, ia seolah-olah SIC disewa oleh Bahrain untuk menganjurkan GP Bahrain bagi menggantikan Litar Antarabangsa Bahrain di Sakhir. Jadi perlumbaan ini masih akan dikenali sebagai Grand Prix Bahrain tetapi ia berlangsung di Malaysia.

F1 sah kembali ke Sepang tahun ini – Malaysia anjur Grand Prix Bahrain 2026 pada 4 Oktober nanti

“Yang paling penting, ini berita hebat untuk peminat kami. Mereka akan terus menikmati kalendar Formula 1 yang penuh dan mengujakan, di samping menyaksikan sukan ini kembali ke tempat yang hebat. Malaysia merupakan sebuah negara yang luar biasa, dan Sepang kekal sebagai tempat istimewa dalam sejarah Formula 1. Ia akan menyediakan suasana yang menakjubkan untuk perlumbaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat di litar dan menonton di seluruh dunia,” tambah Domenicalli.

“Kerjasama ini lebih daripada sekadar pementasan acara sukan bertaraf dunia. Ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama dan perkongsian erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain, sambil mengesahkan semula kesediaan dan keupayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara antarabangsa utama,” kata perdana menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan berkenaan perkara ini.

“Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan Formula 1, FIA, pasukan dan peminat dari seluruh dunia kembali ke Sepang. Kami berharap dapat mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra kami, sambil mengukuhkan lagi ikatan antara kedua-dua negara kami melalui majlis istimewa ini.”

Dengan berlangsungnya perlumbaan di Malaysia ini, kini kalender perlumbaan F1 musim 2026 mempunyai 23 perlumbaan. Namun dengan konflik yang masih belum reda, nasib dua perlumbaan yang akan berlangsung di akhir musim iaitu Grand Prix Qatar pada 29 November dan GP Abu Dhabi pada 6 Disember masih dikhuatiri.

F1 sah kembali ke Sepang tahun ini – Malaysia anjur Grand Prix Bahrain 2026 pada 4 Oktober nanti

Jadi buat masa sekarang F1 sedang berusaha untuk menambah satu lagi perlumbaan iaitu untuk mengembalikan Grand Prix Imola bagi mengelakkan pusingan tahun ini kurang di bawah 22 perlumbaan, yang mungkin akan menyebabkan ia melanggar hak penyiaran.

Untuk GP Bahrain di Malaysia ini, siapa yang mengeluarkan perbelanjaan? Sebelum pengumuman rasmi ini dibuat, ESPN melaporkan bahawa perlumbaan ini akan dibiayai oleh Bahrain, dengan sumber memberitahu saluran berita sukan berkenaan bahawa itu terdapat “banyak perbincangan” dibuat sejak beberapa hari lalu berkenaan pembahagian pembiayaan.

Dengan pengumuman nama GP ini ia telah menjelaskan banyak perkara termasuk bahawa Malaysia tidak akan dibebani dengan yuran penganjuran dan pelesenan sukan yang besar, di mana faktor berkenaan telah menyebabkan ia menarik diri dari meneruskan penganjuran sebelum ini. Namun sudah tentu Malaysia masih lagi perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk penganjuran F1 tahun ini.

F1 sah kembali ke Sepang tahun ini – Malaysia anjur Grand Prix Bahrain 2026 pada 4 Oktober nanti

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengeluarkan kenyataan rasminya petang tadi dengan menyatakan bahawa acara ini “dijangka akan menjana faedah ekonomi yang ketara melalui pelancongan, pelaburan dan aktiviti ekonomi berkaitan sukan.” Kementerian itu juga menambah bahawa ia akan memperkukuhkan lagi ekosistem sukan permotoran tempatan, meningkatkan reputasi negara sebagai “destinasi utama untuk acara sukan antarabangsa” dan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan sukan.

Malaysia mula menganjurkan Grand Prix Formula 1 sejak 1999, tidak lama selepas SIC dibuka secara rasmi di mana litar yang direka oleh Hermann Tilke berkenaan dibina sejak 1997 dan ia merupakan litar yang dibina khusus untuk perlumbaan F1 ketika itu. Sejak dianjurkan, perlumbaan di Malaysia seringkali dilihat sangat mencabar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun disebabkan oleh peningkatan kos penganjuran acara tersebut serta penurunan jualan tiket, kerajaan persekutuan memutuskan untuk menamatkannya selepas perlumbaan terakhir pada tahun 2017.