Seperti yang dilaporkan bulan lalu, pasaran Thailand kini menerima model kemaskini 2026 untuk sedan segmen-C Honda Civic. Sekali tengok, memang tiada apa yang berubah kerana perbezaan paling besar hanya diberikan pada varian tertinggi e:HEV RS, di mana varian paling sporty dengan unit rangkaian kuasa hibrid tersebut kini diberikan mod tukaran gear palsu S+ Shift.
Mod ini diperkenalkan pertama kali pada Honda Prelude generasi ke-enam, dan kemudian ia turut diberikan pada Honda Civic e:HEV RS pasaran Jepun. Teknologi S+ Shift ini memberikan rasa seolah-olah unit rangkaian kuasa hibrid pada Civic tersebut diberikan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan.
Dengan mod ini anda bukan sahaja dapat merasa tukaran gear berkenaan berserta shift shock seperti kotak gear DCT sebenar, malah ia turut boleh ditukar secara manual menerusi pedal penukar gear yang dibekalkan pada roda stereng, serta memberikan kesan seakan throttle blip sekiranya ‘gear’ berkenaan diturunkan secara agresif.
Hakikatnya transmisi sebenar yang dibekalkan pada unit rangkaian kuasa e:HEV ini hanyalah transmisi e-CVT yang hanya mempunyai klac lock-up kelajuan tunggal yang berfungsi untuk menyatukan pacuan enjin dan juga motor elektrik bila diperlukan.
Unit rangkaian kuasa e:HEV ini masih lagi sama seperti yang dibekalkan pada Civic e:HEV sedia ada. Ia menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 141 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 182 Nm pada takat 4,500 rpm.
Walaupun sudah diberikan tambahan mod S+ Shift, model kemaskini pasaran Thailand ini nampaknya masih menampilkan tombol gear konvensional tanpa sebarang perubahan. Ia berbeza dengan model JDM di mana ia diberikan pemilih gear jenis suis yang sama seperti Prelude.
Di Thailand Civic ditawarkan hanya dalam versi hibrid e:HEV, dan selain varian RS, ia turut disertai dengan dua gred lebih rendah iaitu e:HEV EL dan e:HEV EL+. Bagi gred EL, ia dijual pada harga 949,000 baht (RM114,900) di mana untuk varian ini warna Lunar Silver Metallic sudah tidak lagi ditawarkan.
Bagi gred EL+ pula ia dijual pada harga 1,109,000 baht (RM134,300) atau naik 10,000 baht (RM1,200) dari sebelum ini. Dengan harga lebih tinggi, Civic e:HEV EL+ ini menerima penambahan pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, bersama kamera LaneWatch masih dikekalkan untuk semua varian.
Manakala untuk varian e:HEV RS yang menjadi satu-satunya varian ditambah dengan mod S+ Shift, ia dijual pada harga 1,259,000 baht (RM152,500), atau 20,000 baht (RM2,400) lebih mahal dari sebelum ini. Honda Thailand juga menambah pilihan warna Urban Grey Pearl untuk varian ini, manakala warna Ignite Red Metallic sebelumnya diganti dengan warna Blazing Red Pearl.
Kami jangkakan versi kemaskini ini turut akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, di mana awal tahun ini Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa ia akan melancarkan enam model baharu pada pasaran tempatan untuk 2026. Selain dari tambahan mod S+ Shift untuk varian e:HEV RS, Honda Malaysia mungkin turut akan menawarkan Civic Hybrid dalam gred lebih rendah, lebih murah dan kurang sporty seperti yang ditawarkan pada CR-V 2026.



Honda Prelude
dari RM278,000
Honda HR-V
dari RM115,900
Honda e:N1
dari RM149,900
Honda Civic
dari RM133,900
Honda City Hatchback
dari RM85,900
Honda CR-V
dari RM178,200
Honda Civic Type R
dari RM399,900
Honda City
dari RM84,900
Honda WR-V
dari RM89,900