Bulan lepas pasaran Jepun menerima Honda Civic hibrid e:HEV yang dikemaskini, menerima mod tukaran gear palsu S+ Shift yang sama seperti diberikan pada coupe GT Honda Prelude. Dan tak lama lagi kemaskini yang sama nampaknya akan tiba ke pasaran Asia Tenggara – menurut laporan Autolifethailand, Civic hibrid dengan mod S+ Shift berkenaan akan dilancarkan di Thailand pada bulan ini.
Teknologi S+ Shift ini memberikan rasa seolah-olah unit rangkaian hibrid pada Civic tersebut diberikan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan – anda bukan sahaja dapat merasa tukaran gear berkenaan berserta shift shock seperti kotak gear DCT sebenar, malah ia turut boleh ditukar secara manual menerusi pedal penukar gear yang dibekalkan pada roda stereng, serta memberikan kesan seakan throttle blip sekiranya ‘gear’ berkenaan diturunkan secara agresif.
Hakikatnya transmisi sebenar yang dibekalkan pada unit rangkaian kuasa e:HEV ini hanyalah transmisi e-CVT yang hanya mempunyai klac lock-up kelajuan tunggal yang berfungsi untuk menyatukan pacuan enjin dan juga motor elektrik bila diperlukan.
Unit rangkaian kuasa e:HEV ini masih lagi sama seperti yang dibekalkan pada Civic e:HEV sedia ada. Ia menampilkan enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 141 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 182 Nm pada takat 4,500 rpm.
Enjin petrol ini pada kebanyakkan masanya bertugas hanya untuk mengecas bateri hibrid, manakala roda hadapan secara primari digerakkan oleh motor elekttrik berkuasa 184 PS dan tork 315 Nm. Namun pada masa-masa tertentu, kuasa enjin dan motor elektrik berkenaan disatukan oleh transmisi e-CVT berkenaan, menghasilkan kuasa gandingan maksima 203 PS.
Di Jepun, Civic yang hanya ditawarkan dalam badan hatchback sememangnya sudahpun tampil dengan pemilih gear jenis suis untuk varian e:HEV sama seperti pada Prelude, di mana butang pemilih mod S+ tersebut diletak pada pelantar yang sama. Ia berbeza dengan model pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia di mana Civic hanya ditawarkan dalam badan sedan dan masih menampilkan tombol gear konvensional – jadi adakah Civic hibird pasaran Asia Tenggara bakal menerima perubahan pemilih gear yang sama dengan versi JDM dengan kehadiran mod S+ ini?
Selain dari penambahan mod S+ Shift, Civic hibrid pasaran Thailand berkenaan dijangka bakal menerima beberapa kemaskini lain seperti sistem pemantau titik buta bagi menggantikan kamera LaneWatch dan juga penambahan kamera 360-darjah.
Tak mustahil Civic di pasaran Malaysia juga bakal dikemaskini dengan perincian-perincian yang sama. Awal tahun ini Honda Malaysia telah mengumumkan bahawa ia akan melancarkan enam model baharu pada pasaran tempatan untuk 2026, dan Civic ini mungkin salah satu daripadanya.

