Sebelum ini Geely dilaporkan telah berbincang dengan Ford di mana jenama automotif dari China berkenaan berminat untuk menggunakan kilang Ford yang terletak di Valencia, Sepanyol. Dan bukan itu sahaja, Ford juga dilapor berminat untuk menghasilkan model baharu yang diasaskan dari model-model binaan Geely. Menurut Autocar, kerjasama itu nampaknya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Perjanjian kerjasama ini dijangka akan dimuktamadkan pada tahun hadapan dengan Ford akan terus menjadi pemilik kilang berkenaan dengan pegangan kepentingan sebanyak 66%, dan 34% selebihnya adalah dipegang oleh Geely. Kilang Ford paling besar di luar Amerika Syarikat dan telah berusia setengah abad tersebut disasarkan untuk menghasilkan 500,000 unit kenderaan setahun.

Buat masa sekarang kilang berkenaan hanya memproduksi satu model sahaja iaitu Ford Kuga. Manakala menjelang 2029, ia dijangka akan memasang model baharu Bronco yang dibangunkan khas untuk pasaran Eropah menggunakan platform C2 Kuga, serta beberapa model Ford termasuk “crossover keluarga” segmen-C baharu menampilkan “DNA rali” dibangunkan bersama oleh Ford dan Geely, serta dua model SUV EV Geely.

“Produk Ford akan menggunakan rekaan bahagian atas yang unik sepenuhnya; ia bukan sekadar ‘menukar kulit’. Kami tidak menghasilkan kereta yang membosankan. Ini adalah produk Ford yang direka bentuk secara unik sepenuhnya, benar-benar tidak dapat disangkal lagi yang akan dibezakan daripada produk Geely,” kata ketua Ford Eropah, Jim Baumbick kepada Autocar.

Kerjasama Geely-Ford jadi : bakal hasilkan model bersama, guna kilang Ford di Valencia, Sepanyol

Bronco dan crossover baharu adalah dua daripada lima model baharu yang diinspirasikan dari jentera rali (dua yang lain merupakan EV kecil yang diproduksi oleh Renault dan satu lagi crossover dengan pelbagai unit rangkaian kuasa mungkin tidak dibina di Valencia) yang bakal dilancarkan oleh Ford di Eropah menjelang 2029.

“Kami fikir Geely sangat istimewa dan ini akan menjadi perkongsian yang sangat istimewa,” kata Baumbick, menjelaskan bahawa ia bermula pada tahun 2010 apabila gergasi automotif China itu membeli Volvo daripada Ford. Beliau berkata Ford memilih Geely kerana EV dan keupayaan yang luas dimiliki oleh jenama tersebut, dan pembangunan bersama membolehkan pembezaan produk dan memanfaatkan skala.

“Pertempuran yang kita hadapi dan persekitaran di Eropah telah berubah selama-lamanya. Ia berada pada tahap kos yang baharu. Apa yang kami cuba lakukan adalah memastikan bahawa kami benar-benar dapat menunjukkan kos serendah mungkin dalam masa yang sama membina produk khusus di Eropah untuk pelanggan Eropah.

“Ia sama dengan apa yang cuba dilakukan oleh pasukan Geely iaitu untuk mendapatkan kos sebenar yang mereka lihat di China dibawa ke Eropah, dan secara kolektif kami mengambil pilihan yang selaras dengan prinsip dibuat-di-Eropah,” kata Baumbick.

Kerjasama Geely-Ford jadi : bakal hasilkan model bersama, guna kilang Ford di Valencia, Sepanyol

“Matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa kami menggunakan sepenuhnya kemudahan ini, dan supaya ia tidak mewujudkan sebarang parameter tetap. Ini memberi kami fleksibiliti untuk memastikan bahawa kami dapat mengoptimumkan kemudahan ini. Dan jika anda menggunakannya sepenuhnya, ia akan memberikan kos terendah untuk semua orang. Itulah matlamatnya,” tambah beliau.

Bagi Geely, ini merupakan operasi produksi pertamanya di Eropah menggunakan jenamanya sendiri. Kehadiran Geely di Eropah sebelum ini hanyalah menerusi jenama-jenama Eropah miliknya iaitu LEVC, Lotus dan Volvo.

“Kami sentiasa percaya bahawa untuk benar-benar berakar umbi di Eropah, kami mesti berasal dari Eropah. Bagi kami, ini bermakna lokalisasi dan komitmen jangka panjang untuk mengintegrasikan kepakaran kami dengan warisan pembuatan bertaraf dunia di kilang Valencia,” kata Naib Presiden Kanan Geely, Victor Yang, kepada Autocar, dan menambah bahawa syarikat itu menyasarkan antara satu pertiga dan separuh daripada jualan Eropahnya dihasilkan di sana dalam tempoh lima tahun.

“Kami menggandakan kepercayaan kami terhadap kecemerlangan perindustrian Eropah. Kami di sini bukan sekadar untuk menjual; kami di sini untuk melabur dalam bakat tempatan, untuk mengukuhkan rantaian bekalan dan bekerjasama dengan Ford untuk menyampaikan penyelesaian pelbagai tenaga yang diminta oleh pelanggan Eropah,” tambahnya.