Volkswagen ID. Cross diperkenal – EV crossover kompak dengan bateri sehingga 52 kWh, WLTP 427 km

Volkswagen secara rasmi memperkenalkan ID. Cross dalam versi produksi, hampir setahun selepas ID. Cross Concept dipertontonkan sebagai petunjuk kepada bahasa reka bentuk baru syarikat itu yang dikenali sebagai “Pure Positive”. Crossover elektrik ini dibangunkan menggunakan platform MEB+, sekaligus berkongsi asas dengan beberapa model lain dalam kumpulan Volkswagen seperti ID. Polo, Cupra Raval dan Skoda Epiq.

Melihat kepada dimensi, ID. Cross mempunyai panjang 4,153 mm, lebar 1,794 mm dan tinggi 1,581 mm, dengan jarak roda 2,601 mm. Ia turut menawarkan kelegaan tanah setinggi 140 mm, sesuai untuk kegunaan harian di kawasan bandar mahupun perjalanan luar bandar.

Bergantung kepada varian, berat model ini bermula dari 1,616 kg bagi versi dengan bateri 37 kWh, manakala varian yang menggunakan bateri 52 kWh mencatatkan berat 1,631 kg. Ruang simpanan belakang pula menawarkan kapasiti 475 liter, iaitu 20 liter lebih besar berbanding T-Cross, selain turut dilengkapi ruang simpanan hadapan (frunk) berkapasiti 25 liter.

Volkswagen ID. Cross diperkenal – EV crossover kompak dengan bateri sehingga 52 kWh, WLTP 427 km

ID. Cross ditawarkan dengan konfigurasi pacuan roda hadapan menggunakan motor elektrik tunggal APP290. Bagi varian yang dipadankan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 37 kWh, pembeli boleh memilih sama ada motor berkuasa 116 PS atau 135 PS.

Varian paling berkuasa pula menggunakan motor elektrik 211 PS yang digandingkan dengan bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 52 kWh. Kelajuan maksimum bagi varian 116 PS dan 135 PS dihadkan kepada 150 km/j, manakala varian 211 PS mampu mencapai sehingga 160 km/j.

Dari aspek pengecasan, bateri 37 kWh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 90 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 10% kepada 80% dalam tempoh sekitar 23 minit. Bagi bateri 52 kWh, kadar pengecasan maksimum meningkat kepada 105 kW dengan tempoh pengecasan 10% hingga 80% mengambil masa kira-kira 24 minit.

Volkswagen ID. Cross diperkenal – EV crossover kompak dengan bateri sehingga 52 kWh, WLTP 427 km

Model ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan output sehingga 3.6 kW, membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran. Dari segi jarak perjalanan, bateri 37 kWh menawarkan sehingga 316 km, manakala bateri 52 kWh mampu mencapai sehingga 427 km mengikut kitaran ujian WLTP.

Untuk sistem suspensi, ID. Cross menggunakan tetapan MacPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia ditawarkan dengan pilihan rim bersaiz antara 17 hingga 20 inci, sementara sistem suspensi adaptif DCC disediakan sebagai pilihan untuk varian tertinggi yang menggunakan motor 211 PS bersama bateri 52 kWh.

Di bahagian kabin, Volkswagen memberi penekanan kepada suasana yang lebih mesra dan selesa menerusi penggunaan panel papan pemuka yang dibalut fabrik, kemasan logam pada kawalan audio di konsol tengah serta kemasan permukaan lain yang direka agar lebih menyenangkan ketika disentuh.

Sama seperti ID. Polo, ID. Cross mengekalkan penggunaan butang fizikal pada stereng pelbagai fungsi dan papan pemuka. Paparan Digital Cockpit Pro untuk kluster instrumen pemandu serta skrin infotainmen diletakkan pada satu garisan pandangan demi memudahkan pemandu mengakses maklumat.

Menariknya, butang “View” pada stereng membolehkan paparan kluster instrumen bertukar kepada mod retro yang diinspirasikan daripada paparan meter Volkswagen Golf generasi pertama versi facelift. Sistem kawalan pendingin hawa juga masih menggunakan butang fizikal, manakala sistem audio premium Harman Kardon berkuasa 425 watt dengan 10 pembesar suara, termasuk pembesar suara tengah dan subwoofer, ditawarkan sebagai kelengkapan tambahan.

Antara ciri lain yang disediakan termasuk tempat duduk hadapan dengan pelarasan elektrik serta fungsi urutan, selain bumbung panoramik yang dilengkapi bidai penghadang cahaya elektrik.

Volkswagen ID. Cross diperkenal – EV crossover kompak dengan bateri sehingga 52 kWh, WLTP 427 km

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, ID. Cross dilengkapi sistem Connected Travel Assist yang turut menyokong pengecaman lampu isyarat. Sistem ini mampu memberhentikan kenderaan secara automatik apabila mengesan lampu isyarat merah.

Tempahan bagi Volkswagen ID. Cross kini telah dibuka di pasaran Eropah. Harga bermula dari 27,995 euro (sekitar RM130,526) untuk varian asas Trend yang dipadankan dengan motor elektrik 116 PS serta bateri berkapasiti 37 kWh.