Range Rover GT didedah – model kelima diperkenal dalam versi BEV dahulu, ICE dan hibrid menyusul

Barisan model Range Rover kini menerima ahli kelima apabila Range Rover GT diperkenalkan. Meskipun sebelum ini ada laporan yang menyatakan model ini akan menggantikan Range Rover Velar, perkara itu mula diragui kerana Autocar melaporkan, Velar yang mula diperkenalkan pada 2017 dan menerima kemas kini pada 2023 akan terus kekal dalam penawaran Range Rover untuk masa terdekat.

Dari segi dimensi, Range Rover GT dikatakan mempunyai ukuran hampir menyamai Range Rover Sport dengan panjang sekitar 4,946 mm. Walaubagaimanapun, model baru ini dibina dengan ketinggian yang lebih rendah berbanding Range Rover generasi L461, sekaligus memberikan penampilan yang lebih sporty serta karakter pemanduan yang lebih menjurus kepada sebuah Grand Tourer (GT).

Pengarah Urusan Range Rover, Martin Limpert berkata, model ini dibangunkan untuk menggabungkan pengendalian dan bentuk sebuah GT dengan keselesaan pemanduan jarak jauh yang menjadi identiti Range Rover. Pada masa sama, ia masih menawarkan keupayaan yang tidak mampu ditandingi oleh kebanyakan model GT konvensional. Kenyataan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Range Rover GT bakal menjadi model paling memfokuskan prestasi pemanduan di atas jalan raya dalam keluarga Range Rover.

Range Rover GT juga mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi model elektrik bateri (BEV) pertama jenama itu yang menggunakan platform EMA. Platform baru ini turut akan menjadi asas kepada Range Rover Evoque generasi baru. Sebagai perbandingan, Range Rover Electric (L460) yang bakal diperkenalkan menggunakan platform MLA-Flex.

Range Rover GT didedah – model kelima diperkenal dalam versi BEV dahulu, ICE dan hibrid menyusul

Pada peringkat awal, Range Rover GT hanya akan ditawarkan dengan rangkaian kuasa elektrik penuh, manakala varian enjin pembakaran dalaman dan hibrid dijangka menyusul pada fasa seterusnya sepanjang kitaran hayat model ini.

Selain memperlihatkan imej luaran prototaip yang masih diselubungi pelekat penyamaran, Range Rover turut mendedahkan rekaan kabin model berkenaan. Bahagian dalaman meneruskan falsafah rekaan minimalis yang menjadi identiti model-model Range Rover terkini, dengan kebanyakan elemen fizikal dikurangkan bagi menghasilkan suasana yang lebih kemas dan moden.

Panel instrumen konvensional digantikan dengan paparan digital yang diletakkan lebih tinggi di hadapan pemandu, manakala sistem infotainmen dikendalikan menerusi satu skrin sesentuh bersaiz besar di bahagian tengah papan pemuka. Lubang penyaman udara pula disepadukan secara kemas merentasi papan pemuka sehingga hampir tidak kelihatan.

Menurut Range Rover, rekaan kabin ini dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada pengurangan gangguan visual dan bunyi, selain memudahkan akses kepada pelbagai fungsi kenderaan menerusi arahan suara. Selari dengan pendekatan tersebut, pemilih transmisi kini dipindahkan ke belakang stereng, sementara butang kawalan fizikal dikurangkan dengan ketara.

Bagi ruang penumpang belakang, imej yang didedahkan menunjukkan konfigurasi dua tempat duduk individu yang dipisahkan oleh konsol tengah, lengkap dengan kawalan sistem infotainmen dan penyaman udara. Walaubagaimanapun, konfigurasi bangku tiga tempat duduk dijangka turut ditawarkan sebagai pilihan. Turut disertakan adalah bumbung kaca panoramik penuh.

Ketika ini, prototaip Range Rover GT sedang menjalani ujian akhir di jalan raya sebelum memasuki fasa pengeluaran. Range Rover memaklumkan lebih banyak maklumat, termasuk spesifikasi penuh dan butiran lanjut mengenai model ini akan diumumkan menjelang penghujung tahun.