Nissan Leaf Nismo 2026 dilancar di Jepun – talaan suspensi dan rupa lebih sporty, kuasa kekal sama

Selepas setahun berada dalam pasaran, model generasi ketiga Nissan Leaf kini hadir dalam varian lebih sporty dengan lencana sayap perlumbaan rasmi – ini dia Nissan Leaf Nismo! Namun seperti biasa, ia merupakan model khas yang hanya ditawarkan di pasaran Jepun, dan Nissan tidak menyebut sama ada Leaf Nismo ini akan di bawa ke pasaran luar atau tidak.

Tiada talaan prestasi pada unit rangkaian kuasa diberikan pada Leaf Nismo ini, di mana ia masih digerakkan oleh sebuah motor elektrik memacu roda hadapan, menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 245 Nm bagi varian asas B5 dan 218 PS/355 Nm untuk varian B7.

Namun Nismo lebih menumpukan terhadap talaan pengendalian yang membuatkan EV ini lebih lincah serta responsif ketika dipandu. Untuk itu, Nismo menggantikan komponen casis seperti spring gegelung, bar anti-oleng dan juga beberapa bushing khas untuk model ini.

Nissan Leaf Nismo 2026 dilancar di Jepun – talaan suspensi dan rupa lebih sporty, kuasa kekal sama

Ia juga diberikan penyerap hentak dengan injap ayun (swing valve) sama seperti yang diberikan pada X-Trail Nismo di mana ia membantu untuk mengurangkan olengan badan serta membolehkan suspensi memberikan respon yang lancar terhadap perubahan permukaan jalan, dakwa Nissan. Talaan ini disempurnakan dengan dengan tayar Michelin Pilot Sport 5 yang membaluti rim aloi 19-inci asli dari Nismo.

Walaupun angka kuasa tidak naik, Nismo turut membuat talaan terhadap karekteristik penghantaran kuasa pada mod pemanduan Eco dan Normal, manakala mod Sport telah diganti dengan mod Nismo bagi memberikan rasa penghantaran kuasa yang paling agresif.

Khas untuk model Nismo ini juga, ia diberikan sepasang pedal +/- di belakang roda stereng, bukan untuk memberikan tukaran gear palsu, sebaliknya adalah pedal untuk melaras kadar regenerative braking yang menyediakan empat tahap. Selain dari mengecas semula bateri, kadar regen yang kuat juga memberikan rasa seakan engine braking, seterusnya memberikan rasa lebih terhubung antara pemandu dan kereta.

Nissan Leaf Nismo 2026 dilancar di Jepun – talaan suspensi dan rupa lebih sporty, kuasa kekal sama

Seperti biasa, model sentuhan Nismo ini pastinya menerima rupa yang lebih garang dari versi biasa. Leaf Nismo ini menerima kit aero yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan serta skirt sisi dan belakang yang lebih labuh dalam kemasan hitam serta serlahan merah yang digelar sebagai Arterial Magma.

Ia juga diberikan sirip tambahan pada sisi bampar hadapan yang didakwa akan melancarkan udara yang melalui sisi kereta ini. Spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang Leaf Nismo ini juga lebih besar, dan menerima kemasan berbentuk badan bot di bawahnya, juga didakwa dapat mengurangkan seretan udara serta menambah downforce.

Leaf Nismo ini juga masih dibekalkan dengan bateri 55 kWj untuk varian B5 dan 75 kWj pada varian B7, namun Nissan tidak menyatakan jarak gerak untuk model talaan istimewa ini. Pada versi standard, varian B5 boleh bergerak sejauh 521 km dalam kitaran ujian WLTP, dan 702 km WLTP bagi varian B7 – angka ini mungkin berbeza pada versi Nismo ini disebabkan ia menerima tayar dengan cengkaman lebih kuat serta kit aero dan talaan karekter unit rangkaian kuasa yang sudah berubah.

Pada bahagian dalaman, kabin Leaf Nismo ini nampak lebih racy dengan upholsteri hitam-merah bersama sulaman logo Nismo, roda stereng balutan kulit sintetik TailorFit dengan serlahan jahitan dan penanda pukul 12 berwarna merah, jalur serlahan merah pada papan pemuka serta serlahan jahitan benang merah pada panel pintu.

Paparan instrumen digital Leaf Nismo ini turut diberikan grafik ‘Power Meter’ berwarna merah. Manakala bagi varian B7, pelanggan turut ditawarkan dengan pilihan tempat duduk bucket dari Recaro yang dibalut dengan kulit dan sued serta pelaras manual.

Nissan Leaf Nismo ini dijual pada harga 6,601,100 yen (RM164,800) untuk varian B5, dan 6,952,000 yen (RM173,600) untuk varian B7. Manakala bagi pelanggan yang memilih B7 dengan tempat duduk Recaro, ia dijual pada harga 7,227,000 yen (RM180,500).

Tags: