Perbincangan mengenai sama ada perlu atau tidak mewajibkan penilaian kelayakan memandu bagi pemandu warga emas terus menjadi perhatian. Walaupun kerajaan sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak bercadang untuk melaksanakan langkah tersebut. Penyokong cadangan itu berpendapat ia mampu membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan tambahan bagi tujuan pembaharuan lesen memandu persendirian, termasuk untuk pemandu berusia 70 tahun ke atas. Beliau menjelaskan bahawa hasil kajian dan analisis antarabangsa menunjukkan tiada bukti yang konklusif bahawa pelaksanaan pemeriksaan kesihatan wajib berdasarkan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan.
Pandangan mengenai isu ini turut diminta daripada pakar keselamatan jalan raya, dan kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengemukakan pendiriannya. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, sebarang cadangan untuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan atau penilaian fungsi kognitif bagi warga emas perlu disokong oleh bukti saintifik yang kukuh, laporan The Star.
Beliau berkata, walaupun keselamatan jalan raya kekal sebagai keutamaan utama pasukan polis, dan setiap langkah yang berpotensi meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya wajar dipertimbangkan, sebarang pendekatan yang ingin dilaksanakan mestilah adil, seimbang dan tidak bersifat diskriminasi, dengan memberi tumpuan kepada keupayaan individu untuk memandu dengan selamat, bukannya berdasarkan faktor umur semata-mata.
“Sebarang cadangan seumpamanya perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan statistik kemalangan, bukti saintifik, amalan terbaik di peringkat antarabangsa serta maklum balas daripada pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya kepada penerbitan terbabit.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini tiada sebarang keputusan dasar dibuat untuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan atau penilaian fungsi kognitif bagi pemandu warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu mereka. Namun, sekiranya cadangan rasmi dikemukakan pada masa hadapan, PDRM akan menyumbangkan dapatan penguatkuasaan, data analisis kemalangan serta pandangan penilaian profesional bagi membantu kerajaan membuat keputusan terbaik demi keselamatan jalan raya. Beliau menambah bahawa isu tersebut juga memerlukan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).









