Honda Malaysia memperkenalkan pilihan warna baru untuk Vario 160 tahun 2026 iaitu Matte Black, Silver Blue dan Gray Gold. Ia dijual pada harga RM10,498 dan setiap pembelian disertakan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
Tiada perubahan dari segi spesifikasi mekanikal untuk Vario 160. Kuasa masih dijana oleh enjin silinder tunggal eSP+ 157 cc, empat injap dan penyejukan cecair yang menghasilkan 15.3 hp pada 8,500 rpm serta tork maksimum 13.8 Nm pada 7,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik jenis CVT bersama pacuan tali sawat.
Vario 160 menggunakan rim bersaiz 14 inci di hadapan dan belakang. Roda hadapan dipadankan dengan tayar bersaiz 100/80, manakala roda belakang menggunakan tayar bersaiz 120/70. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada kedua-dua roda, dengan sistem brek anti-kunci (ABS) satu saluran dipasang pada roda hadapan.
Untuk sistem suspensi, bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik, manakala bahagian belakang dipadankan dengan penyerap hentak tunggal yang menawarkan pelarasan prabeban.
Dari segi kelengkapan, Vario 160 dilengkapi sistem Smart Key yang membolehkan enjin dihidupkan tanpa kunci, selain menawarkan fungsi penggera keselamatan dan ciri pencari motosikal (call back). Turut disediakan ialah soket pengecas USB-A serta ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 18 liter.
Skuter ini mempunyai berat 117 kg, dengan tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter dan ketinggian tempat duduk 778 mm. Ciri standard lain termasuk sistem lampu LED sepenuhnya serta panel meter LCD digital yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan.
