Honda Malaysia pasang 8,960 panel solar, BESS di kilang Melaka — lebih 7,000 MWh setahun, kurangi 10% CO2

Honda Malaysia telah melabur sebanyak RM14 juta untuk memasang kira-kira 8,960 panel solar di bahagian bumbung kilangnya di Alor Gajah, Melaka. Ini termasuk pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang bertujuan untuk mempercekap pengurusan tenaga boleh diperbaharui di kilang tersebut.

Panel solar yang dipasang itu mempunyai kapasiti lebih 5.6 megawatt dan dijangka menjana kira-kira 7,042 megawatt-jam elektrik setahun. Ini akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan CO2 kilang sebanyak 4,584 tan setahun, mewakili kira-kira 10% daripada jumlah pelepasan karbonnya setahun.

Sementara itu, BESS akan bertindak untuk menyimpan janaan tenaga solar yang berlebihan untuk kegunaan di kemudian hari, sekali gus meningkatkan kecekapan dan memastikan bekalan yang lebih stabil untuk operasi. Honda Malaysia mendakwa syarikat itu adalah perintis BESS dalam kalangan pengguna elektrik perindustrian di negara ini, dan merancang untuk mengembangkan inisiatif solarnya ke gudang alat ganti Bukit Jelutong tahun depan.

Honda Malaysia pasang 8,960 panel solar, BESS di kilang Melaka — lebih 7,000 MWh setahun, kurangi 10% CO2

Pengeluar kenderaan jenama Jepun itu turut menjelaskan pihaknya telah mencapai pensijilan Indeks Iklim dan Kelestarian Industri (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang. Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menjadikan projek berkenaan satu kenyataan.

“Selesainya projek kuasa solar ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan kelestarian Honda Malaysia. Selain mengurangkan kesan jejak kami terhadap alam sekitar, ia juga mencerminkan komitmen kami terhadap pengeluaran yang bertanggungjawab serta aspirasi untuk menyumbang ke arah masa depan yang neutral karbon,” jelas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki.

Kilang automotif lain yang turut dilengkapi kuasa solar di negara ini termasuklah Perodua Sungai Choh, Proton Tanjong Malim, Tan Chong Serendah, Stellantis Gurun dan Goodyear Shah Alam (sebelum ditutup). Malaysia mensasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2050.