Yamaha Y15ZR, Y15ZR SE pasaran Malaysia dapat pilihan warna baru – harga RM8,998 dan RM9,498

Kapcai popular daripada Yamaha iaitu Y15ZR yang kini sudah berusia lebih tujuh tahun (V2) di Malaysia sekali lagi diberikan pilihan warna baru demi memastikan ia terus segar dalam pasaran. Warna baru Cyan Jade diperkenal, menggantikan warna Mecha Green sebelum ini, sementara Aqua Violet dan Blue Spark dikekalkan.

Bagi versi SE, yang datang dengan bakul yang mempunyai soket pengecas USB-C serta visor sports khas pula, ia kini ditawarkan dalam warna baru Royal Maroon, bersama rim yang berwarna emas. Harga untuk kedua-dua model ini masih tidak berubah, iaitu RM8,998 untuk Y15ZR biasa, dan RM9,498 untuk Y15ZR SE, tidak termasuk insurans.

Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini masih sama seperti waktu ia dilancarkan pada tahun 2019, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api bersama gandingan kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Yamaha Y15ZR, Y15ZR SE pasaran Malaysia dapat pilihan warna baru – harga RM8,998 dan RM9,498

Motosikal ini datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter. Di hadapan penunggang terdapat meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

Perincian lain Y15ZR adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

Tags: