Dalam diam-diam sahaja Toyota 86 facelift telah pun mula berada di bilik pameran di Petaling Jaya, siap didedahkan spesifikasi penuh dan senarai harganya sekali.

Bagi yang mungkin berimpian mahu memilikinya, ia ditawarkan dengan versi manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan. Harganya pula bermula RM257,502 untuk manual hingga RM264,309 bagi automatik, harga atas jalan tanpa insurans, dan turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad.

Perubahan yang dilakukan bagi model 86 facelift ini ialah bampar hadapan yang disemak semula dengan gril yang lebih lebar dan bingkai lampu kabus baharu. Lampu utamanya juga kini LED berbanding xenon, dan turut ditampilkan dengan indikator LED, serta lampu kabus LED.

Di sisinya, corong dapra (fender) palsu turut direka semula, dengan logo 86 baharu yang diposisikan sedikit rendah di bawah dapra. Ia juga ditampilkan dengan rim aloi 17-inci baharu, lampu belakang LED baharu dan bampar belakang yang disemak semula dengan peresap yang lebih lebar. Malah spoiler belakang jenis-sayap baharu turut ditampilkan secara standard.

Di dalamnya pula, ia menerima roda stereng tiga-jejari pelbafai fungsi bagaru, kluster instrumen yang dipertingkatkan dengan skrin pelbagai-info TFT LCD 4.2-inci yang memaparkan informasi termasuk G-Force, kuasa/tork, dan stopwatch. Rev counter juga telah dikonfigurasi semula dengan tahap tertinggi dikatakan mampu mencecah 7,000 rpm di mana enjin boleh menghasilkan kuasa pada semaksimum yang mungkin.

Kit standard yang turut ditawarkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dwi-zon, kulit dan upholsteri Alcantara dan pemain CD/radio 2-DIN dengan Bluetooth serta enam pembesar suara. Untuk aspek keselamatan pula dilengkapi tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek serta Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan mod Track baharu.

Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 2.0 liter FA20 D-4S suntikan terus empat-silinder dengan sistem pengambilan dan ekzos yang dipertingkatkan, mampu menghasilkan kuasa maksimum 200 PS pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm antara 6,400 dan 6,800 rpm.

Untuk mempertingkatkan ketegarannya, tiang belakangnya juga telah dikimpal dengan jumlah yang lebih banyak, selari dengan gegelung dan peredamnya bagi memberikan pengendalian yang lebih selesa dan penguasaan stereng lebih tepat.