Selepas membuat kemunculan rasminya pada awal tahun ini di Tokyo Auto Salon, model khas yang direka bagi membolehkan Toyota menghasilkan jentera rali dunia lebih hebat iaitu Toyota GR Yaris kini sudah mula boleh ditempah pada pasaran Jepun. Spesifikasi model tertinggi jentera ini masih sama seperti yang didedahkan sebelumnya, namun apa yang mengejutkan, Toyota memperkenalkan GR Yaris dalam versi lebih mampu milik dikenali sebagai GR Yaris RS.
Model yang dibuat khas hanya untuk pasaran Jepun ini masih menggunakan kerangka badan tiga-pintu GR Yaris dengan bumbung CFRP lebih rendah, badan lebih lebar serta penggunaan sistem suspensi double wishbone pada bahagian belakang (berbeza dari Yaris standard yang hanya diberikan suspensi torsion beam) serta rim 18-inci bersama tayar 225/40R18.
Namun untuk GR Yaris RS ini, ia hanya dijana oleh enjin M15A-FKS 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force berkuasa 120 PS dan tork maksima 145 PS. Juga, tiada sistem pacuan semua roda diberikan, di mana kuasa dari enjin hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear Direct-Shift CVT dengan 10-kelajuan maya.
Tanpa sistem pacuan semua roda, GR Yaris RS ini ditimbang dengan berat hanya 1,130 kg atau 150 kg lebih ringan dari versi paling berkuasa. Juga, Gazoo Racing turut memberikan talaan suspensi khas untuk model yang kurang berkuasa ini.
Untuk model tertinggi GR Yaris RZ, seperti yang diumumkan sebelum ini, ia dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo menghasilkan kuasa 272 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan iMT, dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four.
Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring dengan klac pelbagai lapisan, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.
Manakala untuk pelanggan yang memilih model gred High Performance untuk GR Yaris RZ ini, ia turut akan disertakan dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang, rim aluminium forged dari BBS berdiameter 18-inci serta tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan saiz 225/40R18.
Toyota Jepun kini membuka pra-tempahan dalam talian sehingga 30 Jun ini untuk model edisi khas awalan yang digelar GR Yaris RZ High Performance First Edition dan GR Yaris RZ First Edition.
Versi istimewa ini menampilkan kemasan hitam matte pada diffuser dan spoiler belakang, corak marmar pada bumbung CFRP, tempat duduk sport dalam kemasan ‘Emotional Colour Premium’ serta cermin hadapan dengan tandatangan Presiden Toyota, Akio Toyoda atau nama samarannya ketika berlumba, Morizo.
Untuk pasaran Jepun ini juga, Toyota turut menawarkan GR Yaris RC, iaitu model ‘kosong’ yang mudah untuk ditransformasikan sebagai jentera litar atau rali sebenar. Ia masih dijana enjin 1.6 liter turbo serta kotak gear dan sistem GR-Four sama seperti GR Yaris RZ, tetapi hadir tanpa aksesori yang tidak diperlukan seperti sistem infotainmen dan sebagainya.
Ia juga hanya tampil dengan rim 17-inci dengan tayar 205/45R17. Secara keseluruhan, GR Yaris RC ini telah menyisihkan 30 kg berat yang tidak diperlukan, ditimbang pada 1,280 kg. Walau bagaimanapun, trek roda pada model untuk perlumbaan ini adalah 5 mm lebih lebar dari versi RZ.
Pelanggan untuk pasaran Jepun yang membeli GR Yaris ini akan menerima pelbagai hadiah menarik dari Toyota. Antaranya model replika skala kecil GR Yaris, dan yang paling menarik adalah tiket untuk ke WRC Rally Japan. Jualan rasmi Toyota GR Yaris ini dijangka akan bermula di Jepun pada September nanti.
GALERI: Toyota GR Yaris di Tokyo Auto Salon 2020
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.