Toyota Yaris facelift 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

Selepas menyiarkan teaser minggu lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Yaris facelift 2020 kini sudahpun dibuka. Selain dari rupa yang akan disegarkan, model kemaskini itu juga diumumkan turut menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense.

Toyota Yaris facelift pasaran Malaysia ini menampilkan rupa yang sama dengan model pasaran Thailand yang dilancarkan Ogos lalu. Ia menerima lampu hadapan LED “triple bezel” serta rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang dirombak seakan rekaan Corolla dan Camry baharu.

Untuk pecahan varian model facelift ini, pasaran Malaysia akan terus ditawarkan dalam tiga gred iaitu J, E dan G. Walau bagaimanapun, pecahan spesifikasi untuk setiap varian ini masih belum diperincikan.

Namun UMWT mengesahkan bahawa untuk varian tertinggi Yaris menerima pelbagai perincian baharu antaranya skrin infotainmen 7.0-inci yang lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple Carplay, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan juga sistem telematik kenderaan (VTS).

Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

Perincian lain yang turut ditunjukkan termasuk sistem pendingin hawa automatik, panel meter Optitron dengan skrin MID berwarna, serta cermin pandangan belakang anti-silau elektrokromik.

Yaris facelift ini juga bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem pra-perlanggaran (PCS) yang aktif dalam kelajuan bermula 15 km/j dan Amaran penukaran lorong (LDA) yang berfungsi dalam kelajuan 50 km/j ke atas.

Toyota Yaris mula diperkenalkan semula pada pasaran Malaysia pada tahun lalu, dan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang baharu UMWT yang terletak di Bukit Raja, Klang.

Model sedia ada sudah pun diberikan sistem keselamatan yang agak baik dalam kelas segmen-B dengan kelengkapan seperti kawalan bantuan mula mendaki (HAC), tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), perakam video digital di depan dan belakang (DVR) serta kamera pandangan panaromik 360-darjah.

Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

Versi yang dipertingkat ini dijangka akan terus menerima sistem mekanikal sedia ada dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm, digandingkan dengan transmisi CVT automatik.

UMWT telah pun mengumumkan harga jangkaan untuk ketiga-tiga varian Yaris facelift 2020 ini, bermula dengan model asas 1.5J dengan harga RM71,688, model pertengahan 1.5E berharga RM80,591 dan model tertinggi 1.5G berharga RM85,587. Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk semenanjung Malaysia, lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 serta perlindungan waranti komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.

Tiada lagi warna hero Citrus Mica Metallic seperti model sebelumnya, dan hatchback ini boleh dipilih dengan warna badan Red Mica Metallic, Silver Metallic dan juga warna baharu Platinum White Pearl. Tarikh sebenar bila ia akan dilancarkan masih belum diumumkan, namun dengan tempahan yang telah dibuka ini, boleh diagak bahawa pelancarannya akan dibuat dalam masa terdekat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required