Toyota Corolla 2019 dilancar untuk pasaran Malaysia – dua varian, enjin 1.8L 139 PS, harga dari RM128,888

Toyota Corolla generasi ke-12 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dalam dua varian. Secara rasminya, sedan segmen C ini dipanggil sebagai Corolla, tetapi masih menggunakan lencana Altis di bahagian belakang menunjukkan ia adalah sebuah model import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Varian permulaan bagi Corolla baru ini adalah 1.8E, yang dijual pada harga RM128,888 tidak termasuk insurans, manakala varian lebih tinggi adalah 1.8G, dijual pada harga RM136,888. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

Untuk warna pula ada lima pilihan – Celestite Grey Metallic, Silver Metallic, Attitude Black, Red Mica Metallic dan White Pearl Crystal Shine – warna terakhir ini memerlukan bayaran tambahan RM800.

Kedua-dua varian Corolla baru ini masih menggunakan enjin sama seperti Altis sebelum ini, iaitu unit petrol empat silinder 1.8 liter 2ZR-FE Dual VVT-i, yang dipadankan bersama transmisi Shiftmatic CVT dengan tujuh gear virtual, dan menyampaikan kuasa sebanyak 139 PS (137 hp) pada 6,400 rpm dan 173 Nm tork pada 4,000 rpm ke roda hadapan. Pemandu juga boleh memilih dua mod iaitu Sport dan Eco.

Toyota Corolla 2019 dilancar untuk pasaran Malaysia – dua varian, enjin 1.8L 139 PS, harga dari RM128,888

Bagi model baru ini, ia sekarang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C dan mempunyai rekaan yang diubah sepenuhnya – model yang dibawa masuk ke Malaysia menggunakan muka seperti model Eropah. Dimensi kenderaan turut berubah, di mana ia sekarang berukuran 4,630 mm panjang (+10 mm), 1,780 mm lebar (+5 mm) dan 1,435 mm tinggi (-45 mm); jarak roda masih sama iaitu 2,700 mm.

Pada varian 1.8E, anda akan mendapat lampu utama halogen automatik, rim 16 inci (tayar 205/55), lampu belakang LED, kamera undur, pengesan jarak depan dan belakang, serta lampu kabus secara standard.

Barangan lain yang diberi adalah seperti sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, paparan instrumen TFT LCD 4.2 inci, pengawal suhu satu zon dengan corong pendingin hawa di belakang, skrin infotainmen 6.8 inci dengan enam pembesar suara, tempat duduk balutan fabrik hitam serta tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan arah.

Pergi pula kepada 1.8G, ia menggunakan lampu utama LED projector, rim 17 inci (tayar 225/45), meter Optitron dengan paparan tujuh inci, pengawal suhu dua zon, tempat duduk balutan kulit hitam, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), pedal penukar gear di stereng, penghadang cahaya untuk cermin tepi belakang, pengecas Qi tanpa wayar, kamera pandangan panoramik dan perakam video digital (depan dan belakang).

Untuk dua barang terakhir yang disebutkan tadi, ia didatangkan sebagai pilihan tambahan untuk varian 1.8E dengan masing-masing berharga RM2,700 dan RM1,100. UMWT juga ada menawarkan Vehicle Telematics System (VTS) yang membenarkan pemilik memeriksa lokasi kenderaan pada waktu sebenar menggunakan aplikasi mudah alih pada harga RM1,700; percuma dengan langganan selama dua tahun (berharga RM250 setahun).

Pada bahagian keselamatan, kedua-dua 1.8E dan 1.8G datang dengan tujuh beg udara (depan, bidai dan lutut pemandu), Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), ABS dengan EBD dan Brake Assist, Hill-start Assist Control (HAC), Emergency Stop Signal (ESS), sistem pemerhati tekanan angin tayar, dan cagak Isofix (tempat duduk belakang).

Kemudiannya, 1.8G ditambah lagi dengan pakej sistem keselamatan dan bantuan pemandu Toyota Safety Sense yang termasuk Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) dengan Steering Assist & Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), (Automatic High Beam (AHB) dan Blind Spot Monitor (BSM).

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.