altis-facelift-malaysia-spec-01-850x481-bm

Mac yang lalu, gambar Toyota Corolla Altis facelift muncul buat pertama kali dan semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan mereka sudah membuka tempahan bagi model ini, bersama pilihan varian dan harganya.

Kesemuanya ada tiga varian untuk Corolla Altis facelift iaitu 1.8E, 1.8G dan 2.0V. Harganya pula masing-masing adalah RM120,900, RM123,900 dan RM138,900. Harga ini tidak jauh beza dengan harga model yang sedia ada sekarang dan apabila melihat spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh UMWT di dalam laman webnya, ia boleh dikatakan agak menarik.

Daripada aspek keselamatan, tujuh beg udara (termasuk pada bahagian lutut pemandu) diberikan secara standard kepada semua varian, bersama Vehicle Stability Control (VSC). Pada model yang ada di pasaran sekarang, VSC hanya datang pada model 2.0V dan beg udara standard untuk semua varian pula hanya ada dua. Jika mahu lebih lagi, orang ramai boleh memilih ‘pakej keselamatan tambahan’, tetapi hanya ditawarkan untuk model 2.0V. Jelas untuk model facelift ini, pakej keselamatan adalah lebih baik.

Pada bahagian enjin, masih tiada sebarang perubahan, bermakna unit 2ZR-FE 1.8 liter (139 PS/173 Nm) dan 3ZR-FE 2.0 liter (145 PS/197 Nm) masih lagi digunakan untuk menggerakkan Altis dan ia dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan ciri ‘Sport Sequential Shiftmatic Mode‘ tujuh kelajuan. Pedal penukar di stereng juga diberikan kepada model 2.0V.

Selain itu, model paling tinggi Altis facelift juga menggunakan rim 17 inci (tayar 215/45) manakala model 1.8L menggunakan rim 16 inci (tayar 205/55). Pada bahagian lampu hadapan, ia menggunakan unit LED berbanding jenis halogen bagi model 1.8L. Lampu siang dan lampu belakang LED didatangkan secara standard untuk semua model, bersama lampu kabus, manakala lampu hadapan automatik serta pengesan jarak hadapan dan belakang didatangkan untuk semua varian.

Cermin sisinya boleh dilaras dan dilipat secara elektronik, dengan penunjuk arah pada 1.8E manakala varian 1.8G dan 2.0V mendapat tambahan ciri lipat secara automatik dan boleh berhubung dengan gear undur. Semua varian mendapat kemasan krom pada pemegang pintu, kemasan belakang dan gril hadapan. Antena tidak dapat dilihat dan dilekatkan terus pada cermin.

altis-facelift-pricelist-850x590-bm

Pada bahagian dalam Altis facelift yang banyak menggunakan warna hitam, barangan standard yang diberi adalah pengawal pendingin hawa automatik (satu zon), stereng kulit yang boleh dilaras (tilt/telescopic) bersama butang kawalan audio dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40. Varian 1.8G ditambah dengan panel Optitron, butang kawalan paparan informasi dan Bluetooth di stereng, dan tempat duduk kulit.

Bagi varian 2.0V pula, semua kelengkapan ini ditambah lagi dengan cruise control dan tempat duduk jenis sports dengan kawalan elektronik dan sokongan belakang. Turut diberi adalah cermin pandang belakang electro-chromic.

Aksesori tambahan yang disediakan adalah unit hiburan skrin sesentuh DVD-AVN 2-DIN Toyota, Bluetooth, WiFi, HDMI, Smartphone Link, navigasi dan kamera undur. Unit yang lebih maju adalah DIV-AVN, yang dapat memberikan skrin sesentuh capacitive dan boleh melayari internet. Anda juga boleh memilih kit badan aerodinamik, kamera hadapan, plet pemijak tepi pintu berlampu dan penapis haba cermin.

Apabila dipasarkan nanti, Toyota Corolla facelift akan memberikan saingan kepada Honda Civic, yang kini sedang menikmati pasaran dalam segmen C sejak pelancarannya Jun lalu. Honda Civic FC juga datang dalam tiga varian, tetapi dijual pada harga lebih rendah berbanding Altis – RM110,426 untuk Civic 1.8S dan RM131,883 untuk 1.5 Turbo Premium (RM3,000 lebih rendah berbanding Altis 2.0V).