Civic-Malaysia-Launch

Setelah beberapa ketika menantikan detik penuh debaran, maka hari ini penantian berakhir. Selepas melancarkan Honda Civic generasi ke-sembilan pada 2012, empat tahun selepas itu Civic generasi ke-10 pula mengambil tempatnya di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan negara jiran terhampir iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura, ternyata Malaysia paling terakhir menerima kehadirannya. Walau bagaimana pun, keterujaan menantikan kehadirannya memang berbaloi kerana Civic 2016 ini tampil dengan banyak kelainan dan pembaharuan berbanding model sebelum ini.

Bagi pasaran Malaysia, Honda Malaysia menawarkan tiga varian iaitu model asas 1.8S, spesifikasi pertengahan 1.5 Turbocharged (TC) dan spesifikasi tertinggi 1.5 Turbocharged Premium (TC-P). Dengan harga atas jalan yang kompetitif, pastinya Civic 2016 ini berupaya memberikan saingan yang hebat di bawah segmen-C.

Bagi varian asas 1.8S, ia ditawarkan pada harga RM110,426.51. Manakala varian spesifikasi pertengahan 1.5TC pula berharga RM124,076.29 dan RM131,883.37 untuk 1.5TC-P. Semua harga yang diumumkan adalah harga atas jalan bersama GST dan tanpa insurans.

Semua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis berkala 10,000 km, dengan lima kali berselang servis buruh percuma.

2016 Honda Civic 1.5T Premium 3

Bagi varian 1.8S, enjinnya dikekalkan iaitu 1.8 liter i-VTEC SOHC naturally-aspirated empat-silinder, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 174 Nm pada takat 4,300 rpm.

Manakala varian 1.5 Turbo pula yang pertama kali diperkenalkan bagi model Civic dijanakan oleh enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo dengan hamburan kuasa sehingga 173 PS pada takat 5,500 rpm dan tork puncak 220 Nm antara 1,700 hingga 5,500 rpm.

Walau bagaimana pun, turbo yang digunakan bagi Civic ini bukanlah seperti turbo konvensional, dan jangan mengharapkan ia ada ‘turbo kick’ seperti mana kebanyakan jentera turbo yang lain. Biar pun ia hanya turbo berkapasiti kecil, namun terjahan kuasanya mampu menyamai enjin 2.4 liter. Itulah yang dinyatakan oleh Osamu Takezawa selaku Assistant-Large Project Leader (A-LPL) bagi Civic 2016 dalam sesi temubual eksklusif semalam.

Menurut Takezawa-san lagi, bagi 1.5 Turbo ini, selain kuasanya telah diperhebatkan, enjin ini turut disokong oleh sistem Dual-VTC yang membantu meminimakan sisa gas di dalam silinder. Selain itu, turbin berdiameter kecil juga turut membantu meningkatkan lagi responsif enjin.

Kedua-dua varian enjin pastinya diperhebatkan dengan teknologi Earth Dream ciptaan Honda sendiri.

2016 Honda Civic 1.5T Premium 4

Membantu memperhebatkan lagi prestasi enjin, kedua-dua varian enjin ini turut dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT), berbanding kotak gear konvensional automatik (AT) seperti pada generasi terdahulu. Menurut Takezawa-san, pemilihan CVT dibuat kerana ia bukan sekadar mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, bahkan berupaya membantu mengurangkan ‘turbo-lag’. Selain itu, ia turut membuatkan enjin lebih lancar, sekali gus melonjakkan lagi prestasinya.

Mengenai penggunaan bahan apinya, bagi varian 1.8, ia dikatakan mampu memberikan penjimatan sehingga 6.3 liter bagi setiap 100 km dan 1.5 Turbo pula lebih menjimatkan iaitu sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.

Menurut Honda Malaysia, CVT bagi Civic 2016 ini telah disemak semula dan menjadikan ia lebih baik, berbanding yang digunakan pada model HR-V yang terdapat sedikit kelemahannya iaitu nisbah permulaannya sedikit perlahan dan mendatar.

Bagi Civic 2016 ini, ternyata ia lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm). Malah kapasiti ruang kargonya juga dipertingkatkan menjadi 519 liter berbanding 440 liter pada generasi sebelumnya.

Dengan pertambahan dimensi luaran ini, sekali gus memberikan kelebihan buat bahagian kabin. Malah ia juga memberikan lebih ruang kaki dan ruang kepala di bahagian kabin.

2016 Honda Civic 1.5T Premium 6

Malah rekaan semula bagi tiang-A yang lebih nipis juga bagi menawarkan sisi pandangan yang lebih bagus untuk pemandu. Bukan itu sahaja, ruang kaki di tempat duduk belakang juga lebih lebar dan dipertingkatkan sebanyak 23 mm berbanding model sedia ada.

Civic gen-10 ini juga 22kg lebih ringan iaitu hanya 1,203 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

Ia turut menampilkan suspensi MacPherson di hadapan dan Multilink di belakang bagi memberikan lagi keselesaan dan kestabilan pengendaliannya. Bagi menambahkan lagi keselesaan pemanduan, Civic 2016 juga telah dimantapkan pengendaliannya. Selain sistem suspensi, ia turut ditampilkan dengan roda stereng kuasa elektrik, sistem brek parkir elektrik dan fungsi penahan brek. Malah varian 1.5 Turbo dipadankan dengan tayar 215/50R17, dan 215/55R16 pula untuk varian 1.8.

Malah bagi mengurangkan NVH ketika di atas jalan raya, sistem kalis bunyi telah diaplikasikan, ini termasuk melindungi bahagian bawah kerangka serta pemasangan sistem penebat pada pintu.

Civic 2016 ini juga menerima sentuhan rekaan yang diperbaharui dan lebih segar, malah ia umpama kembali ke karakter asal Civic. Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif. Malah ia umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang.

Dan buat pertama kalinya di Malaysia, Civic 2016 akan muncul dengan lampu utama dan lampu kabus hadapan LED untuk spesifikasi tertinggi 1.5TC-P. Manakala varian 1.8S dan 1.5TC dipadankan dengan lampu utama projektor halogen dan lampu kabus hadapan halogen. Namun ketiga-tiganya menerima lampu nyalaan siang LED. Selain itu, pemegang pintu luaran dengan warna yang sama dengan badan bagi varian 1.8S dan 1.5TC, krom untuk 1.5TC-P.

Lampu belakang berbentuk-boomerang (umpama sepit ketam) pula membuatkan Civic 2016 ini kelihatan garang dan lebih menyengat.

Jika varian 1.5 Turbo RS di Thailand dipadankan dengan dengan beberapa ciri unik seperti gril hadapan hitam berkilat, spoiler belakang penuh dan lencana RS, tetapi ia tidak akan ditawarkan di Malaysia. Walau bagaimana pun, Honda Malaysia akan menawarkan kit-kit badan pilihan dari Modulo untuk menyerlahkan lagi gaya Civic 2016 menjadi berlipat kali ganda sporty.

Menambahkan lagi sisi istimewa bagi Civic 2016, kesemua varian turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak sejauh 2.5 meter dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik. Malah ia juga ditampilkan dengan Kawalan Menghidup Enjin di mana enjin boleh dihidupkan dengan menggunakan butang kawalan pada kunci yang sekali gus akan menghidupkan penghawa dingin dan enjin. Teknologi ini juga ada pada model Accord facelift.

Menjengah bahagian kabinnya, pastinya varian 1.5TC-P lebih menarik perhatian kerana ciri premium menjalari segenap ruang. Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Ia turut menampilkan skrin bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan serta penghawa dingin dua-zon.

2016 Honda Civic 1.5T Premium 17

Kedua-dua varian Turbo juga dilengkapi dengan pedal penukar gear. Manakala tempat duduk fabrik berwarna hitam, penghawa dingin zon-tunggal, dan skrin audio bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi kamera undur dan sistem hiburan bagi varian 1.8S dan 1.5TC.

Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah ia juga terdapat dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak.

Antara elemen standard yang ditampilkan pada kabin kesemua varian ialah kawalan kelajuan, butang ECON, meter LCD berwarna sepenuhnya, kawalan penghawa dingin panel sentuh, corong penghawa dingin belakang, roda stereng balutan kulit tiga-jejari, MP3/iPod, dua port USB/HDMI, kit bebas tangan bagi telefon bimbit dengan pengesan suara, lapan-speaker dan tempat duduk pemandu dengan lapan-cara larasan kuasa.

Selain itu, ia turut menampilkan sambungan bagi telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Civic 2016 ini juga amat mementingkan keselesaan tempat duduknya. Malah Honda turut mengetengahkan reka bentuk tempat duduk hadapan yang lebar di bawah tetapi mengecil di bahagian atas, secara tidak langsung turut memberikan pandangan hadapan yang lebih optimum buat penumpang di belakang.

Keselesaan yang ditampilkan bukan setakat ketika mengendalikannya, bahkan sebagai penumpang sama ada di hadapan atau duduk di belakang. Malah ruang meletak kaki di bawah tempat duduk hadapan (bagi penumpang belakang) juga sedikit luas kerana kedudukan tempat duduk hadapan ditinggikan sedikit. Malahan lantai dalaman juga lebih rendah tetapi masih tidak sukar untuk urusan keluar-masuk.

Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX.

Honda Civic 2016 ditampilkan dengan lima pilihan warna iaitu White Orchid Pearl, Crystal Black, Lunar Silver, Modern Steel dan Dark Ruby Red (sama seperti warna yang ditawarkan seperti pada Honda City dan HR-V).

Baca ulasan pandu uji Honda Civic 2016 spesifikasi Thailand DI SINI.

GALERI: Honda Civic 1.5TC-P

GALERI: Honda Civic 1.5TC

GALERI: Honda Civic 1.8S

GALERI: Honda Civic Modulo 2016