Cawangan baru JPJ di Bandar Tasik Selatan buka setiap hari sehingga jam 10 malam, mudah akses

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mempunyai cawangan baru di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur, yang menawarkan waktu operasi lebih panjang bagi memudahkan urusan orang ramai, khususnya golongan pekerja di kawasan bandar.

Dikenali sebagai JPJ Bandar Tasik Selatan (BTS), cawangan baru ini beroperasi tujuh hari seminggu bermula dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari. Lokasinya yang terletak di dalam hab pengangkutan utama TBS turut memberikan kelebihan kepada pengguna pengangkutan awam kerana mudah diakses melalui rangkaian rel dan perkhidmatan transit sedia ada.

JPJ BTS menggantikan cawangan JPJ Bandar Sri Permaisuri yang telah beroperasi sejak tahun 2006. Dengan kapasiti yang lebih besar, JPJ BTS mampu melayani sehingga 1,700 pelanggan sehari, sekaligus membantu mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan urusan orang ramai.

Menariknya, JPJ BTS merupakan cawangan pertama yang mengguna pakai konsep “operasi metropolitan” dengan waktu perkhidmatan sehingga jam 10 malam setiap hari, kecuali pada cuti perayaan tertentu. Ia juga menjadi cawangan JPJ ketiga yang ditempatkan di lokasi yang mudah diakses melalui pengangkutan awam selepas cawangan di Putrajaya dan Nilai.

Menurut menter pengangkutan, Anthony Loke yang hadir semasa majlis perasmian JPJ BTS, konsep ini berpotensi diperluaskan ke lokasi lain pada masa hadapan, termasuk di Terminal Bersepadu Gombak yang sedang dipertimbangkan sebagai lokasi seterusnya untuk pelaksanaan model operasi sama.