Honda Civic Thai Review 56_BM

Pastinya ramai yang tidak sabar menantikan ketibaan Honda Civic 2016 di pasaran Malaysia. Apatah lagi model tersebut telah pun selamat dilancarkan di beberapa negara jiran kita. Awal Mac lalu, ia telah pun selamat dilancarkan di Thailand yang menerima dua varian penjana kuasa iaitu 1.8 i-VTEC dan 1.5 VTEC RS Turbo.

Kemudian giliran Singapura pula melancarkannya dengan memilih varian tunggal 1.6L SOHC i-VTEC yang dijual pada harga yang begitu tinggi iaitu mencecah SGD$109,999 (RM318k). Baru-baru ini pula, Indonesia telah mula memasarkan Civic 2016 juga dengan varian tunggal iaitu 1.5L VTEC Turbo.

Jadi bilakah giliran Malaysia? Tunggu!! (Biarpun penantian itu satu penyeksaan) Honda Malaysia masih menyimpul rahsia bilakah detik keramat ini bakal tiba, apa yang pasti tidak lama lagi.

Sementara melayan debaran yang kian memuncak, Honda Malaysia telah membawa sekumpulan media permotoran tempatan untuk memandu uji Civic 2016 spesifikasi Thai di Chiang Mai pada hujung minggu lalu.

Honda Civic 1.5 RS Turbo (kiri) & Civic 1.8 E (kanan)

Walau pun secara amnya, mungkin terdapat beberapa perbezaan antara Civic 2016 versi Thai dengan yang bakal diperkenalkan di Malaysia, namun sedikit sebanyak ia mampu memberikan gambaran awal bagi sedan segmen-C ini.

Jika dibandingkan dengan Civic 2016 dengan model yang terdahulu, memang banyak perbezaannya terutamanya daripada segi imej yang dipertaruhkan. Malah pada pandangan mata saya, Civic 2016 lebih mudah menangkap pandangan mata hingga berlabuh di hati.

Jika Civic generasi ke-sembilan mempertaruhkan elemen yang elegan dan lari dari imej sporty tidak seperti Civic generasi sebelumnya terutamanya yang ke-lapan, bagi Civic generasi ke-10 ini, ia seakan kombinasi antara elegan dan sporty.

Menurut Honda, orang membeli jentera seperti Civic untuk mendapatkan pemanduan yang lebih selesa, dalam masa yang sama pengendalian yang mantap serta pastinya penjimatan bahan api yang efisien. Bukannya seperti zaman dahulu, kebanyakannya mengaitkan Civic dengan aura serba sporty. Asal model Civic, mesti ditampilkan dengan sifat sporty dan garang.

Kini, persepsi tersebut sedikit terhakis. Ramai yang memilih pemanduan berdinamik (selain penjimatan bahan api), tetapi imej yang dipersembahkan harus seiring sejalan dengan perkembangan semasa. Agar tidak dikatakan ketinggalan zaman.

Melihat Civic generasi ke-10 ini, imejnya tampak lebih segar. Bagi varian 1.5L RS Turbo, ia dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan lampu kabus LED, bampar hadapan yang kekal sama dengan gril bersama bar hitam pekat serta spoiler belakang dengan lampu brek ketiga. Malah imej sporty turut disertakan dengan rim aloi lima-jejari 17-inci, pemegang pintu krom dan ekzos berkembar. Terdapat juga logo RS pada bahagian belakang varian Turbo ini.

Bagi varian Civic 1.8 E pula, lampu utama projektor, bampar hadapan yang juga sporty dengan gril krom serta lampu kabus LED. Selain itu, ia menggunakan rim aloi 10-jejari 16-inci dan corong ekzos tunggal. Tetapi tiada spoiler di belakang.

Pada pandangan saya, jika ia disertakan dengan spoiler belakang, pasti kelihatan lebih menyerlah. Jika Civic 2016 versi Malaysia juga tiada spoiler belakang, anda boleh memilih kit badan Modulo yang pastinya turut menawarkan komponen tersebut. Begitu juga dengan rim standardnya, yang kelihatan biasa-biasa saja. Jangan risau kit badan Modulo pasti ada dan mampu melengkapkan lagi gaya Civic anda (bersama kos tambahan).

Menurut Honda, lampu utama LED dan gril pada Civic 2016 merupakan signatur berteknologi tinggi bagi rekaannya. Malah lampu utama LED ini memang agak menawan apatah lagi ia seakan menampilkan efek batu permata.

Bukan itu sahaja, pemilihan tiang-A yang lebih nipis turut memberikan pandangan yang lebih jelas pada bahagian hadapan. Malah Civic 2016 ini umpama sebuah jentera coupe lima-pintu, dengan garisan bumbung yang lebih landai mengunjur ke belakang. Lampu belakang berbentuk-C (umpama sepit ketam) pula membuatkan Civic 2016 ini kelihatan garang dan lebih menyengat.

Civic 2016 ini juga ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

Selain itu, Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

Namun jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya iaitu Toyota Corolla Altis, mungkin Civic 2016 lebih menang gaya. Ini kerana Corolla Altis masih ‘kekal dengan imej pakcik’. Manakala jika dibandingkan pula dengan Mazda3 pula, Civic 2016 lebih menyerlah di bahagian belakang terutamanya dengan padanan lampu berbentuk-C dan bonetnya lebih panjang. Berbanding Mazda3 yang kelihatan ‘lebih kontot’ tetapi mempunyai rekaan yang lebih agresif pada bahagian hadapannya.

Honda Civic Thai Review 51_BM

Dengan pertambahan dimensi luaran ini, sekali gus memberikan kelebihan buat bahagian kabin. Malah ia juga memberikan lebih ruang kaki dan ruang kepala di bahagian kabin. Malah kapasiti ruang kargonya juga dipertingkatkan menjadi 519 liter berbanding 440 liter pada generasi sebelumnya.

Menjengah ke bahagian kabinnya, pastinya varian 1.5L VTEC RS Turbo menang gaya. Masih dijalari sentuhan sporty dan elegan di segenap ruang. Ia tampil dengan tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara (empat-cara bagi penumpang hadapan), cermin pandang belakang anti-silau, roda stereng dengan butang kawalan audio, kit bebas tangan bagi telefon pintar dan kawalan kelajuan, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.

Malah tempat duduk balutan kulit upholstery dengan tona hitam juga menambahkan keselesaan. Malah ia turut menampilkan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi, kamera undur dan sistem hiburan. Malah ia juga boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free.

Honda Civic 1.5 RS Turbo (kiri) & Civic 1.8 E (kanan)

Manakala bagi varian 1.8L E pula, bentangan papan pemukanya biasa-biasa sahaja, tidak begitu fancy dan tidak sarat. Ternyata ia lebih mengikut bentangan yang ada pada City dan Jazz, tetapi dengan rekaan tajam dan lebih teknikal. Sedikit efek sporty kelihatan pada konsol tengah yang tinggi.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng dengan butang kawalan audio (tiada kawalan kelajuan), paparan tengah bersaiz lima-inci, tempat duduk larasan manual untuk pemandu dan penumpang hadapan dan tempat duduk balutan fabrik dengan jaluran kelabu di tengah.

Malahan perumah yang lebih besar untuk rev meter dan digital speedo di bahagian tengah turut digayakan dengan elemen sporty. Bagi varian Turbo, panel digital (termasuk boost meter) dengan tema merah ditampilkan. Namun bagi varian 1.8 pula, hanya dail analog yang lebih asas ditampilkan.

Manakala elemen standard yang ditampilkan bagi kedua-dua varian ialah butang penghidup enjin, brek parkir elektronik, butang ECON, kawalan suhu dua zon, sambungan Bluetooth, kit bebas tangan untuk telefon pintar, kawalan lampu utama automatic, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, penahan brek, dan kawalan kelajuan.

Bukan itu sahaja, sama seperti HR-V, terdapat bahagian ala ‘terowong’ tersorok di bawah centre stack yang menempatkan punca kuasa, port bagi USB dan HDMI. Selain itu, kotak konsol tengah juga agak dalam dan tidak ada masalah untuk menyembunyikan beg dompet mahu pun telefon pintar anda. Malah ia juga terdapat dua pemegang cawan yang terletak di antara dua bahagian tersebut, satu boleh dialihkan dan satu lagi tidak. Walau bagaimana pun, saya kurang menggemari glove box Civic ini, ya ruangnya luas tetapi ketika membukanya boleh terkena lutut dan seakan mahu tercabut pula penutupnya.

Civic 2016 ini juga menang daripada segi keselesaan tempat duduknya. Malah Honda turut mengetengahkan reka bentuk tempat duduk hadapan yang lebar di bawah tetapi mengecil di bahagian atas, secara tidak langsung turut memberikan pandangan hadapan yang lebih optimum buat penumpang di belakang.

Keselesaan yang ditampilkan bukan setakat ketika mengendalikannya, bahkan sebagai penumpang sama ada di hadapan atau duduk di belakang. Malah ruang meletak kaki di bawah tempat duduk hadapan (bagi penumpang belakang) juga sedikit luas kerana kedudukan tempat duduk hadapan ditinggikan sedikit. Malahan lantai dalaman juga lebih rendah tetapi masih tidak sulit untuk urusan keluar-masuk.

Paling menarik perhatian ialah kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Remote Engine Start di mana dalam jarak 40 m, dengan hanya menekan kunci kawalan, pemiliknya boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin akan terpasang secara automatik tetapi kereta masih kekal terkunci. Jadi tak adalah rasa panas membahang dalam kereta bila anda memasukinya. Teknologi ini juga ada pada model Accord facelift.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik.

Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX. Namun bagi varian turbo, ia turut menampilkan elemen keselamatan tambahan iaitu Honda Lane Watch, sama seperti model Accord facelift.

Saya mulakan pemanduan dengan menguji varian Civic 1.8 E. Ia dijanakan oleh enjin 1.8 liter SOHC empat-silinder i-VTEC yang sama seperti model HR-V. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS (139 hp) pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,200 rpm. Memantapkan lagi kuasanya, ia turut dipadankan dengan CVT yang telah dipertingkatkan.

Mengendalikan Civic 1.8 2016 ini boleh dirasai kelebihannya berbanding model gen-9 yang berkapasiti sama. Malah hamburan kuasa dan tork juga tiada berbeza. Walau pun secara peribadinya, saya lebih menyenangi kotak gear konvensional automatik lima-kelajuan seperti mana yang diterapkan pada model Civic generasi dahulu. Namun padanan CVT (sama seperti pada model HR-V tetapi yang telah dipertingkatkan bagi Civic 2016 ini), juga mampu memacu enjin memberikan prestasi yang jitu. Selain memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Begitu juga dengan soal pengendalian. Walau pun Civic 2016 ini bukanlah jentera yang mempersembahkan ‘fun driving’, namun keselesaannya masih jelas dirasai. Ketika melewati jalan menuju ke Mae Hong Son, merentasi laluan berbukit dan berselekoh, pemanduan Civic 2016 ini agak mencabar. Namun dalam masa yang sama membuktikan kelebihannya.

Tidak memandu dalam kelajuan yang begitu tinggi, cukup sekadar 140-150 km/j (adakalanya hanya 70-90 km/j, ikut keadaan jalan), namun enjin 1.8 liter ini boleh dikatakan pantas memberikan respons dengan kerahan pada pedal pendikit. Tidak perlu tekanan yang banyak pada pedal pendikit, sekadar sederhana sahaja, namun enjin mampu memuntahkan kuasa seperti mana yang diingini.

Honda Civic Thai Review 4_BM

Seperti mana yang saya nyatakan, CVT yang dipertingkatkan sedikit sebanyak membantu hamburan kuasa. Walau pun agak terasa gear sedikit lagging terutamanya apabila kenderaan mula dipacu selepas berhenti atau bergerak perlahan, namun kelemahannya tidaklah begitu ketara seperti HR-V. Terasa perubahan telah dilakukan terhadap transmisi ini dan usaha Honda ini pastinya wajar dipuji kerana pantas memperbaiki kelemahannya.

Pengendalian yang selesa, itulah poin utama bagi Civic 2016 ini. Apatah lagi tempat duduk pemandu yang telah direka bentuk semula (termasuk tempat duduk penumpang hadapan) seperti erat memeluk tubuh, membuatkan badan terasa mengikut gerakan pacuannya.

Ada masanya ketika mahu memotong kenderaan di hadapan terutamanya di selekoh, pedal pendikit harus diberi tekanan untuk memecut jentera. Ketika ini, kawalan stereng turut banyak membantu. Kurang sedikit dirasai under steer, malah kesan olengan badan juga agak minimal.

Konklusi saya terhadap Civic 2016 ini ialah pengendaliannya lebih selesa berbanding Civic gen-9. Tetapi jika dibandingkan dengan pesaingnya seperti Toyota Corolla Altis yang menggunakan kapasiti enjin 1.8 (139 hp/173Nm) dengan padanan CVT bersama Sport Sequential Shift tujuh-kelajuan, Altis lebih menyenangkan daripada segi pengendalian. Tetapi prestasi kuasa Civic 2016 lebih menyerlah. Dan pastinya imej yang dipertaruhkan oleh Civic 2016 lebih dekat dengan jiwa golongan muda khususnya.

Honda Civic Thai Review 53_BM

Berhampiran dengan kawasan air terjun Wachirathan, dengan laluan berbukit dan lebih banyak selekoh, saya memandu pula varian 1.5L RS Turbo. Rasa teruja semakin membara tatkala stereng dipegang. Keselesaan bertambah segenap ganda (berbanding varian 1.8) apabila berada di dalam perut varian ini. Mungkin kerana tempat duduk balutan kulit upholstery yang memberikan lebih keselesaan.

Namun sayangnya disebabkan keadaan jalan dua hala dengan satu lorong bagi setiapnya, pemanduan harus lebih berhati-hati kerana banyak kenderaan di hadapan terutamanya trak pikap yang penuh dengan muatan barang atau pun penumpang. Jadi, saya tidak berkesempatan untuk melenjan enjin turbo ini sepuasnya.

Ketika enjin hampir mencapai 3,000 rpm, kuasa pendikit bertambah progresif. Tetapi jika diberi tekanan (agak kuat) untuk mendapatkan respons yang lebih pantas, terasa sedikit lagging. Mungkin ia disebabkan gabungan karakteristik antara Turbo dan CVT. Walau pun ia berkuasa turbo, tetapi Civic 1.5 RS Turbo ini tidak ada turbo kick, seperti mana jentera Eropah yang memiliki kuasa turbo.

Tetapi Civic 1.5 RS Turbo mudah mencapai kelajuan yang diingini. Kelajuannya memang cukup dirasai biar pun pedal pendikitnya tidak begitu perlu dikerah. Malah tidak dinafikan, ia boleh dikatakan lebih jaguh daripada segi prestasinya jika hendak dibandingkan dengan Civic 2.0 gen-9 dan juga Civic 1.8 gen-10.

Ketika bermain-main dengan mod sport dengan kawalan pedal penukar gear di belakang roda stereng, ia lebih menyeronokkan. Apatah lagi sudah menjadi karakter mod sport yang lebih pantas menghamburkan kuasa yang diingini dan memang cukup responsif. Tetapi bila hanya menggunakan mod normal pun, kuasa pecutannya masih boleh dirasai dengan mudah.

Jika hendak dibandingkan dengan model pencabar terdekatnya iaitu Ford Focus 1.5L EcoBoost 2016, ternyata mengendalikan Civic 1.5L RS Turbo ini lebih memacu adrenalin. Dalam kelajuan yang tinggi sekitar 160-170 km/j, ia masih terasa kestabilannya.

Berbanding dengan Focus 1.5L EcoBoost 2016 yang lebih mudah terasa olengan badannya apabila dalam kelajuan yang tinggi. Tetapi dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan dengan SelectShift, ia memberikan sedikit kelebihan berbanding penggunaan CVT pada Civic 2016. Iaitu daripada segi kecekapan respons prestasinya (terutamanya Focus 1.5L EcoBoost Sport+ biar pun ia hatchback).

Selepas memandu uji kedua-dua varian 1.8L dan 1.5L RS Turbo, memang dirasakan tidak diperlukan varian 2.0L untuk pasaran Malaysia. Ini kerana kedua-dua varian tersebut ‘sudah cukup lengkap’ untuk barisan Civic 2016 di sini. Tidak dinafikan begitu ramai yang mengajukan pelbagai soalan mengenai Civic 2016. Spesifikasi penuh bagi pasaran Malaysia termasuk varian dan harganya akan diumumkan ketika pelancarannya.

Adakah ia benar-benar mampu menganggu-gugat model pesaingnya iaitu Toyota Corolla Altis dan Ford Focus 1.5 EcoBoost? Nantikan pula ulasan pandu uji model versi Malaysia ya.

GALERI: Honda Civic 1.5 RS Turbo, spesifikasi Thailand

GALERI: Honda Civic 1.8 E, spesifikasi Thailand