Civic_18E-2-1_BM

Sementara kita di Malaysia menanti dengan penuh debaran hari pelancaran Honda Civic generasi ke-10, negara jiran seberang tambak – Singapura juga turut menunggu Civic 2016 untuk mendarat di sana. Kami menerima iklan dari pembaca Calvin Teoh yang memaparkan spesifikasi sedan tersebut untuk pasaran di republik itu, nampaknya mereka hanya menerima varian tunggal 1.6 liter VTEC yang dijual dengan harga SGD$109,999 (RM318k) dan tempahannya sudah mula dibuka.

Beberapa ciri dipaparkan pada brosur tersebut termasuk lampu nyalaan siang LED dengan lampu hadapan halogen, sistem kunci pintar beserta suis penghidup enjin, brek parkir elektronik dan juga butang mod ECON.

Ciri-ciri untuk bahagian dalaman pula termasuk upholstery balutan kulit, penghawa dingin automatik dua zon dan juga liang penghawa dingin untuk bahagian belakang. Ia turut dilengkapi sistem infotaimen dengan paparan skrin sesentuh tujuh-inci, sambungan USB dan HDMI, dihubungkan kepada lapan-pembesar suara. Roda stereng tiga-jejari dengan kecondongan dan teleskopik yang boleh dilaras turut dilengkapi dengan butang kawalan sistem audio, kawalan kelajuan, suis telefon hands-free dan juga penukar gear.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pemegang cawan untuk penumpang bahagian hadapan dan belakang, dan juga dua cermin muka berlampu di bahagian hadapan serta cermin pandang belakang dengan fungsi anti-silau automatik. Sementara itu, hanya tempat duduk pemandu boleh dilaraskan ketinggiannya secara manual, dan kedua-dua belah tingkap kuasa hadapan disertakan sekali dengan fungsi turun/naik automatik.

Sedan ini turut dilengkapi dengan kamera undur beserta empat penderia. Untuk ciri keselamatan, Civic ini hanya dilengkapi dengan dua beg udara, ABS beserta sistem Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA) dan juga Bantuan Mula Mendaki.

Seperti yang dinyatakan tadi, ia hanya dikuasakan dengan satu pilihan enjin iaitu enjin 1.6 liter SOHC i-VTEC yang menjana 125 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 152 Nm pada takat 4,300 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Turut dipaparkan dalam brosur tersebut, Civic 2016 pasaran Singapura mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.6 saat dan boleh mencapai kelajuan maksima 200 km/h.