Mercedes-AMG GLE63S, GLS63 2027 didedahkan – V8 4.0L Twin Turbo flat-plane berkuasa 605 hp/850 Nm

Versi facelift terkini untuk Mercedes-Benz GLE dan GLS generasi sedia ada kini diperkenalkan dalam versi prestasi sebenar Mercedes-AMG – ini dia Mercedes-AMG GLE63S dan GLS63, kedua-duanya menerima enjin 4.0 liter V8 twin turbo dengan aci engkol jenis flat-plane, di mana sebelum ini enjin berkenaan diperkenalkan menerusi sedan S-Class W223 facelift.

Enjin yang dikenali sebagai M177 Evo tersebut menerima rekaan aci engkol jenis flat-plane untuk mengurangkan jisim ketika ia berputar bagi memberikan respon yang lebih baik. Enjin tersebut turut menerima sistem suntikan bahan api yang dipertingkat, port kemasukan dan ekzos yang direka semula, aci sesondol kemasukan baharu, serta roda pemampat dan perumah pengecas turbo yang dirombak semula.

Ini membolehkan enjin V8 dalam perut GLE63S dan GLS63 berkenaan menghasilkan kuasa 603 hp bermula 5,500 rpm hingga 6,100 rpm, dan tork maksima 850 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,500 rpm. Tidak cukup dengan itu, ia turut dipadankan dengan sistem hibrid ringkas menampilkan unit starter-generator yang memberikan tujahan tambahan 23 hp dan tork 204 Nm apabila diperlukan.

Mercedes-AMG GLE63S, GLS63 2027 didedahkan – V8 4.0L Twin Turbo flat-plane berkuasa 605 hp/850 Nm

Kuasa dari enjin dipindahkan ke kesemua roda menerusi kotak gear automatik sembilan kelajuan Speedshift TCT 9G dan juga sistem AWD AMG Performance 4Matic+, serta LSD elektronik AMG pada gandar belakang membolehkan pecutan 0-60 bsj (0-96 km/j) dibuat dalam masa hanya 3.6 saat untuk GLE63S dan 3.9 saat bagi GLS63. Kedua-duanya mencatatkan kelajuan maksima yang telah dihadkan kepada 278 km/h

Bunyi V8 pada enjin berkenaan di’sedap’kan lagi menerusi pemadanan sistem ekzos AMG Performance untuk kedua-dua model, di mana ia mempunyai injap yang akan dilaras menerusi pelbagai mod pemanduan dari Comfort sehingga Sport Plus.

Seperti biasa model-model sebenar AMG akan datang standard dengan kit penggayaan AMG. Untuk GLE63S dan GLS63 ini ia diberikan gril hadapan AMG dengan pengalir udara sisi yang lebih besar, lampu hadapan LED AMG, tip ekzos AMG yang lebih besar serta diffuser belakang.

Mercedes-AMG GLE63S, GLS63 2027 didedahkan – V8 4.0L Twin Turbo flat-plane berkuasa 605 hp/850 Nm

Dengan kuasa yang lebih besar, badan kedua-dua SUV ini datang standard dengan sistem suspensi adaptif AMG Ride Control Plus yang menawarkan tetapan khas AMG, serta mod Comfort dan Sport yang dibuat menerusi penyerap hentak yang sentiasa memberikan tahap serapan bervariasi. Ia juga diberikan sistem Active Ride Control bagi mengawal kadar olengan badan.

Kedua-dua SUV ini juga diberikan mod Trail, di mana dengan mod ini badan kereta akan ditinggikan sebanyak 55 mm, manakala penyerap hentak dan sistem AWD 4Matic+ dioptimakan untuk pemanduan off-road.

Untuk roda pula, GLE63S menerima pilihan rim aloi forged AMG sehingga 22-inci, manakala untuk GLS63S pilihan rim aloi yang diberikan adalah sehingga 23-inci.

Manakala dalam kabin GLE63S dan GLS63 hadir dengan roda stereng AMG Performance terkini yang menawarkan balutan kulit Nappa, tekstil gentian mikro, serta kombinasi Nappa/gentian mikro atau gentian mikro/gentian karbon.

Untuk upholsteri pula, kedua-dua model boleh di memilih balutan kulit Nappa dalam kemasan hitam, Macchiato Beige, Beech Brown dan Red Pepper, atau pilihan dalam katalog manufaktur dengan warna seperti Yacht Blue, Tartufo Brown atau Carmine Red.

Sistem infotainmen kedua-dua model ini beroperasi dengan sistem operasi MB.OS, dan seperti biasa ia turut menampilkan paparan khusus AMG yang memberikan informasi-informasi seperti agihan tork, daya-G serta parameter-parameter enjin yang lain.

Mercedes-AMG GLE63S dan GLS63 ini akan mula dijual di pasaran Amerika Utara bermula separa kedua tahun ini.

Tags: , ,