EP Manufacturing Berhad (EPMB) bakal mengembangkan lagi keupayaan kilang pemasangan kenderaannya di Pegoh, Melaka dengan mewujudkan fasiliti mengecat kenderaan. Majlis pecah tanah untuk pembinaan fasiliti tersebut telah pun berlangsung semalam dengan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, dan ia dijangka siap serta boleh beroperasi menjelang 30 Jun 2027.
Pengembangan fasiliti ini melibatkan pelaburan sebanyak RM200 juta, dan setelah ia siap nanti fasiliti itu mampu untuk mengecat sebanyak 30,000 unit kenderaan setahun.
“Pengecatan kenderaan ini adalah salah satu proses termaju dari segi teknologi dalam pembuatan automotif. Penubuhan kemudahan ini mencerminkan sesuatu yang lebih bermakna daripada sekadar pengembangan keupayaan pengeluaran kami—ia merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan jangka panjang ekosistem automotif Melaka,” kata Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
“Dengan menyepadukan operasi pengecatan ke dalam kampus pembuatan kami yang sedia ada, EPMB akan dapat menyediakan penyelesaian pembuatan CKD yang lengkap kepada jenama automotif global di dalam Malaysia, merangkumi penyetempatan, pemasangan, pengecatan dan kesediaan eksport. Ini secara signifikan meningkatkan cadangan nilai kami sebagai rakan kongsi pembuatan bagi OEM antarabangsa,” tambahnya.
EPMB memulakan operasi pemasangan kenderaannya di Melaka dengan kerjasama pertama dimeterai bersama Great Wall Motor (GWM) pada 2023, di mana ketika itu fasiliti berkenaan berada di atas tanah seluas 40 ekar. Kini fasiliti tersebut telahpun berkembang sehingga 58 ekar dan syarikat tersebut kini turut memasang kenderaan dari jenama lain termasuk BAIC, SAIC (untuk MG) dan juga Xpeng.
Menurut syarikat itu, kilangnya di Melaka ini mampu untuk memasang sedan, SUV, MPV dan kenderaan pacuan empat roda, serta menyokong pelbagai teknologi rangkaian kuasa termasuk enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV) dan Plug-in Hybrid (PHEV) serta kenderaan elektrik bateri (BEV).
Model-model yang kini sedang dipasang oleh EPMB di kilang berkenaan pula adalah termasuk GWM Haval H6 dan Wey G9, BAIC X55 dan BJ40, MG S5 EV serta Xpeng G6. Fasiliti itu kini mampu untuk menghasilkan lebih dari 1,000 kenderaan sebulan, dan syarikat itu kini sedang giat bekerjasama dengan rakan kongsi OEMnya untuk memperluaskan eksport bukan hanya untuk pasaran ASEAN, malah merentasi pasaran antarabangsa yang lain.
Awal tahun ini unit-unit MPV GWM Wey G9 telah pun menjadi model pertama dari kilang EPMB dieksport keluar Malaysia, dengan dibawa ke pasaran Thailand. Manakala baru-baru ini MG S5 EV yang diproduksi di kilang tersebut pula telah diumum bakal dieksport ke pasaran Amerika Selatan.


