Harga minyak 18-24 Jun – diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter, yang lain dikekalkan

Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi tempoh antara 18 hingga 24 Jun 2026, harga runcit bagi bahan api diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia akan diturunkan sebanyak 30 sen seliter, menjadi RM4.37 seliter. Untuk pasaran Sabah dan Sarawak, harganya masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

Manakala untuk bahan api petrol RON 97, ia masih dikekalkan pada harga RM4.35 seliter. Begitu juga dengan RON 95 tanpa subsidi yang masih dikekalkan pada harga RM3.72 seliter dan RM1.99 seliter di bawah program Budi95.

Menurut MOF lagi, dalam keadaan ini, tanggungan subsidi Kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.

Selain itu, MOF turut berkata, bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, namun Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.