Awal bulan ini, model pertama Xpeng G6 yang dipasang dalam negara (CKD) berjaya dikeluarkan dari kilang EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka. Perkembangan ini hadir beberapa bulan selepas pengeluar kenderaan elektrik dari China itu melantik EPMB sebagai rakan pemasangan tempatan pada Disember tahun lalu. Selain G6, model MPV elektrik X9 juga dijadualkan menjadi model CKD seterusnya untuk pasaran Malaysia.
Semasa majlis pecah tanah bagi pembinaan fasiliti baru pengecatan kenderaan EPMB Melaka yang berlangsung baru-baru ini, pihak media berpeluang melihat dengan lebih dekat unit Xpeng G6 CKD tersebut. Berdasarkan pemerhatian, model yang dipamerkan dipercayai merupakan varian pacuan roda belakang (RWD).
Ketika ini, Xpeng G6 yang dipasarkan di Malaysia masih diimport sepenuhnya (CBU). Model tersebut menerima kemas kini pada Oktober tahun lalu dan ditawarkan dalam tiga varian iaitu RWD Standard Range, RWD Long Range Pro dan AWD Performance.
Melihat kepada reka bentuk rim serta ketiadaan motor elektrik di bahagian hadapan, unit CKD yang dipamerkan berkemungkinan besar ialah varian RWD Long Range Pro. Varian ini menggunakan motor elektrik yang menghasilkan kuasa 296 PS (292 hp atau 218 kW) dan tork 440 Nm.
Tenaga disalurkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 80.8 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 525 km mengikut piawaian WLTP. Gabungan sistem ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 202 km/j.
Menurut kakitangan EPMB, unit CKD G6 tersebut masih belum dihantar kepada pelanggan kerana sedang menunggu kelulusan Vehicle Type Approval (VTA). Perbezaan antara model CKD dan CBU juga boleh dikenal pasti menerusi nombor pengenalan kenderaan (VIN). Bagi unit CKD ini, dua huruf pertama VIN ialah “PN”, manakala model CBU kebiasaannya menggunakan awalan “LPX”.
Dari aspek harga, Xpeng G6 CBU kini dijual pada harga RM159,948 bagi varian asas RWD Standard Range. Varian RWD Long Range Pro pula ditawarkan pada harga RM180,013, manakala AWD Performance berharga RM191,523, semuanya atas jalan tanpa insurans.
Bagi mereka yang mahukan penampilan lebih sporty, varian AWD Performance turut ditawarkan dalam versi Black Edition pada harga RM195,523. Edisi khas ini menampilkan logo berwarna hitam, rim aloi 20 inci kemasan hitam berkilat serta angkup brek yang dipadankan dengan warna sama.
Persoalan yang masih menjadi perhatian adalah sama ada pemasangan tempatan akan membolehkan harga jualan Xpeng G6 dikurangkan berbanding model import sepenuhnya. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan diketahui apabila Bermaz Xpeng mengumumkan butiran rasmi mengenai model CKD tersebut tidak lama lagi.


