Porsche Taycan terima kemaskini MY2027 – ada gear palsu E-Shift, pilihan Manthey Kit, PCM dipertingkat

EV prestasi Porsche Taycan kini diperkenalkan dengan versi kemaskini untuk model tahun 2027, menampilkan beberapa kemaskini serta penawaran kit baharu.

Perincian yang menjadi sorotan untuk Taycan MY2027 ini adalah penambahan fungsi E-Shift, iaitu fungsi yang memberikan rasa tukaran gear palsu seperti yang diberikan pada model EV prestasi dari jenama lain seperti Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N serta Lexus RZ, bagi memberikan pemanduan yang lebih seronok dan terhubung antara kereta dan pemandu.

Fungsi E-Shift pada Taycan ini memberikan rasa seolah-olah ia mempunyai kotak gear lapan-kelajuan, dan pemandu boleh ‘menukar’ gear menerusi pedal penukar gear di belakang roda stereng.

Rasa tukaran gear palsu tersebut turut diberikan beberapa perincian agar ia terasa seperti rasa tukaran gear sebenar antaranya rasa ‘sentap’ ketika gear ditukar, tork seretan spesifik untuk setiap gear (seakan rasa engine braking) dan juga rev-limiter palsu. Sistem ini juga masih berfungsi bersama Porsche Electric Sport Sound, iaitu bunyi yang mengambil kira situasi pemanduan berdasarkan beban dan juga ‘kelajuan enjin’ palsu.

Perincian ini diberikan standard untuk Taycan Turbo GT, namun pembeli untuk varian lain fungsi E-Shift ini masih ditawarkan sebagai pilihan opsyen. Unit-unit yang hadir dengan fungsi E-Shift ini akan menerima sekali roda stereng sport GT bersama pedal penukar gear, serta satu suis tambahan diletakkan di bawah suis pemilih mod pemanduan. Pemetaan ‘transmisi’ serta karekter bunyi untuk sistem E-Shift ini ditala berlainan untuk setiap model.

Bagi pembeli Taycan Turbo GT dengan Weissach Package untuk model 2027 ini juga ditawarkan dengan Manthey Kit, iaitu kit yang mengoptimakan prestasi aerodinamik, casis dan juga unit rangkaian kuasa. Kit ini boleh ditempah terus dari kilang atau pembeli boleh memasangnya secara retrofit. Menerusi kit ini, Porsche telah berjaya merampas semula rekod lap untuk Taycan di litar Nürburgring.

Porsche Taycan terima kemaskini MY2027 – ada gear palsu E-Shift, pilihan Manthey Kit, PCM dipertingkat

Manakala bagi pembeli varian asas pacuan roda belakang pula, model MY2027 ini menawarkan opsyen tayar musim panas, di mana tayar dengan pekali golekan lebih rendah ini akan memberikan jarak gerak lebih jauh untuk satu cas penuh bateri. Menurut Porsche, dengan tayar ini (dipadankan pada rim 20-inci) bersama pakej Performance Battery Plus membolehkan ia bergerak 20 km lebih jauh iaitu sehingga 700 km berdasarkan kitaran WLTP.

Perubahan lain yang turut diberikan termasuk sistem Porsche Communication Management (PCM) yang kini mempunyai kuasa pengkomputeran lima kali lebih pantas dari sebelum ini. Paparan digital untuk infotainmen dan instrumen Porsche Digital Interaction (Porsche DI) pada Tycan MY2027 ini juga kini menampilkan struktur grafik lebih jelas, ikon lebih minimalis serta animasi dinamik bagi memberikan paparan yang lebih tersusun.

Porsche Taycan terima kemaskini MY2027 – ada gear palsu E-Shift, pilihan Manthey Kit, PCM dipertingkat

Ia juga menampilkan pelbagai widget untuk akses lebih cepat kepada pelbagai fungsi, serta aplikasi-aplikasi tertentu boleh dipaparkan sama ada dalam mod skrin terbahagi atau skrin penuh. Suasana kabin juga kini boleh diubah menerusi aplikasi Themes.

Porsche juga mendakwa bahawa sistem arahan suara pada Taycan MY2027 ini berfungsi lebih baik dengan bantuan AI. Model kemaskini ini juga menampilkan pad pengecas tanpa wayar 25 watt, memberikan pengecasan terhadap telefon pintar 1.5 lebih pantas dari sebelum ini.

Tags: