Ford Escort Mk1 RS dari Boreham Motorworks – model produksi sebenar didedah, 330 PS/210 Nm, 10,000 rpm!

Selepas diumumkan pada Jun 2024 dan kemudian rupanya secara digital didedahkan enam bulan selepas itu, kini unit pertama Ford Escort Mk1 RS yang diproduksi semula oleh Boreham Motorworks telah pun muncul dalam versi sebenar, didedahkan kepada awam di London Concours 2026.

Ini bukan model yang direstorasi semula menggunakan casis terpakai, sebaliknya ia adalah baharu sepenuhnya dan mendapat lesen rasmi dari Ford. Boreham Motorworks hanya membina sebanyak 150 unit Ford Escort klasik ini dengan menepati blueprint asal dari Ford dan menampilkan nombor casis yang disambung dari unit terakhir Escort Mk1 yang keluar dari kilang pada 1975.

Boreham Motorworks memilih untuk menghasilkan semula Escort Mk1 ini dalam spesifikasi varian RS, dan ia tampil dengan rupa yang diinspirasikan dari kereta lumba Group 5 Alan Mann Racing, iaitu jentera lumba yang mendominasi perlumbaan British Saloon Car Championship pada tahun 1968.

Jadi Escort Mk1 RS Boreham Motorworks ini tampil dengan lampu hadapan empat segi, tanpa sebarang bampar hadapan dan belakang, diberikan slot penyejuk pada bahagian bawah panel hadapan, dan juga bubble arch pada setiap ruang roda memberikan badan yang lebih lebar dan ‘berotot’ dari Escort biasa. Lampu hadapan dan belakang Escort ini tidak lagi menggunakan komponen dari model klasik, sebaliknya dihasilkan semula dengan teknologi LED yang lebih moden.

Ford Escort Mk1 RS dari Boreham Motorworks – model produksi sebenar didedah, 330 PS/210 Nm, 10,000 rpm!

Manakala badan kereta ini menggunakan material logam yang lebih maju dari Escort asal, memberikan badan yang lebih tegar untuk menerima unit enjin dengan kuasa lebih besar, dan ia turut menerima panel-panel badan dari gentian karbon seperti penutup bonet hadapan dan but belakang. Secara keseluruhan Escort Mk1 RS yang diproduksi semula ini menampilkan berat hanya 895 kg.

Untuk unit rangkaian kuasa, kereta ini ditawarkan dengan dua jenis enjin yang boleh dipilih oleh pembeli. Untuk pilihan pertama, ia menampilkan enjin Twin Cam berkapasiti 1,845 cc berkuasa 185 PS dan tork 180 Nm diinspirasikan dari enjin asal kereta lumba Alan Mann Racing yang boleh meraung sehingga 8,500 rpm. Enjin berkenaan diberikan sistem suntikan bahan api serta sistem pelinciran jenis dry-sump, dan digandingkan dengan transmisi manual empat-kelajuan “Ford Bullet” menampilkan gigi gear jenis straight-cut.

Manakala untuk pembeli yang mahukan lebih kuasa, Boreham turut menawarkan pilihan enjin 2.152 liter empat-silinder NA yang digelar sebagai TEN-K, di mana ia mampu menghasilkan kuasa 330 PS dan tork maksima 210 Nm, serta boleh menjerit sehingga 10,000 rpm tanpa masalah.

Enjin berkenaan ditala untuk jalan raya, menampilkan kepala silinder 16-injap khas dibina dengan inspirasi rekaan geometri port dan injap dari enjin kereta F1, serta komponen dalaman seperti rod penghubung logam forged, aci engkol billet.

Ford Escort Mk1 RS dari Boreham Motorworks – model produksi sebenar didedah, 330 PS/210 Nm, 10,000 rpm!

Ia bukan sahaja menjadikan enjin tersebut lebih tahan dan berkuasa, malah enjin berkenaan ditimbang dengan berat tidak sampai 85 kg. Ia turut disuap dengan sistem suntikan bahan api dengan empat throttle body bersama sistem pendikit yang dikawal oleh elektronik, diberikan kotak udara gentian karbon, sistem ekzos titanium serta sistem pelinciran jenis dry-sump. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dengan susunan kedudukan gear jenis dogleg.

Tak kira anda pilih enjin yang mana, kedua-duanya akan mengalirkan kuasa ke roda belakang menerusi gandar jenis ‘fully floating’ yang lebih ringan diperbuat dari material aluminium dan titanium, serta disumbat dengan LSD ATB bersama gear nisbah akhir 5.125. Tidak seperti Escort asal yang menggunakan spring dedaun di belakang, Escort Mk1 RS dari Boreham ini telah pun menampilkan penyerap hentak bersama spring gegelung yang boleh dilaras yang dibina bersama R53 Suspension.

Suspensi hadapan masih lagi menampilkan konfigurasi topang McPherson bersama titik-titik utama (hard point) pada casis Escort ini masih lagi dikekalkan. Namum Boreham telahpun mengoptimakan geometri pada suspensi berkenaan bagi mendapatkan cengkaman hadapan dan respon stereng lebih baik, dan jarak rodanya kini adalah 30 mm lebih jauh berbanding kereta lumba asal Alan Mann Racing.

Untuk roda, Boreham memadankan set rim empat-jejari dengan rekaan diinspirasikan dari rim RS2000 asal. Ia dihasilkan semula dengan diameter 15-inci, menampilkan lebar 7-inci di hadapan dibalut dengan tayar Yokohama A052 bersaiz 205/50R15 dan lebar 8-inci di belakang dibalut tayar 225/50R15. Bagi sistem brek pula, model ini diberikan cakera berliang 260 mm di hadapan yang dicengkam dengan angkup empat omboh, manakala di belakang ia diberikan cakera solid 264 mm dengan angkup dua omboh.

Rupa asal kabin Ford Escort ini juga masih dikekalkan, tetapi ia kini digandingkan dengan kemasan-kemasan serta fungsi yang lebih moden. Boreham membina semula papan pemuka Escort ini menggunakan material karbon yang lebih tahan dan ringan. Kemudian papan instrumen dan juga panel-panel suis pada konsol tengah turut telah direka semula dengan rupa lebih moden, tetapi masih kekal nampak seperti model klasik.

Manakala pada konsol tengah, ia kini diberikan dua jam randik rali yang diletakkan bersebelahan, di mana ia dibina bersama pembuat jam mewah dari Switzerland iaitu Breitling.

Escort Mk1 baharu ini juga hadir dengan sistem penghawa dingin dan juga pemanas, serta diberikan sistem audio. Pemandu diberikan roda stereng tiga-jejari jenis deep dish, manakala tempat duduk hadapan diberikan kerusi jenis bucket. Kemudian kabin Escort ini menerima kemasan balutan kulit asli yang banyak termasuk pada papan pemuka, panel pintu dan sebagainya.

Kabin Escort RS2000 Boreham Motorworks ini juga datang dengan rollcage secara standard, dengan bar yang mudah dibuka dan juga tali pinggang perlumbaan empat point. Tiada tempat duduk belakang diberikan sebaliknya ruang tersebut dijadikan ruang untuk menyimpan helmet dengan platform diperbuat dari gentian karbon, seperti sebuah kereta rali sebenar. Namun perincian bahagian dalaman Escort ini masih boleh diubah mengikut ‘selera’ pembeli.

Dengan spesifikasi serta statusnya kini yang bina khas dalam jumlah terhad, Escort Mk1 dari Boreham ini tidak dijual pada harga yang sama seperti ayah-ayah atau datuk-datuk kita ketika membeli Escort Mk1 di bilik pameran pada era 60’an dan 70’an dulu.

Ford Escort Mk1 RS baharu ini dijual pada harga bermula £295,000 (sekitar RM1.6 juta) di UK dan $400,000 untuk pelanggan dari Amerika Syarikat. Boreham Motorworks boleh menghasilkan Escort ini sama ada dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan juga sebelah kiri (LHD), dan setiap pembelian akan diberikan bersama waranti pengeluar seperti kereta baharu iaitu selama dua tahun atau 20,000 batu.