Ford Motor Company secara rasmi telah menyerahkan lesen kepada Boreham Motorworks bagi membolehkan syarikat itu memproduksi semula dua model ikoniknya yang sinonim dengan perlumbaan rali iaitu Ford Escort Mk1 dan juga jentera era Group B Ford RS200.
Boreham Motorworks yang merupakan divisi sukan permotoran berprestasi tinggi dan perlumbaan DRVN Automotive Group yang berpangkalan di United Kingdom berkenaan sebelum ini merupakan pakar rekaan, pembuatan dan juga pengedar kereta-kereta jalan raya, perlumbaan dan rali jenama Ford.
Untuk Ford Escort Mk1, Boreham akan membina model ini berdasarkan spesifikasi Group 5. Ia akan dihasilkan semula bukan sahaja dengan menepati blueprint asal, malah nombor identiti kenderaan (VIN) turut akan disambung dari nombor VIN Escort Mk1 asal yang telah dihentikan pengeluarannya.
Manakala untuk RS200, ia akan dibina semula sepenuhnya sempena ulangtahun ke-40 model itu. Ia akan dihasilkan sebagai sebuah ‘jentera pemanduan yang diinspirasikan dari kereta rali Group B yang sah digunakan di atas jalan raya’, tetapi menggunakan asas baharu sepenuhnya.
Walaupun tidak dinyatakan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan, Boreham mengesahkan bahawa ia bukanlah model yang dijana dengan bateri dan motor elektrik kerana RS200 ini “direka bagi memberikan pengalaman pemanduan analog paling ulung”.
Ford RS200 merupakan ayam tambatan Ford ketika Kejohanan Rali Dunia berlangsung menggunakan undang-undang Group B. Ia diperkenalkan pada tahun 1984, dijana dengan enjin yang diletakkan pada bahagian tengah, serta dilengkapi badan dan kerangka komposit ringan dan juga sistem pacuan semua roda.
“Kami sangat teruja untuk memulakan perjalanan ini dengan Ford Motor Company dan memulakan siri yang akan mentakrifkan dan memberi sentuhan semula ikon-ikon masa lalu ini,” kata Darren McDermott, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Automotif DRVN.
“Kami berhasrat untuk mentakrifkan semula inovasi automotif dan melangkaui sempadan dari segi penglibatan pemandu dan reka bentuk. Komitmen bersama kami terhadap projek yang luar biasa ini akan mencipta pengalaman pemanduan analog yang luar biasa dan meninggalkan legasi yang berkekalan untuk petrolhead yang sebenar,” tambahnya lagi.
“Dari kali pertama kami bertemu dengan Boreham Motorworks dan pasukan DRVN, adalah jelas bahawa mereka mempunyai visi yang menarik tentang cara menghidupkan beberapa nama model bersejarah kami yang paling ikonik untuk era moden”, kata Will Ford, Pengurus Besar Ford Performance Motorsports pula.
Boreham akan menghasilkan semula sekurang-kurangnya lima model ikonik Ford termasuk Escort Mk1 dan RS200 ini, dengan model-model seterusnya akan diumumkan kemudian. Namun setiap satu model akan diproduksi dalam jumlah yang sangat terhad. Unit pertama dari siri ini iaitu Ford Escort Mk1 dijangka akan dipertontonkan pada lewat tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.