PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Ada banyak perkara yang boleh diperkatakan tentang Toyota Camry. Sejak lama dulu, ia menjadi pilihan ramai orang yang inginkan sebuah kereta segmen D yang agak luas ruang dalamannya, dan dalam masa sama turut mahukan keselesaan tanpa perlu menjadi runsing atau sakit kepala sepanjang tempoh pemilikannya. Dan, memang itulah yang diberikan oleh Camry sejak beberapa generasi sebelum ini.

Cuma, dalam usaha Toyota untuk memenuhi keperluan itu, ia secara tidak langsung telah menjadikan Camry sebuah kereta yang perlahan-lahan sinonim digelar “kereta uncle”; memang betul ia tahan dan tak banyak songeh, tetapi ia tidak menawarkan keghairahan lain, apatah lagi dari susut pemanduan. Reka bentuk pula selalunya sangat “selamat”, bagi sesetengah orang mungkin itu sangat membosankan – tambahan bila dibandingkan dengan pesaing rapat dalam kelas yang sama.

Bagi saya sendiri, Camry pertama yang betul-betul boleh dirasakan menarik adalah pada versi Camry Hybrid 2.5L yang pernah diperkenalkan sebelum ini untuk pasaran tempatan. Sebelum itu, model ini sentiasa berada sedikit di belakang pencabar-pencabarnya – ambil contoh model-model seperti Honda Accord dan juga Mazda 6, atau mungkin juga Kia Optima dan Volkswagen Passat.

Tetapi, semua itu telah berubah selepas pengenalan Toyota Camry 2019 generasi kelapan yang terbaru yang ada ketika ini – ia telah meninggalkan imej lama itu jauh di belakang. Dilancarkan ketika pameran KLIMS 2018, untuk pasaran Malaysia bagaimanapun hanya ada satu varian sahaja yang ditawarkan waktu ini; iaitu Camry 2.5V.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Dengan penampilan terbaru ini, rasanya sangat sukar untuk tidak bersetuju bahawa Camry mempunyai imej yang lebih ranggi, sporty dan jauh lebih matang, meninggalkan dirinya yang lama jauh di belakang. Entah apa yang berlaku diperingkat dalaman, kumpulan pereka untuk projek ini seperti sudah mula bangkit dari tidur yang panjang dan terus menghasilkan rekaan seperti yang kita lihat kini – agaknya termasuk melihat sekali perkembangan dan trend yang berlaku dalam sedan segmen D bagi tempoh beberapa tahun dahulu.

Perhatikan dari segenap sudut luaran kereta ini dan lihat bagaimana ia telah keluar dari zon selesa penampilan yang terdahulu. Wajah hadapannya sahaja sudah cukup menarik, dengan bahagian lampu utama yang lebih tirus di kiri dan kanan (dengan lampu projektor LED – lihat rekaan grafik di dalamnya), membuatkan Camry kini nampak lebih rendah ke tanah serta lebih lebar.

Lihat juga bagaimana rekaan lekuk pada bonetnya, gril minimalis hitam berkilat yang ringkas menempatkan logo serta ruang bukaan udara bahagian bawah bampar yang sangat luas dengan jalur-jalur kelabu memberikan satu kesan visual yang sangat kuat untuk membezakan Camry ini bukan sahaja dari versi lama, tetapi juga dalam kalangan model pesaing. Tiba-tiba, dari segi rekabentuk, saya sendiri merasakan bahawa Camry akhirnya bersedia untuk berentap dengan model-model dari pengeluar lain.

Dari tepi pula, ia jelas mempunyai bentuk dan garis badan yang menawan. Bahagian depan yang lebih rendah, semakin berisi ditengah badan serta membawa kepada bahagian but belakang yang lebih tinggi dengan visual sedikit tercunggit, paling tidak ia mencadangkan kepada kita bahawa kereta ini mempunyai aliran angin atau faktor aerodinamik yang lebih baik dari dirinya yang lama.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Bahagian belakang juga berjaya mengimbangi imej yang dibawa di bahagian hadapan. Rekaan lampu belakang yang tirus dan terbahagi kepada dua bahagian serta spoiler yang diwujudkan dari bahagian but itu sendiri dan bukannya merupakan bahagian yang ditambah menjadi antara hal utama. Ini diikuti dengan bahagian bampar dengan garis yang ringkas dan nampak bersih, selain bahagian bawah sekali dalam warna hitam yang menempatkan dua corong ekzos di kiri dan kanan. Nampak ringkas, tetapi sangat memikat.

Bercakap tentang “rekaan” atau “design”, ia memang merupakan satu hal yang sangat besar ditampilkan pada Camry terbaru ini. Jika luarannya sangat jelas telah berevolusi menjadi semakin matang, bahagian dalamannya juga mengikut jejak yang sama. Paling penting, lihat rekaan yang diberikan pada bahagian papan pemuka; ia lari dari kebiasaan rekaan imbangan simetri yang biasa digunakan oleh kebanyakan kenderaan.

Dengan bahagian kanan papan pemuka yang menempatkan ruang paparan meter pemanduan yang lebih luas, kelainan paling ketara terletak pada bahagian tengah, ruang yang menempatkan skrin serta butang kawalan lainnya untuk sistem infotainmen serta pendingin hawa. Ia bukan rekaan “berkotak” yang konvensional, melainkan hadir dengan pendekatan yang jarang-jarang dilihat, terutama pada model Toyota sendiri sebelum ini – melibatkan lengkuk “Y” di tengahnya yang condong sedikit ke arah pemandu untuk memudahkan penglihatan.

Imejnya tambah elegan dengan penggunaan warna latar hitam sepenuhnya untuk kabin dalaman – termasuk dengan tempat duduk kulit, serta diiringi sedikit sentuhan kemasan kayu dan jalur krom yang sangat minimal, sedikit sebanyak memberikan rasa yang lebih premium kepada sedan segmen D yang tidak lagi asing dan sangat dikenali sejak sebelum ini lagi.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Sejak awal meluangkan masa memandu kereta ini disepanjang hujung minggu akhir April lalu, saya tak mengelak daripada pandangan seperti ini; Camry 2.5V 2019 adalah sebuah kenderaan yang dihasilkan dengan perincian mewah seperti yang selalu dilihat pada kenderaan Lexus, tetapi dijual menggunakan lambang Toyota. Ia menjadi sebuah model yang menjambatani kedua-dua jenama ulung dari Jepun itu, di dalam satu pakej penawaran yang mementingkan kualiti.

Lebih menarik lagi, sedan ini menggunakan platform terkini Toyota – model kedua di Malaysia selepas Toyota C-HR – yang dikenali sebagai Toyota New Global Architecture (TNGA). Ia disifatkan sebagai platform yang lebih jitu, ringan dan kukuh yang dapat meningkatkan dinamik terhadap aspek pemanduannya. Bagaimanapun, ada sedikit rasa kurang menarik tentangnya; disebabkan ia sebuah model generasi baru, menggunakan pula platform yang terkini, padanan sistem jana kuasanya yang masih dikekalkan seperti sebelumnya adalah sedikit membantutkan keghairahan terhadap kereta ini.

Ketika artikel ini ditulis, pasaran Malaysia hanya menerima varian enjin 2.5V sahaja. Varian 2.0 liter akan diperkenalkan kemudian. Enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder Dual VVT-i ini menghasilkan sebanyak 184 PS dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm – menjadikan outputnya 4 PS lebih tinggi berbanding janaan enjin sama pada Camry sebelum ini. Transmisi pula menggunakan jenis automatik enam-kelajuan dengan Super ECT.

Tetapi, diperingkat global, Camry generasi terbaru ini memang ada ditawarkan dengan gandingan sistem jana kuasa yang juga baru. Untuk pasaran Thailand misalnya, negara di mana Camry 2019 pasaran kita ini dipasang, enjin berkenaan, 2.5 liter Dynamic Force (dengan janaan kuasa 209 PS/250 Nm) ada ditawarkan.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Kiranya, ada dua sisi di mana Camry baru ini ingin tawarkan kelebihan berbanding yang lama, walaupun masih kekal dengan sistem powertrain yang sama. Pertama, seperti yang dinyatakan dan sangat jelas dapat dilihat ialah perihal reka bentuknya. Yang kedua, tidak lain dan tidak bukan, iaitu keselesaan, yang bagi saya diletakkan ke satu lagi tahap yang lebih tinggi melalui versi terbaru ini.

Sekadar makluman, perhatikan dimensi binaan model terbaru ini. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Camry generasi kelapan ini 35 mm lebih panjang menjadi 4,885 mm, 15 mm lebih lebar menjadi 1,840 mm dan 25 mm lebih rendah menjadi 1,445 mm. Jarak antara rodanya pula ialah 2,825 mm, iaitu 50 mm lebih panjang.

Ini memberikan petunjuk kepada keluasan, yang kemudiannya menyumbang secara langsung terhadap keselesaan ketika penumpang berada dalam ruang kabinnya. Saya sendiri sangat menyukai suasana kabin yang diberikan, luas dan elegan, sangat selesa baik sekiranya anda sedang berada ditempat pemandu, penumpang tepi atau lebih manis sekiranya hanya perlu berehat di belakang sepanjang perjalanan.

Tidak memerlukan masa yang lama sebenarnya untuk sesiapa pun menyedari hal keselesaan ini. Tambahan pula, kesenyapan dalam kabin atau NVH sedan ini dirasakan dijadikan begitu baik. Jika anda sempat membawanya di dalam cuaca hujan, perhatikan tahap kebisingan bunyi percik air yang dilalui yang biasanya dapat didengar dengan agak jelas dari bahagian lantai badan kenderaan.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Untuk Camry, ini, ada satu lagi bonus; bunyi hujan yang menimpa bumbungnya juga terasa ditebat dengan sangat baik. Semua ini membolehkan penumpang berehat dengan tenang, melayan bersembang tanpa perlu terjerit-jerit dan kepada yang kaki audio, muzik melalui sistem audio keliling JBL sedia ada pada Camry ini akan menerbitkan senyuman di bibir.

Dari aspek pemanduan juga ia tidak janggal, meninggalkan cara kendalian yang biasa-biasa yang ditawarkan sebelum ini. Memang, sedan segmen D bukanlah sepatutnya menjadi sebuah kereta yang hadir dengan aspirasi lumba. Tetapi, Camry ini bagi saya telah berjaya menyuntik elemen baru yang kekurangan padanya dahulu. Walaupun dengan nadi penggerak yang tidak berbeza, respon keseluruhan kereta ini berada pada tahap yang sangat memuaskan.

Ia terasa mudah untuk digerakkan dari kedudukan pegun, dan respon pedal serta transmisi juga lancar tanpa banyak gangguan. Cuma tekan pedal minyak dan tingkatkan kelajuan dengan cepat; anda akan perasan bagaimana maklum balasnya berubah, dari sebuah pemanduan perlahan yang “berat” kepada sebuah pengendalian yang sangat meyakinkan dan bertenaga selari dengan bertambahnya kelajuan. Ia tidak segan-segan di selokoh, merapat dengan kestabilan yang tidak membuatkan pemandu cuak.

Jika di lebuhraya dan dibiarkan kereta ini meluncur tenang, ia akan memberikan satu pengalaman keselesaan yang rasanya paling baik pernah ditawarkan oleh mana-mana model kenderaan Toyota yang dipasarkan di sini, ketika ini. Tambahan pula, penggunaan sistem suspensi double wishbone untuk bahagian belakang turut menyumbang kepada faktor keselesaan ini.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Selain itu, untuk kemudahan lainnya, kereta ini turut dilengkapi dengan ciri pengecas telefon tanpa wayar Qi, operasi tanpa kunci, enam sensor parkir keseluruhannya, brek parkir elektronik dan banyak lagi. Kapasiti ruang barangan pada but belakang pula ialah 493 liter, manakala kapasiti tangki minyak pula ialah 60 liter.

Tidak dilupakan juga, dari aspek keselamatan, penawaran yang ada pada Camry terbaru ini berada pada tahap tinggi dan setara dengan pesaing lain. Antaranya ialah tujuh beg udara, sistem pemantau titik buta, sistem pemantau tekanan tayar, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan serta banyak lagi. Ini bagi aspek keselamatan standard.

Ada lagi tambahan teknologi canggih yang perlu dinyatakan; Camry kini juga dilengkapi Toyota Safety Sense yang termasuk sistem pra-perlanggaran, amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng, kawalan melayar radar dinamik serta lampu tinggi automatik. Tidak dilupakan, ciri brek kecemasan autonomous (AEB).

Toyota Camry generasi kelapan ini berjaya mengubah tanggapan saya terhadap imej Camry kepada yang lebih menarik dan positif berbanding apa yang pernah saya bangunkan di dalam kepala sendiri sebelum ini. Ia memecahkan hampir segenap penjuru tanggapan lama itu. Dan, untuk meluangkan masa memandunya, baik sekadar di dalam bandar mahupun merentas ke bandar lain, ia mengesahkan lagi keyakinan saya bahawa Camry kali ini benar-benar memberikan satu kelainan dan nilai yang berbeza.

PANDU UJI: Toyota Camry 2.5V 2019 – bukan Camry yang dulu, tetapi adakah masih punya daya penarik?

Cuma, harganya akan membuatkan ramai orang untuk memikirkan semula sama ada untuk memiliki kereta ini atau tidak, bahkan bagi mereka yang sebelum ini memang sudah sinonim atau pernah memiliki Camry. Ketika diperkenalkan awalnya, model buatan Thailand ini dijual pada harga RM189,900. Tetapi, bulan lalu, UMW Toyota mengumumkan kenaikan harga bagi model ini, menjadi sekitar RM7,000 lebih mahal kepada RM196,888 (tidak termasuk insurans). Anda anda pandangan untuk dikongsi tentang model ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Rizal bin Uzir on Mar 14, 2021 at 10:58 am

    Salam. Saya nak tanya berkaitan konsumsi minyak untuk kereta Camry model terbaru.
    Penjimatan dan penggunaan minyak per liter/kilometer

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required